MESIN terbaru MRI milik Pusat Penyelidikan MRI Universiti Malaya. FOTO/SUPIAN AHMAD
MESIN terbaru MRI milik Pusat Penyelidikan MRI Universiti Malaya. FOTO/SUPIAN AHMAD
Hafiz Ithnin


Ramai antara kita sebenarnya mempunyai sikap tidak mengambil endah apabila berasa sakit di bahagian belakang badan atau tengkuk terutama ketika sibuk bekerja di pejabat.

Malah bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak sering mengandaikan sakit di bahagian perkara biasa dan tidak perlu dirisaukan sedangkan ia boleh mendatangkan kesan pada masa depan.

Hakikatnya, kedua-dua situasi itu aantara simptom awal bagi masalah cakera tulang belakang yang teranjak atau tergelincir.

Perunding Pembedahan Ortopedik Hospital Colombia Asia, Dr Yoga Raj berkata, masalah cakera teranjak tidak hanya berlaku kepada warga emas tetapi mereka yang baru berusia 25 tahun juga boleh mengalaminya.

Beliau menjelaskan, tulang belakang terdiri daripada 33 tulang yang diasingkan oleh cakera. Cakera itu kolagen yang lembut dan dikelilingi tisu bergentian yang kuat.

IMBASAN x-ray keadaan tulang belakang milik Aida Natasha Abdullah, 16, akibat menderita penyakit tulang belakang bengkok atau dikenali sebagai Adoloscent Idiopathic Scoliosis sejak awal Mac lalu ketika ditemui di Bangunan Kota Cemerlang, Ayer Keroh.
IMBASAN x-ray keadaan tulang belakang milik Aida Natasha Abdullah, 16, akibat menderita penyakit tulang belakang bengkok atau dikenali sebagai Adoloscent Idiopathic Scoliosis sejak awal Mac lalu ketika ditemui di Bangunan Kota Cemerlang, Ayer Keroh.

“Tugas cakera untuk membenarkan pergerakan kepada tulang belakang selain sebagai penyerap hentakan bagi memastikan badan selamat daripada hentakan kuat ketika melakukan aktiviti harian.

“Meskipun tisu bergentian ini kuat, ia boleh koyak disebabkan beberapa faktor seperti mengangkat barang berat dengan posisi tidak betul, duduk terlalu lama atau terdapat kecederaan lama seperti akibat kemalangan,” katanya.

Jelasnya, faktor-faktor seperti itu boleh mengakibatkan seseorang mengalami kesakitan pada tulang belakang. Jika dibiarkan, boleh menjadi lebih teruk apabila kolagen yang ‘terlepas’ atau tergelincir daripada tisu bergentian menekan saraf tunjang di dalam tulang belakang.

“Penyakit ini boleh berlaku pada mereka berumur antara 25 ke 50 tahun disebabkan pekerjaan berat, kemalangan, kecederaan sukan atau berat badan melampau.

PEMBEDAHAN kurang invasif dengan teknologi KINEVO 900 membantu pakar bedah meningkatkan kecekapan dan mengurangkan masa pembedahan.
PEMBEDAHAN kurang invasif dengan teknologi KINEVO 900 membantu pakar bedah meningkatkan kecekapan dan mengurangkan masa pembedahan.

“Manakala, kes cakera teranjak ini membabitkan warga emas yang berumur lebih 55 tahun disebabkan kecederaan yang berlaku semasa usia muda ataupun kemerosotan tisu gentian akibat umur yang meningkat,” katanya.

Dr Yoga menambah, simptom awal boleh dirasai adalah sakit pada tulang belakang. Sakit ini akan bertambah jika melakukan aktiviti dan berkurang apabila pesakit rehat.

“Sekiranya dibiarkan ia akan melarat. Pesakit akan berasa sakit pada pinggul, belakang paha dan betis. Seterusnya, pesakit mungkin kebas di kawasan berkenaan.

