DIGALAKKAN memakai penutup hidung dan mulut jika berada di tempat awam.
DIGALAKKAN memakai penutup hidung dan mulut jika berada di tempat awam.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


GELOMBANG kedua penularan wabak Covid-19 menimbulkan keresahan ramai berikutan dua kes kematian dilaporkan di Malaysia setakat 19 Mac lalu.

Susulan itu kerajaan mengambil langkah drastik melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari sehingga 31 Mac ini.

Dalam tempoh itu, masyarakat menjalani proses ‘menjarakkan diri’ di rumah yang bukan sekadar menjarakkan hubungan sosial, tetapi perlu mengutamakan amalan pemakanan dan pemikiran yang sihat.

Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, amalan pemakanan sihat amat penting untuk meningkatkan imuniti tubuh melawan penyakit (termasuk virus korona) dan seterusnya menggelakkan jangkitan.

Beliau berkata, Covid-19 mudah menjangkiti warga emas, mereka yang mempunyai komorbiditi (menghidap dua atau lebih penyakit serentak) seperti kencing manis, sakit jantung, asma dan masalah buah pinggang kronik kerana mempunyai sistem imun badan yang rendah.

“Mereka yang tidak dijangkiti wabak ini sangat digalakkan mengambil makanan berkhasiat seperti buah-buahan, sayuran segar dan sumber protein daripada ayam, telur serta ikan.

“Sumber makanan ini mempunyai kandungan vitamin C, A dan D yang tinggi serta diperlukan badan untuk melawan penyakit,”katanya.

Selain itu, katanya, pastikan makanan yang berasaskan daging perlu dimasak dengan betul dan tidak dimakan mentah.

“Ini kerana jangkitan kuman masih boleh terjadi terhadap makanan yang tidak dimasak dengan betul atau dicemari patogen.

“Pada masa sama digalakkan minum air masak mencukupi iaitu kira-kira dua liter sehari bagi wanita dan tiga liter untuk lelaki,” katanya.

DR Sharifa Ezat.
DR Sharifa Ezat.

Menurutnya, kekurangan air boleh menyebabkan sel dalam badan tidak berfungsi dengan baik.

“Kesihatan usus dan penghadaman adalah penting kerana kebanyakan fungsi kesihatan badan bermula daripada kesihatan usus yang baik.

“Elakkan makan makanan segera termasuk dalam tin dan minuman tinggi gula kerana boleh menggalakkan penyakit termasuk jangkitan kuman ke dalam badan,”katanya.

Dr Sharifa Ezat berkata, cahaya matahari juga membantu penghasilan vitamin D dan dikatakan dapat mengurangkan jangkitan Covid-19.

“Pengudaraan udara segar adalah sangat baik untuk individu dan elakkan duduk dalam keadaan tertutup bagi tempoh lama,”katanya.

Jelasnya, terdapat kenyataan mengatakan halia, bawang putih dan kunyit berupaya melawan Covid-19. Selain beberapa kajian mengaitkan makanan itu dengan fungsi antikeradangan dan membunuh kuman.

Namun, katanya, kajian percubaan klinikal ke atas manusia belum dapat dibuktikan secara besar-besaran.

Dalam pada itu, Dr Sharifa Ezat berkata, corak kehidupan yang positif juga perlu ditekankan sepanjang menjalani proses ini (menjarakkan hubungan sosial) memandangkan terikat berada di rumah dalam tempoh yang lama.

“Ini untuk menggelakkan individu mengalami masalah kesunyian, kemurungan dan tekanan.

“Tekanan boleh dikurangkan dengan melakukan aktiviti antaranya bercucuk tanam, berkomunikasi dengan rakan menerusi dalam talian, menulis buku, riadah ringan, memasak dan menjahit,”katanya.

Beliau juga menggalakkan masyarakat menggelak menghisap rokok dan vape. Ini kerana terdapat kajian mengatakan jangkitan lebih mudah berlaku kepada pengguna rokok dan vape.

Bagaimanapun, katanya, aktiviti itu perlu dilakukan di kawasan yang tidak ramai orang di samping mengutamakan kebersihan diri.

“Kerap cuci tangan menggunakan sabun selama 20 saat atau cecair pembasmi kuman yang mempunyai kandungan alkohol melebihi 70 peratus.

“Menjaga jarak satu meter lebih dengan individu lain dan elak berkumpul ramai-ramai sebagai langkah pencegahan yang lebih selamat,”katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 6:15 AM