Penyerahan baucar hidangan McDonald’s sebagai tanda penghargaan terhadap perkhidmatan petugas barisan hadapan yang merawat pesakit Covid-19. - FOTO McDonald’s
Penyerahan baucar hidangan McDonald’s sebagai tanda penghargaan terhadap perkhidmatan petugas barisan hadapan yang merawat pesakit Covid-19. - FOTO McDonald’s
Hanis Aliaa Hidzir

SEJAK pandemik melanda negara, pelbagai pihak dilihat tampil dengan inisiatif membantu bukan sahaja golongan memerlukan malah menyokong usaha dilaksanakan pihak kerajaan memerangi pandemik Covid-19.

Menyedari peranan memastikan kebajikan rakyat Malaysia dan petugas barisan hadapan terpelihara, McDonald's Malaysia tampil dengan pelbagai inisiatif berterusan bagi menyokong Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekaligus memacu pemulihan negara daripada krisis Covid-19.

Usaha ini juga sebagai sebahagian usaha McDonald's mewujudkan nilai positif serta menunjukkan komitmen syarikat sebagai anggota masyarakat yang prihatin terhadap golongan memerlukan seiring dengan misi Program Komuniti @ McDonald's & RMHC.

Antara inisiatif terkini dilaksanakan McDonald's Malaysia termasuk sumbangan 10,000 hidangan melalui pemberian baucar kepada petugas barisan hadapan di hospital yang merawat pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Unit Penjagaan Kritikal (CCU).

"Kami ingin bersama-sama rakyat Malaysia menghadapi tempoh sukar ini dan terus menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

"Ini komitmen kami bagi menonjolkan semangat bersatu padu terutama ketika kita semua berusaha ke arah pemulihan negara dan situasi kembali normal," kata Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia Azmir Jaafar.

Dengan baucar berkenaan, petugas barisan hadapan dapat menikmati set hidangan Nasi Lemak McD dengan seketul Ayam Goreng McD dan Teh Ais Limau menerusi sebarang pembelian di McDonald's sehingga 31 Disember 2021.

Baucar kopi buat penerima vaksin

ImageBaucar minuman diagihkan kepada mereka yang menerima vaksin sejak pertengahan September 2021. - FOTO McDonald's

Selain itu, McDonald's Malaysia turut menawarkan tiga juta kopi Americano kepada mereka yang menerima suntikan vaksin.

Baucar berkenaan diagihkan kepada mereka yang menerima vaksin di 75 pusat vaksinasi terpilih di seluruh negara sejak pertengahan September dan boleh ditebus dengan sebarang pembelian di McDonald's sehingga 31 Disember 2021.

Inisiatif ini juga nilai tambah terhadap komitmen McDonald's Malaysia menaja makanan secara mingguan di hospital dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sejak pandemik bermula tahun lalu dengan lebih satu juta hidangan diberikan setakat ini.

McDonald's Malaysia juga menyumbang RM250,000 bagi Peralatan Perlindungan Diri (PPE) kepada KKM pada tahun 2020.

"Kami sangat berbangga dan berterima kasih kepada petugas perubatan yang sanggup mempertaruhkan nyawa, merawat pesakit dan memastikan keselamatan rakyat Malaysia.

"Sebagai balasan, kami ingin menunjukkan penghargaan atas penat lelah mereka," kata Azmir.

McDonald's Malaysia akan terus memainkan peranan memastikan kebajikan rakyat Malaysia dan petugas barisan hadapan terpelihara sepanjang tempoh sukar ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif yang dilaksanakan menerusi Program Komuniti @ McDonald's & RMHC, layari https://www.mcdonalds.com.my/community.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 11:24 AM