Nor ‘Asyikin Mat Hayin


BULAN lalu, penulis mendaki bukit di Puchong, Selangor dan terserempak seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an yang hanya berkaki ayam ketika melakukan aktiviti berkenaan.

Wanita itu cukup pantas mendaki dan menuruni bukit malah seolah-olah tidak berasa sakit.

Dia mendakwa, berkaki ayam semasa melakukan aktiviti rekreasi umpama urutan refleksologi dan baik untuk kesihatan.

Namun, bagi mereka yang mengutamakan aspek kebersihan, tentu berasakan ia perkara utama yang cuba dielakkan.

Pakar Perubatan Kesihatan Keluarga International Medical School, Management & Science University (MSU), Dr Julie Mohamed berkata, tidak dinafikan amalan ini menjadi perdebatan ramai dan ia sebenarnya mempunyai kebaikan yang tidak diketahui umum.

Beliau berkata, berkaki ayam di atas permukaan yang bersifat semula jadi sama ada tanah, pasir dan rumput amat baik untuk keseimbangan tubuh.

“Ini kerana ia boleh menguatkan otot untuk berdiri dan berjalan. Otot kaki yang kuat juga dapat memberi kekuatan kepada tulang belakang.

“Selain itu, ia dapat membaiki propriosepsi iaitu kesedaran seseorang mengenai posisi dan pergerakan tubuh badan.

“Gangguan pada propriosepsi boleh menyebabkan seseorang hilang keseimbangan, umpamanya terasa berpusing-pusing walaupun dalam keadaan tidak bergerak,” katanya.

Dr Julie berkata, kelebihan lain amalan berjalan berkaki ayam ialah membaiki biomekanik kaki iaitu bagaimana tulang, otot, ligamen dan fasia (tisu perantara yang membentuk sarung bagi otot atau lapisan perlindungan mengelilingi organ) pada kaki berfungsi semasa bergerak di atas permukaan berbeza.

“Berjalan di atas pasir memberikan rintangan tinggi yang membuatkan otot terpaksa bekerja lebih kuat. Ini dapat menguatkan otot kaki, punggung serta tulang belakang,” katanya.

JALAN berkaki ayam berisiko menyebabkan jangkitan cacing, bakteria dan protozoa.
JALAN berkaki ayam berisiko menyebabkan jangkitan cacing, bakteria dan protozoa.

Menurut Dr Julie, jalan berkaki ayam turut memberi risiko kesihatan dan tidak boleh dipandang mudah.

“Ini kerana banyak organisme dalam tanah yang berpotensi menyebabkan jangkitan seperti cacing, bakteria dan protozoa.

“Individu jalan berkaki ayam juga terdedah kepada cacing kerawit dan ‘cutaneous larva migrans’ yang boleh menembusi kulit tapak kaki serta menyebabkan keradangan dalam badan.

“Contoh, cacing kerawit akan menembusi kulit tapak kaki manusia dan bergerak masuk ke dalam usus. Kemudian, ia boleh membiak dalam usus seterusnya mengambil nutrien daripada darah perumah,” katanya.

Beliau berkata, individu yang dijangkiti cacing itu akan mengalami masalah kekurangan darah dan perut menjadi kembung kerana cacing membiak dalam usus mereka.

“Malah ada juga cacing jenis berbeza menjangkiti individu melalui mulut yang berpunca kerana menyentuh kaki atau tanah dicemari bakteria dan menyebabkan salur penghadaman tersumbat.

“Jika cacing kerawit yang perumah semula jadinya adalah haiwan menembusi kulit tapak kaki manusia, ia boleh menyebabkan jangkitan dalam kulit iaitu ‘cutaneous larva migrans’,” katanya.

DR Julie
DR Julie

Menurut beliau, kulit manusia terdiri daripada tiga lapisan iaitu epidermis (paling luar), dermis (tengah) dan hypodermis (paling dalam sebelum otot).

“Cacing akan menembusi lapisan epidermis tetapi tidak boleh memasuki ke lapisan dermis kerana manusia bukan perumah semula jadi cacing,” katanya.

Katanya lagi, cacing akan bergerak-gerak di lapisan epidermis yang menyebabkan rasa kegatalan dan ruam seperti garisan berlingkar dengan kelebaran dua ke tiga milimeter (mm)

“Cacing akan mati sendiri dalam tempoh empat hingga lapan minggu.

“Komplikasinya membuatkan pesakit berasa gatal lalu mendorong mereka menggaru kulit tapak kaki dan menyebabkan kemasukan bakteria.

“Jangkitan bakteria mengakibatkan timbulnya kudis dan bisul,” katanya.

JANGKITAN ‘cutaneous larva migrans’ pada kaki
JANGKITAN ‘cutaneous larva migrans’ pada kaki

Dr Julie berkata, terdapat juga jangkitan bakteria berbahaya seperti ‘clostridium tetani’ iaitu penyebab penyakit tetanus yang kumannya hidup dalam tanah.

“Ia sangat berisiko kepada individu yang berjalan berkaki ayam yang mempunyai luka pada kaki, sama ada disedari atau tidak.

“Kuman ini boleh memasuki tubuh melalui luka itu lalu menyebabkan kekejangan pada otot termasuk otot pernafasan,” katanya.

Jelasnya, jangkitan tetanus adalah satu daripada penyakit berbahaya yang boleh menyebabkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 7:00 AM