Agihan di beberapa masjid dan lokasi ditetapkan.
Agihan di beberapa masjid dan lokasi ditetapkan.

Kuala Lumpur: Kematian itu adalah sesuatu yang pasti dilalui oleh semua makhluk hidup tanpa terkecuali.

Mengingat mati itu sendiri satu ibadah. Hal ini kerana dengan mengingati kematian, kita akan menjadi orang yang senantiasa bertaubat dan menyesali kesalahan yang kita lakukan.

Malah beberapa tahun kebelakangan ini, menjadi trend ramai pengusaha menjalankan perniagaan dengan menjual kit pengurusan jenazah untuk lelaki dan wanita sebagai tuntutan Fardu Kifayah sesama insan.

Pertubuhan Sukarelawan Ad Diniah juga tak terkecuali menjalankan kempen amal pengagihan set kain kafan dan pengurusan jenazah atas paksi kebajikan.

Penaung pertubuhan berkenaan, Ustaz Zakaria Awang berkata kempen sumbangan set pengurusan jenazah termasuk kain kafan itu tercetus sebagai usaha amal kebajikan yang tidak pernah ada noktahnya.

"Kita mudahkan urusan atau ringankan beban orang, insya-Allah urusan sendiri juga akan dipermudah. Berbuat baik dan menambah pahala sendiri tiada garis penamatnya.

"Perkara yang dihadapi dan dilalui bagi setiap yang hidup kadangkala menjadi kesulitan tanpa diduga. Contohnya pihak masjid dan keluarga si mati.

"Jadi tercetuslah idea pihak kami dalam pengagihan set pengurusan jenazah ini. Malah saya memuji ada golongan artis dan ustaz selebriti yang menggunakan pengaruh mereka menjual set seumpama itu," katanya.

Kit pengurusan jenazah
Kit pengurusan jenazah

Kempen ini sudah memasuki bulan ketiga dan sudah lebih 300 set kelengkapan berkenaan diagihkan kepada masjid yang memerlukan.

"Selepas tiga bulan kempen ini berlangsung, lebih 20 buah masjid sekitar Kajang dan di Pantai Timur sudah menerima agihan set kelengkapan pengurusan jenazah itu.

"Kebiasaannya, kita akan dapatkan semua senarai masjid termasuklah di Semenyih dan Negeri Sembilan. Malah kita juga berhubung dan merujuk ahli jawatankuasa (AJK) masjid.

"Jika masjid berkenaan ada menguruskan jenazah dan perlukan set kelengkapan jenazah kita akan utamakan kepada masjid memerlukan," katanya.

Ad Diniah mensasarkan pengagihan pengurusan jenazah termasuk kain kafan lebih 10,000 set.

"Sekiranya orang ramai ingin menyumbang atau menginfaq kelengkapan jenazah ini boleh hubungi Ustazah Hazwani selaku pegawai bertanggungjawab di talian 011-55066972. Atau boleh layari sumbangankainkafan.com.

"Bagi pihak yang sudi membantu dalam hal sebegini, mudah-mudahan kita dapat meringankan beban golongan memerlukan termasuk asnaf, pihak masjid dan pengurusan.

"Harapan kami sumbangan dan infaq bantuan ini dapat menjadi asbab kepada suatu gejala pahala yang besar dengan mempermudah urusan kematian ialah urusan fardhu kifayah. Kalau kita dapatkan melaksanakan pengurusan ini, kita akan memiliki pahala yang melebihi dari ibadah dan amalan sunat," katanya.

Ditanya mengenai keunikan set set pengurusan jenazah ini berbanding dengan set yang lain, Zakaria berkata ia didatangkan dengan kain sudah sedia berjahit dan dipotong.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 10:48 AM