SERANGGA penghisap darah triatomine bawa parasit penyakit Chagas.
SERANGGA penghisap darah triatomine bawa parasit penyakit Chagas.
Zaitie Satibi

Penyakit Chagas yang dilabelkan sebagai pembunuh senyap dengan tanda-tanda termasuk demam, letih, sakit, ruam dan kelenjar bengkak yang selalunya ditemukan di bahagian tengah dan selatan benua Amerika, kini dikatakan merebak ke negara lain antaranya Amerika Syarikat, Sepanyol, Itali, Perancis, Switzerland, United Kingdom, Australia dan Jepun.

Masalah kesihatan ini yang disebabkan oleh parasit Trypanosoma cruzi (T cruzi) disebarkan oleh serangga penghisap darah dipanggil triatomine, juga dikenali sebagai ‘kissing bug’ kerana cenderung menggigit wajah manusia sekitar mulut.

Jangkitan T cruzi membabitkan perpindahan menerusi bawaan vektor, ibu yang dijangkiti kepada anak dalam kandungan, pemindahan darah atau organ tercemar daripada penderma yang dijangkiti. Bagaimanapun, majoriti jangkitan disebabkan bawaan vektor seperti serangga triatomine.

Serangga itu kemudian menyebarkan parasit dengan mengeluarkan najis pada gigitan dan kemudiannya dipindahkan ke luka terbuka atau mata serta mulut. Wabak jangkitan ini dikatakan dahsyat kerana amat sukar untuk menyembuhkannya.

Oleh itu, pengesanan awal penyakit Chagas adalah sangat penting dan kritikal bagi membolehkan pesakit segera menjalani rawatan selepas terbukti dijangkiti. Pakar perubatan dapat mengesan penyakit itu melalui ujian darah dan sekiranya dikesan lebih awal, pesakit dapat dirawat dengan segera.

Jika tidak dirawat, jangkitan berlanjutan sepanjang hayat dan boleh mengancam nyawa seperti menyebabkan strok dan kegagalan jantung. Kira-kira 30 peratus pesakit yang dijangkiti Chagas mengalami komplikasi yang boleh mengancam nyawa seperti penyakit jantung kronik.

Bagi menangani wabak ini dengan lebih efektif, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengalihkan fokus terhadap saringan kesihatan ke atas wanita hamil bagi mengesan kehadiran T cruzi. Kajian baru-baru ini juga menunjukkan bahawa diagnosis awal dan rawatan terhadap wanita sebelum hamil juga dapat mencegah dengan berkesan pemindahan penyakit secara kongenital.

PARASIT Trypanosoma cruzi yang tersebar melalui perkongsian cecair badan.
PARASIT Trypanosoma cruzi yang tersebar melalui perkongsian cecair badan.

Pegawai Perubatan Jabatan Kawalan Penyakit Tropika Terabai WHO, Dr Pedro Albajar Vinas berkata, usaha mengenal pasti wanita hamil yang sudah dijangkiti dengan parasit ini termasuk bayi yang baharu dilahirkan menjadi cabaran besar di negara yang mengalami endemik dan tidak pernah mengalaminya.

“Melalui kawalan progresif penyebaran penyakit disebabkan vektor dan pemindahan darah, mengemas kini, pengukuhan dan mengembangkan saringan untuk pemindahan menerusi ibu kepada bayi adalah tindakan munasabah dan penting.

“Sehingga kini, strategi kawalan dan pencegahan penyakit Chagas sangat bergantung pada pengesanan dan rawatan awal bayi baharu lahir yang dijangkiti dan adik-beradik lain wanita hamil.

“Perubahan dilakukan baru-baru ini dalam pendekatan untuk mencegah penyebaran secara global termasuk di negara yang tidak mengalami endemik menerusi wanita hamil dan bayi baharu lahir membolehkan pencegahan dengan sangat baik,” katanya.

Katanya, secara umumnya dianggarkan kes penyakit Chagas yang tidak didiagnosis sebanyak 90 peratus, manakala pemindahan parasit secara kongenital adalah lebih tinggi. Ini adalah jenis penyebaran paling kerap berlaku terutama di kawasan yang tidak terdapat jangkitan akibat vektor dan darah tercemar.

Menyegerakan penyingkiran penyebaran secara kongenital ini bermaksud akan melaksanakan strategi dan kaedah untuk mengesan, menyaring dan mendiagnosis semua wanita hamil termasuk bayi baharu lahir yang dijangkiti dan ahli keluarga lain supaya mereka boleh diberikan rawatan secepat mungkin.

Ini termasuk melaksanakan strategi serupa terhadap semua gadis yang sudah matang seawal 19 tahun di mana keberkesanan rawatan antiparasit lebih tinggi dalam kalangan mereka berbanding wanita dewasa.