“Ada segelintir pesakit berasa bahagian kaki berat atau lemah. Kesakitan ini berbeza dengan terseliuh kerana berpanjangan iaitu lebih daripada dua minggu,” katanya.

CARA mengangkat barang atau bebanan penting bagi memastikan ia tidak memberi tekanan kepada tulang belakang.
CARA mengangkat barang atau bebanan penting bagi memastikan ia tidak memberi tekanan kepada tulang belakang.

Dari segi rawatan, Dr Yoga berkata, jika simptom itu masih berterusan, seseorang dinasihatkan terus mendapatkan pengesahan doktor kerana sakit tulang belakang mungkin disebabkan penyakit lain contohnya jangkitan kuman atau barah.

Tambahnya, pesakit juga perlu menjalani rawatan pengambilan ubat-ubatan dan menjalani fisioterapi memandangkan kebanyakan penghidap sembuh selepas menjalani kedua-dua kaedah rawatan itu.

“Terdapat segelintir yang masih sakit walaupun sudah berubat selama sebulan atau lebih.

“Mereka mungkin memerlukan rawatan laser, radiofrekuensi atau pembedahan untuk mengeluarkan cakera yang teranjak.

“Meskipun pembedahan dapat mengeluarkan cakera yang teranjak, ia mengakibatkan beberapa risiko termasuk sakit tulang belakang yang berpanjangan selepas pembedahan, jangkitan kuman pada tempat pembedahan atau lumpuh.

PETUGAS mengangkat barang bagi membuat persiapan terakhir sempena program Semarak Ramadan BH di Dewan Serbaguna Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar.
PETUGAS mengangkat barang bagi membuat persiapan terakhir sempena program Semarak Ramadan BH di Dewan Serbaguna Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar.

“Bagi warga emas, terutama yang menghidap penyakit lain, rawatan secara pembedahan mempunyai risiko tinggi kepada tahap kesihatan mereka.

“Pada peringkat permulaan rawatan sememangnya disarankan untuk melakukan fisioterapi terlebih dahulu,” katanya.

Menurutnya, meskipun proses pembedahan cakera pada tulang teranjak kerana tisu bergentian koyak sudah dilakukan, tisu itu tidak dapat dibetulkan.

“Tambahan, apabila cakera bergerak, ia juga tidak dapat dibetulkan atau dikembalikan ke kedudukan asal.

“Oleh itu, ia hanya boleh dibiarkan, dikeluarkan atau diganti dengan sendi palsu,” katanya.

KEADAAN tulang belakang L4 dan L5 yang biasa berlaku slipped disc.
KEADAAN tulang belakang L4 dan L5 yang biasa berlaku slipped disc.

Mengulas mengenai rawatan fisioterapi katanya, dari segi perubatan ia dapat membantu menguatkan otot dan mengurangkan rasa sakit. Ia juga cara yang disyorkan doktor untuk rawatan pesakit cakera teranjak.

Jelasnya, rawatan kiropraktik juga antara alternatif iaitu dengan manipulasi tulang belakang. Cara itu mungkin membantu pesakit tetapi bukan disarankan doktor.

Ditanya berkenaan rawatan dengan melakukan urutan, katanya, perkara itu adalah salah satu cara yang disukai oleh pesakit tetapi perlu diingatkan ia juga memberi risiko kepada pesakit pada masa depan.

“Pada peringkat awal urutan mungkin membuat keadaan bertambah baik tetapi masalah ini boleh berulang semula dalam jangka masa yang singkat.

“Pesakit juga perlu diingatkan untuk berhati-hati ketika berurut kerana urutan terlalu kuat di bahagian cakera bermasalah, berpotensi menjadi lebih teruk,” katanya.

KAEDAH fisioterapi menjadi rawatan awal sekiranya berlaku slipped disc.
KAEDAH fisioterapi menjadi rawatan awal sekiranya berlaku slipped disc.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 5:00 AM