PENGGUNA kanta lekap perlu segera berjumpa doktor mata jika mengalami masalah. - FOTO Google
PENGGUNA kanta lekap perlu segera berjumpa doktor mata jika mengalami masalah. - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


"SAYA nyaris hilang penglihatan kerana membeli kanta lekap dalam talian.

"Mata saya bertukar kemerahan dan mengeluarkan cecair berlendir kesan pemakaian kanta lekap itu," kata Mimi Nazihah Abd Hamid, 26.

Mimi Nazihah berkata, kesan pemakaian kanta lekap terbabit menyebabkan dia mengalami rabun kekal.

"Saya membeli kanta lekap dalam talian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana banyak kedai optometri yang menjual kanta lekap tidak beroperasi.

"Pekerjaan sebagai model sambilan memerlukan saya memakai kanta lekap ketika penggambaran.

"Saya membeli kanta lekap dalam talian ini serendah RM4," katanya.

Dia yang berasal dari Shah Alam, Selangor berkata, mimpi ngerinya bermula apabila mata kirinya terasa panas dalam tempoh dua jam selepas memakai kanta berkenaan.

CARA yang betul memakai kanta lekap ialah sebelum bersolek. - FOTO Google
CARA yang betul memakai kanta lekap ialah sebelum bersolek. - FOTO Google

"Namun saya terus bertahan memakainya selama lapan jam sehingga tugas selesai.

"Agak mengejutkan, selepas menanggalkan kanta ini, mata kiri saya kabur disusuli mata kanan," katanya.

Malah, katanya, kedua-dua matanya kemerahan dan mengeluarkan cecair lendir.

"Pada hari ketiga, saya berjumpa doktor dan memaklumkan terdapat biji pada kelopak mata kerana jangkitan.

"Alhamdulillah, rawatan doktor mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk walaupun kini mengalami rabun kekal.

"Sekarang saya memilih memakai kaca mata dan sekali-sekala akan mengenakan kanta lekap yang disarankan optometris apabila membabitkan tuntutan kerja," katanya.

Pakar Perunding Oftamologi Umum dan Pediatrik MSU Medical Centre, Dr Azlindarita @ Aisyah Mohd Abdullah berkata, kanta lekap ialah sejenis alat tiruan yang diletakkan dalam mata, di hadapan kornea.

"Ia selamat digunakan jika pembelian itu menerusi pengamal optometris yang berdaftar dengan Majlis Optik Malaysia (MOM).

"Pembelian kanta lekap dalam talian sangat berbahaya kerana pengguna terdedah kepada risiko jualan kanta lekap tiruan yang tidak menepati ciri keselamatan," katanya.

BELI kanta lekap dengan pengamal optometris. - FOTO Google
BELI kanta lekap dengan pengamal optometris. - FOTO Google

Beliau berkata, pengguna perlu segera berjumpa doktor mata jika mengalami masalah seperti berasa sakit semasa memakai atau menanggalkan kanta lekap, mata merah berpanjangan lebih daripada sejam dan mata mengeluarkan banyak cecair lendir.

Katanya, ada beberapa mitos berkaitan kanta lekap seperti tidak perlu menggosok kanta semasa mencucinya, tidak perlu membilas, hanya menanggalkannya dari mata dan menyimpannya dalam bekas.

"Cara ini salah kerana amat penting untuk menggosok kanta lekap semasa mencuci bagi membuang kotoran selain mengurangkan risiko jangkitan kuman.

"Jangan biarkan kuku panjang kerana kebarangkalian kanta lekap boleh koyak, calar dan kuman pada kuku akan menyebabkan jangkitan," katanya.

Menurutnya, mitos kedua ialah boleh memakai kanta lekap sebelum atau selepas bersolek.

Dr Azlindarita @ Aisyah berkata, cara yang betul memakai kanta lekap ialah sebelum bersolek.

"Ini bagi mengelakkan debu daripada alat solekan melekat pada kanta dan menyebabkan rasa seperti ada bendasing di dalam mata.

"Ia boleh membuatkan mata menjadi kemerahan dan berair. Selain itu, pastikan sentiasa menutup mata semasa menggunakan alat solek," katanya.

Beliau berkata, mitos terakhir ialah boleh memakai kanta lekap dan 'goggle' ketika berenang dan menyelam.

"Sebenarnya, perbuatan itu boleh mendatangkan bahaya kerana air laut yang termasuk ke dalam 'goggle' akan memberi kesan terhadap mata.

KELOPAK bawah mata berbiji-biji akibat alahan memakai kanta lekap. - FOTO Google
KELOPAK bawah mata berbiji-biji akibat alahan memakai kanta lekap. - FOTO Google

"Lebih membimbangkan ialah meningkatkan risiko jangkitan kuman iaitu ulser mata," katanya.

Menurutnya, aspek penjagaan kebersihan kanta lekap perlu diutamakan bertujuan mengurangkan kekotoran pada kanta lekap yang boleh menyebabkan jangkitan.

"Keduanya ialah mengekalkan kelembapan kanta lekap kerana setiap kali mata berkelip, air mata akan membersihkan permukaan mata dan memberikan kelembapan pada organ ini.

"Kekotoran pada permukaan mata menyebabkan organ ini tidak mendapatkan kelembapan yang sepatutnya," katanya.

"Ketiga adalah untuk memberi keselesaan dan penglihatan mata menjadi lebih jelas. Ini kerana kekurangan kelembapan menyebabkan mata tidak selesa.

"Terakhir ialah mengelakkan risiko jangkitan kuman dan keradangan yang akhirnya boleh memberi risiko kehilangan penglihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 7:00 AM