Dr Mohamed Rafi Feizal dan Dr Ummul Wahiy Abdul Hakim

Jangkitan Pranatal (Bahagian 1)

Kesihatan masa depan bayi bermula dari masa ibu disahkan hamil lagi. Pertumbuhan janin dan kesihatannya dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti kesihatan dan jangkitan terhadap ibu semasa hamil. Jangkitan semasa hamil boleh menyebabkan masalah seperti kehilangan pendengaran dan penglihatan, ketidakupayaan mental dan juga kecacatan fizikal.

Bakal ibu bapa bertanggungjawab untuk peka dan mengetahui jangkitan yang lazim bagi membantu ibu menjauhkan diri daripada sumber jangkitan, sekali gus membantu bayi berkembang dengan sihat tanpa risiko mendapat jangkitan pranatal.

Antara simptom pada ibu yang memerlukan konsultasi doktor dengan kadar segera adalah:

1. Pengurangan pergerakan atau tiada pergerakan janin selepas minggu ke-20 kehamilan.

2. Ibu dijangkiti demam yang tidak dapat dijelaskan.

3. Ibu berhubung secara terus dengan orang atau haiwan yang dijangkiti.

Tiga jangkitan yang ibu bapa perlu peka:

1. Streptokokus Kumpulan B (GBS)

GBS adalah bakteria yang biasa didapati dalam saluran faraj wanita dan boleh disalurkan kepada bayi semasa kelahiran. Bakteria ini biasanya tidak berbahaya kepada wanita itu sendiri, tetapi boleh menyebabkan jangkitan serius buat bayi.

Pencegahan: Tiada, kerana penyebab jangkitan pada orang dewasa tidak diketahui.

Simptom: Bakteria ini jarang menyebabkan bahaya kepada orang dewasa. Kadangkala wanita mungkin mendapat jangkitan saluran air kencing, keputihan yang lebih atau lain daripada biasa atau kesakitan bahagian luar faraj.

Ujian: Ujian untuk GBS dilakukan apabila anda mengandung 35 hingga 37 minggu.

Rawatan: Doktor anda akan memberi antibiotik ketika bersalin untuk melindungi bayi anda.

Risiko kepada bayi jika dijangkiti: Bayi yang baru lahir dan dikhuatiri dijangkiti GBS mungkin menunjukkan tanda-tanda ini:

• Demam

• Masalah pemakanan

• Masalah pernafasan

• Tidak aktif

• Suhu badan yang tinggi

Bayi yang dijangkiti memerlukan rawatan antibiotik di hospital.

2. Cytomegalovirus (CMV)

CMV adalah virus yang boleh melintasi uri dan menjangkiti bayi yang dikandung oleh ibu. Virus CMV merebak melalui hubungan dengan cecair orang yang dijangkiti, selalunya kanak-kanak. Oleh itu, guru atau mereka yang bekerja dengan kanak-kanak lebih cenderung untuk mendapat jangkitan ini.

Jangkitan CMV paling berbahaya pada janin jika ia berlaku pada awal kehamilan.

Pencegahan: Kerap mencuci tangan dan mainan untuk mengelakkan sentuhan dengan air liur atau air kencing kanak-kanak. Jangan berkongsi gelas dan peralatan makanan.

Simptom: Tidak semua ibu yang dijangkiti menunjukkan tanda. Kadangkala simptom yang mungkin ditunjukkan ibu adalah demam, bengkak kelenjar, sakit badan, kurang selera makan dan sakit sendi. Doktor akan lebih mengesyaki jangkitan CMV jika ibu bekerja dengan kanak-kanak, menunjukkan simptom seperti di atas atau mendapat ujian ultra bunyi yang menunjukkan kekurangan air ketuban, janin kecil atau tisu otak janin yang besar.

Ujian: Jangkitan kali pertama pada ibu hamil adalah lebih bahaya daripada ibu yang pernah mengalami CMV sebelum ini. Doktor boleh menjalankan ujian darah untuk memastikan ibu pernah dijangkiti sebelum ini dan mempunyai antibodi. Doktor juga boleh menjalankan amniosentesis sekiranya perlu untuk memastikan sama ada janin dijangkiti atau tidak. Bagi bayi yang baru lahir jangkitan boleh dipastikan melalui ujian air liur, kencing atau darah.

Rawatan: Tiada rawatan untuk menyembuhkan CMV sepenuhnya, tapi sesetengah antiviral boleh digunakan untuk mengurangkan kesan jangkitan.

Risiko pada bayi: Sesetengah tanda bahawa bayi mungkin mempunyai jangkitan kongenital CMV ketika mereka dilahirkan adalah seperti:

• Saiz kepala kecil

• Kejang

• Ruam

• Masalah hati, limpa dan paru-paru

85 hingga 95 peratus bayi tidak menunjukkan sebarang masalah atau tanda selepas dilahirkan, tapi 10 hingga 15 peratus daripada kumpulan ini lambat-laun akan menunjukkan permasalahan pendengaran, mental atau koordinasi.

3. Listeriosis

Listeriosis adalah penyakit yang berpotensi serius disebabkan bakteria Listeria monocytogens. Ia menjangkiti individu dengan sistem imun yang lemah seperti wanita hamil, apabila mereka makan makanan yang tercemar.

Pencegahan: Elakkan makan daging yang tidak dimasak sepenuhnya, daging proses, susu mentah, keju lembut (yang dibuat oleh susu tidak pasteur), nasi sejuk atau tidak dipanaskan dan sayuran yang tidak dibasuh sempurna.

Gejala: Demam, kelesuan, sakit otot atau sakit kepala.

Ujian: Tiada ujian rutin dilakukan untuk mengesan listeriosis

Rawatan: Doktor mungkin memberikan antibiotik jika seseorang mengalami gejala ini.

Risiko kepada bayi:

• Muntah

• Keresahan

• Masalah pemakanan

• Jaundis (menguning kulit dan mata)

• Ruam

• Kesukaran bernafas

Maka, ikutlah garis panduan dan nasihat doktor sebelum, semasa dan selepas kehamilan melalui jadual lawatan berkala dengan doktor anda, terutama jika anda hamil atau merancang untuk hamil.

Perlu diingat bahawa penyakit berjangkit ini mungkin tidak memberi kesan risiko tinggi kepada ibu, namun boleh mengakibatkan keguguran atau kematian kandungan, manakala risiko jangka panjang kepada anak ialah hilang pendengaran, meningitis, sepsis, pneumonia dan kelemahan fungsi organ di dalam badan.

Sila berbincang dengan doktor jika anda terdedah kepada individu yang dijangkiti atau anda mendapat simptom yang memerlukan kepastian. Kita akan membincangkan beberapa jangkitan lain yang boleh memberi kesan kepada janin, di dalam siri akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 6:02 AM