Penyakit Chagas ditemui kebanyakannya di kawasan endemik di 21 negara Amerika Latin dengan penyebaran jangkitan paling tinggi terhadap manusia disebabkan sentuhan najis atau air kencing serangga ‘kissing bug’.

Serangga penghisap darah ini biasanya menghuni dalam rekahan dinding atau atap kediaman di kawasan miskin luar bandar. Ia bersembunyi pada waktu siang dan menjadi aktif serta keluar mencari makan pada waktu malam.

Ia juga biasa menggigit pada kawasan kulit yang terdedah seperti muka dan akan mengeluarkan najisnya berhampiran tempat gigitan. Parasit yang dibawa kemudian memasuki tubuh manusia apabila manusia secara tidak sengaja menyapu najis serangga itu ketika menggaru dan terkena luka gigitan yang terdedah, mata atau mulut.

TEMPAT gigitan serangga triatomine membengkak.
TEMPAT gigitan serangga triatomine membengkak.

Berabad-abad lamanya, penyakit ini hanya terdapat dalam kalangan populasi luar bandar di Amerika Latin. Namun, penghijrahan penduduk dari kawasan luar bandar ke bandar termasuk ke negara lain secara tidak langsung menyebabkan penyakit merebak lebih meluas dan cara pemindahan juga tidak lagi melalui serangga sebaliknya perkongsian cecair dalam badan.

Bagaimanapun, terdapat kes jangkitan dilaporkan berlaku dalam kalangan pelancong yang baru pulang dari Amerika Latin dan anak angkat yang dibawa dari negara rantau itu. Dianggarkan enam hingga tujuh juta penduduk dunia dijangkiti T cruzi.

Malangnya, masih belum ada vaksin untuk penyakit ini. Disebabkan itu, kawalan vektor dan pemindahan membabitkan cecair badan termasuk daripada ibu kepada bayi dalam kandungan kekal menjadi kaedah paling berkesan untuk mencegah penyebaran di Amerika Latin.

Penyakit Chagas dikesan dalam dua fasa iaitu akut dan kronik. Bagi fasa akut yang muncul kira-kira dua bulan selepas jangkitan, sebilangan parasit akan mula beredar dalam darah. Bagaimanapun, dalam kes tertentu pesakit tidak menunjukkan simptom atau simptomnya sederhana dan tidak dikenal pasti.

Kurang 50 peratus pesakit yang digigit serangga triatomine, ciri pertama yang ditunjukkan adalah kulit melepuh atau bengkak ungu pada kelopak mata. Seterusnya, pesakit akan mula demam, pening, kelenjar limfa membengkak, sukar bernafas serta sakit perut, otot atau dada.

Sewaktu fasa kronik pula, kebanyakan parasit bersembunyi dalam hati dan otot pencernaan serta simtomnya muncul dalam tempoh 10 atau 20 tahun selepas dijangkiti. Sehingga 30 peratus pesakit menderita gangguan kardiak (jantung), lebih 10 peratus menderita masalah penghadaman terutama pembengkakan esofagus dan kolon.

Beberapa tahun kemudian jangkitan boleh menyebabkan kematian mengejut akibat gangguan rentak jantung atau kegagalan jantung yang progresif berikutan kemusnahan otot jantung dan sistem saraf.

GIGITAN serangga triatomine menyebabkan kelopak mata bengkak.
GIGITAN serangga triatomine menyebabkan kelopak mata bengkak.

Cara lain jangkitan parasit

• Pengambilan makanan yang tercemar dengan najis serangga triatomine

• Pemindahan darah daripada penderma dijangkiti

• Bayi dalam kandungan ibu dijangkiti

• Pemindahan organ daripada penderma dijangkiti

• Kecuaian makmal

Fakta

1. Penyakit Chagas dinamakan sempena penyelidik dan pakar perubatan Brazil, Carlos Ribeiro Justiniano Chagas, yang menemui penyakit ini pada 1909.

2. Penyakit ini juga dikenali sebagai American trypanosomiasis, penyakit mengancam nyawa disebabkan parasit protozoa, Trypanosoma cruzi (T cruzi).

3. Dianggarkan enam hingga tujuh juta orang dijangkiti T cruzi di seluruh dunia

4. Kos rawatan penyakit ini juga meningkat mencecah jutaan ringgit setiap tahun di negara endemik.

Simptom fasa akut

• Bengkak di tempat gigitan

• Demam

• Letih

• Ruam

• Sakit-sakit badan

• Kelopak mata bengkak

• Sakit kepala

• Hilang selera makan

• Kelenjar membengkak

• Hati dan limpa bengkak

Simptom fasa kronik

• Rentak jantung tidak sekata

• Kegagalan jantung

• Serangan jantung mengejut

• Susah menelan kerana esofagus bengkak

• Sakit perut atau sembelit kerana usus bengkak

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 8:00 AM