Nurul Husna Mahmud

APABILA mencapai usia akil baligh, perubahan fisiologi setiap orang termasuklah pertumbuhan bulu roma lebih lebat pada bahagian tertentu tubuh iaitu perubahan rambut ‘vellus’ (rambut nipis, kecil dan tidak gelap sejak bayi) ke rambut terminal.

Bagi lelaki pertumbuhan tertumpu di kawasan bawah dada, perut, ketiak, kaki, lengan, anggota sulit termasuklah bahagian muka iaitu dagu atau atas bibir, tidak dilihat sebagai gangguan serius.

Malah segelintir kaum Adam berpandangan pertumbuhan bulu roma pada bahagian tertentu menyerlahkan sisi maskulin dan bonus kepada ketrampilan mereka.

Sebaliknya, jika hal itu berlaku pada wanita, pertumbuhan bulu roma lebat boleh mengundang rasa kurang selesa. Malah ada wanita menghadapi krisis keyakinan diri apabila berasa terganggu dengan pertumbuhan ‘rambut tubuh’ pada bahagian yang tidak sepatutnya.

Masyarakat selalu beranggapan wanita ‘berkumis’ hilang ciri feminin, sedangkan masalah itu tidak semestinya menjejaskan fungsi atau kesihatan.

Begitu juga keadaannya apabila bulu halus tumbuh di lengan atau kaki lebih lebat daripada biasa.

Pakar Perunding Kulit UiTM Private Specialist Centre, Dr Tarita Taib, berkata pelbagai faktor mempengaruhi pertumbuhan bulu roma tubuh termasuklah genetik dan hormon yang menentukan paras androgen dan keberkesanan testosteron pada kulit yang merangsang pertumbuhannya.

Malah kata pakar itu,

di Asia, pertumbuhan bulu roma tubuh lebat tidaklah begitu ketara berbanding situasinya pada individu di negara Selatan Eropah, Timur Tengah dan negara Mediterranean lain.

Selain itu penduduk Afrika yang mempunyai rambut lebih gelap dan struktur helaian rambut yang tebal menyebabkannya kelihatan lebih ketara.

Namun katanya, pertumbuhan bulu roma lebih tebal daripada biasa mungkin menandakan masalah kesihatan lain terutama bagi mereka yang menghadapi penyakit berkait hormon.

“Apabila umur sudah mencapai akil baligh, setiap orang tidak boleh mengelak mengalami perubahan ini.

“Untuk kefahaman umum pertumbuhan bulu roma di seluruh badan dipengaruhi oleh hormon androgen kecuali di kepala seperti rambut atau kening.

“Jadi secara semula jadi kitaran pertumbuhan bulu roma pada badan lebih singkat berbanding pertumbuhan rambut, kening dan bulu mata.

“Pertumbuhan bulu roma pada anggota tubuh tertentu yang terlalu lebat disebabkan gangguan sistem hormon membabitkan masalah kelenjar adrenal, ovari dan kelenjar pitutari yang disebabkan gangguan sistem imun, ketumbuhan dan lain-lain.

“Secara mudah pertumbuhan bulu roma boleh menjadi penanda atau gejala pelbagai penyakit lain ini termasuklah gangguan hormon, kanser atau kesan ubat,” katanya.

Menerangkan kaitan pertumbuhan bulu roma wanita, kata Dr Tarita, paras hormon juga dipengaruhi faktor usia dan semakin meningkat usia, kesannya kepada pertumbuhan bulu roma badan ialah makin berkurang.

RAJAH bagaimana lazer merapi bulu badan  di permukaan kulit.
RAJAH bagaimana lazer merapi bulu badan di permukaan kulit.

“Untuk perkembangan bulu roma, kemuncak pertumbuhan bulu pastinya apabila mereka pada peringkat usia aktif iaitu akhir baligh (belasan hingga 20-an) yang menyusut pada usia 50 hingga 60 tahun. Pada tahap itu mereka tidak perlu khuatir dengan kerja merapi bulu roma lagi.

“Tetapi andai ada yang mengalami sebaliknya iaitu pada usia 50 hingga 60 tahun, pertumbuhan bulu roma makin lebat dan mendadak, maknanya mereka dalam masalah.

“Ini termasuk petanda kepada pertumbuhan simptom sel kanser yang mengganggu rembesan hormon yang terbabit dalam pengawalan pertumbuhan bulu roma badan.

“Jika anda mengalami atau mempunyai gejala itu, disarankan untuk menjalani ujian saringan di hospital,” katanya.

Antara penyakit berkaitan pertumbuhan bulu roma

luar biasa:

1. Hirsutisme iaitu pertumbuhan rambut berlebihan pada bahagian tidak sepatutnya seperti dagu, atas mulut dan dada pada perempuan.

2. Hiperplasia adrenal kongenital menyebabkan pertumbuhan rambut abnormal dari peringkat kanak-kanak.

3. Penyakit endokrin membabitkan gangguan kelenjar hormon dan aktiviti enzim yang terlebih aktif dalam menggalakkan pertumbuhan.

4. Gangguan Hormon

i . Ovari dan Kelenjar Andrenal yang bertanggungjawab merembes hormon untuk pertumbuhan bulu badan.

ii. Kelenjar Pituitari iaitu merembes hormon boleh merangsang organ ovari dan adrenal untuk pertumbuhan bulu roma badan.

5. Sindrom ovari polisistik (PCOS) keadaan yang mempengaruhi tahap hormon wanita.

Wanita dengan PCOS menghasilkan jumlah hormon lelaki yang lebih tinggi daripada biasa.

Ketidakseimbangan hormon ini menyebabkan mereka melangkau tempoh haid, haid tidak teratur dan menjadikannya lebih sukar untuk hamil.

6. Kanser seperti kanser paru-paru yang merangsang hormon ACTH.

7. Kesan ubat seperti steroid, danazol dan lain-lain.

Pilihan merapi bulu badan lebat

Sementara itu, tambah Dr Tarita lagi, ketika ini terdapat pelbagai pilihan dalam merapi bulu berlebihan.

“Untuk kes bulu badan lebat bukan disebabkan gejala atau penyakit luar biasa, mereka boleh merapi bulu berkenaan secara mekanikal iaitu bercukur, berlilin dan mencabut.

“Malah ketika ini ada pelbagai pilihan produk boleh digunakan asal tidak memberi kesan radang kepada kulit yang boleh menyebabkan jangkitan pada bulu roma iaitu folikulitis.

“Jika menggunakan pisau cukur, sebaiknya jangan berkongsi dengan orang lain, gantikan mata pisau atau tukar pisau cukur selalu. Mitos mengenai mencukur bulu roma akan menyebabkan pertumbuhannya jadi lebih lebat adalah tidak tepat.

“Sebaliknya pisau cukur hanya memotong bahagian atas folikel dan tidak sampai ke akarnya yang menyebabkan pertumbuhan kelihatan lebih cepat dan rapat.

“Hakikatnya, kadar pertumbuhannya adalah normal. Kalau hendak tahan lebih lama mungkin pilihan mereka ialah ‘wax’ atau menggunakan lilin serta krim penanggal bulu khas.

“Terkini terdapat rawatan iaitu menggunakan laser bagi mengatasi masalah bulu badan lebat. Ia dikenali dengan Intense Pulse Laser (IPL), Nd Yag (Long Pulse) dan Diode Laser,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 9:01 AM