PENDAKAP belakang untuk menyokong bahagian tulang belakang.
PENDAKAP belakang untuk menyokong bahagian tulang belakang.
Nurul Husna Mahmud

Jika bekerja di dalam pejabat memerlukan anda duduk berjam-jam lamanya, jangan malas untuk membuat senaman ringan.

Tabiat itu menyebabkan anda menghadapi masalah kecederaan pada tulang lembut (cakera) dikenali sebagai cakera intervertebra.

Selain pekerja pejabat, mereka yang bekerja sebagai pemandu lori, bas atau teksi tidak terkecuali mengalami masalah cakera tergelincir. Ia diburukkan lagi dengan sikap pesakit yang turut mengamalkan cara atau postur duduk dan tidur yang salah.

Pakar fisioterapi Flex Physiotherapy Wan Muhamad Zahid Wan Zullkefli berkata, bebanan kerja dalam tempoh berpanjangan tanpa inisiatif mendapatkan rawatan atau senaman pencegahan boleh menjejaskan kesihatan cakera tulang belakang.

“Cakera intervertebra terdiri daripada tisu kuat dipanggil annulus fibrosus dan di dalamnya terkandung sejenis bahan lembut iaitu nukleus polposus.

“Apabila struktur annulus fibrosus terkoyak, ia akan menyebabkan nukleus pulposus menerobos keluar lalu menekan struktur saraf.

“Pesakit akan mengalami sakit belakang keterlaluan sehingga merebak ke kaki. Selain itu pesakit boleh juga mengalami gejala lain iaitu lemah dan kebas bahagian belakang badan.

“Ada juga keadaan lain iaitu kegagalan mengawal air besar atau air kencing atau dikenali dengan kauda ekuina sebagai gejala yang menerangkan pesakit menghadapi penyakit terbabit,” katanya.

Kata Zahid, pesakit mengalami masalah cakera tergelincir biasanya perlu menjalani fisioterapi menerusi teknik ‘lumbar traction’ iaitu menarik pinggang pesakit menggunakan pemberat bagi meregangkan ruas antara tulang belakang pesakit.

TEKNIK ‘lumbar traction’ untuk jarakkan ruas tulang belakang.
TEKNIK ‘lumbar traction’ untuk jarakkan ruas tulang belakang.

“Di samping itu, pesakit akan turut menjalani senaman terapi lain bagi menguatkan otot dan bahagian abdomen sebagai sokongan kepada tulang.

“Rawatan komprehensif ini memerlukan kombo iaitu mesin terapi disertakan dengan senaman pemulihan bagi menjadikan lebih cekap dan berkesan.

“Di luar waktu rawatan, pemakaian peralatan dan kelengkapan rehabilitasi juga seperti pendakap belakang perlu bagi memastikan kelangsungan terhadap usaha menyokong tulang dan otot bahagian belakang,” katanya.

Terapi diberikan kepada pesakit biasanya merujuk kepada lima elemen penting iaitu;

1. Mengurangkan rasa sakit

2. Menguatkan otot belakang dan abdomen

3. Mengekalkan julat pergerakan badan

4. Meningkatkan julat pergerakan badan

5. Membantu pesakit melakukan aktiviti seharian secara maksimum tanpa rasa sakit.

ANTARA rawatan bagi membetulkan cakera tergelincir.
ANTARA rawatan bagi membetulkan cakera tergelincir.

Cakera tergelincir

• 70 peratus golongan dewasa akan mengalami sakit belakang.

• Lebih 50 peratus daripada jumlah ini akan sembuh dalam masa seminggu selepas mendapatkan rawatan.

• 90 peratus lagi sembuh antara satu hingga tiga bulan selepas rawatan.

• Hanya sebahagian mengalami sakit belakang mempunyai masalah gelincir cakera.

• Gelincir cakera berlaku secara majoritinya dalam kalangan pemuda usia 20-an ke 30-an terutamanya bekerja sebagai buruh kasar dan selalu mengangkat bebanan.

• Mengikut kajian, individu yang obes dan merokok juga lebih mudah mengalami masalah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 12:30 AM