Duta Arab Saudi di Malaysia Mahmoud Hussein Qattan
Duta Arab Saudi di Malaysia Mahmoud Hussein Qattan

Kuala Lumpur: Kerajaan Arab Saudi mengisytiharkan 22 Februari setiap tahun sebagai hari cuti umum bagi memperingati penubuhan negara itu pada 1727 oleh Imam Muhammad Saud, bapa pengasas negara itu.

Pengumuman itu ditetapkan menerusi titah diraja yang dikeluarkan oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud menerusi laman Twitter rasminya sebagai memperingati hari Imam Mohammed Saud yang menubuhkan Diriyah sebagai sebuah negara kota autonomi pada 1727.

Menurut kenyataan dipetik itu, Baginda menghargai ulang tahun penubuhan negara yang diberkati ini pada 1727.

"Dan sejak tarikh itu sehingga ke hari ini, ia telah meletakkan asas kepada keamanan, kestabilan dan keadilan yang telah dicapai," katanya.

logo penubuhan arab saudi
logo penubuhan arab saudi

Dalam pada itu, menerusi kenyataan diterima, serentak meraikan detik bersejarah itu dianjurkan majlis sambutan penuh meriah selama tiga hari sejak 22 hingga 24 Februari diraikan rakyatnya dengan pelbagai pengisian yang dapat dimanfaatkan semua.

Ia termasuk perarakan, persembahan opera dan udara, pantulan cahaya, ekspo dan pameran berlangsung di Arena Show, Riyadh.

"Turut berlangsung satu majlis perarakan dan persembahan secara besar-besaran dengan tema "Perjalanan Pertama" di Wadi Namar, salah satu lokasi pelancongan di selatan Riyadh.

"Lebih daripada 3,500 orang terdiri daripada artis, pemuzik, pelakon dan penyanyi terbabit dalam menjayakan persembahan dan perarakan berkenaan. Pada majlis itu juga, Putera Raja Riyadh, Faisal Bandar Al-Saud turut mencemar duli," menurut kenyataan itu.

Bandar Diriyah sehingga hari ini merupakan perlambangan kepada keazaman dan kebanggaan Saudi. Negara Saudi moden tidak lahir daripada revolusi anarki atau perjuangan kemerdekaan pasca kolonial, ia hanyalah kehendak rakyat tempatan yang menginginkan sebuah negara dan membinanya dari titik permulaan.

Pakaian tradisional penduduk Arab Saudi
Pakaian tradisional penduduk Arab Saudi

Sementara itu, Duta Arab Saudi di Malaysia, Mahmoud Hussein Qattan, menyifatkan sambutan Hari Penubuhan Arab Saudi ini berbeza dengan Hari kebangsaan negara itu pada 23 September 1932.

"Kalau dikira sambutan pada 23 September itu adalah untuk negara Arab Saudi moden. Sebenarnya ia bermula pada abad ke-18 pada 1727. Itu adalah permulaan pertama penubuhan negara Arab Saudi.

"Sejarah kami sangat mendalam. Kami ingin menunjukkan kepada seluruh dunia tentang sejarah negara kami. Tidak kiralah sama ada mereka di tanah air sendiri mahupun di perantauan.

"Jika dilihat di Malaysia konsep perpaduan digunakan tampuk pimpinan untuk menyatukan rakyat mereka. Hal ini penting untuk membuka minda generasi muda memperingati kewujudan perpaduan itu melalui sejarah dan nenek moyang mereka," kata Mahmoud.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 1:30 PM