SESUAI juga sebagai tempat pembelajaran untuk anak-anak.
SESUAI juga sebagai tempat pembelajaran untuk anak-anak.
ORANG ramai mengambil kesempatan merakam dengan replika bercahaya.
ORANG ramai mengambil kesempatan merakam dengan replika bercahaya.
Nurul Husna Mahmud


PEMINAT sekuel filem fantasi Avatar pastinya sangat arif dengan babak pengembaraan hutan penuh bercahaya dalam filem itu.

Di dunia realiti, pengalaman hampir serupa boleh dinikmati apabila pengunjung berada di lokasi yang menawarkan 'limpahan' cahaya dari lampu LED yang meriah sekitar kawasan tarikan terbabit.

Pesona cahaya berwarna-warni itu apabila dirakam lensa mencipta panorama unik dan boleh dijadikan latar untuk menghasilkan gambar menarik apabila dikongsi dalam media sosial.

Malah selepas berbuka berpuasa atau mendirikan solat sunat Tarawih, mengunjungi lokasi sebegini boleh membantu individu mengekalkan kesihatan dengan berjalan-jalan sambil meneroka setiap hiasan unik di kawasan berlampu itu.

Berikut beberapa lokasi taman atau kawasan tarikan yang mengetengahkan penggunaan lampu hiasan LED bagi pencinta aktiviti rekreasi pada malam hari:

TAMAN Rahsia Putrajaya bertukar menjadi hutan avatar.
TAMAN Rahsia Putrajaya bertukar menjadi hutan avatar.

1. Putrajaya Secret Garden atau Taman Rahsia Putrajaya

Seperti namanya, lokasi taman rahsia ini jika mereka yang tidak biasa dengan kawasan Presint 1 atau kedudukan Hotel Pulse Grande, sukar menemuinya.

Pengunjung boleh sampai dengan melalui bulatan besar Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan kemudian memasuki Jalan Taman Putra Perdana.

Sebaik sampai, pengunjung boleh lihat pemandangan lampu berwarna-warni menyaluti pokok dan replika yang ada dilokasi terbabit.

Pastinya replika berlampu seperti dinasour dan pintu gerbang berbentuk hati ('love') menjadi tumpuan bergambar selain air terjun bercahaya turut menampilkan keunikan hiasan lampu terbabit.

Saranan kepada pengunjung, bawa bekalan makanan atau minuman untuk dinikmati sepanjang berada di taman terbabit.

TAMAN Aurora tarikan unik dengan lampu menampilkam bangunan ikonik.
TAMAN Aurora tarikan unik dengan lampu menampilkam bangunan ikonik.

2. Aurora Park, Port Dickson

Malam minggu dengan memandu ke luar Kuala Lumpur untuk ke Port Dickson, boleh menjadi kenangan bermakna dengan mengunjungi Taman Aurora.

Taman tema menggunakan pendekatan persembahan hiasan lampu LED yang direka khas menyerupai bangunan dan haiwan boleh menarik perhatian sesiapa tertama kanak-kanak.

Kalau tidak dapat sampai ke Paris, Perancis untuk bergambar dengan menara Eiffel, di taman itu ada replika berlampu menyerupai bangunan ikonik terbabit.

Selain itu ada juga replika berbentuk Gunung Fuji di Jepun di kawasan terbabit.

Tidak hanya boleh berseronok, landskap bercahaya itu boleh menjadi ruang pembelajaran untuk anak-anak mengenal pelbagai haiwan, apabila ada hiasan berlampu direka bertemakan haiwan.

HAMPARAN bunga tulip antara tarikan di Tasik Timah Tasoh, Perlis.
HAMPARAN bunga tulip antara tarikan di Tasik Timah Tasoh, Perlis.

3. Tasoh Lake Resort, Tasik Timah Tasoh, Perlis

Pengunjung yang sebelum ini bermalam di tasik buatan hasil pertembungan Sungai Timah dan Tasoh boleh menambah senarai aktiviti mereka dengan lawatan malam ke taman cahaya pula.

Pernah tular sebagai lokasi ini sangat sesuai untuk pencinta 'sinematografi' yang juga obses dengan efek dramatik pencahayaan.

Berlatarkan hamparan bunga tulip pelbagai warna, pintu gerbang berlapis-lapis sehinggalah ke replika haiwan semua itu mampu mengujakan pengunjung.

Justeru pengunjung perlu lebih peka dan waspada dengan hiasan terbabit kerana dibimbangi boleh mendatangkan kecederaan andai pengunjung bersikap ekstrim demi satu kandungan atau gambar.

Di tasik terbabit, pada hujung minggu sebelum Ramadan, ada gerai jualan dan suasana mungkin sedikit berbeza pada lawatan ketika Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2024 @ 6:20 AM