MENARIK pemandangan denai menuju ke air terjun Sungai Pisang.
MENARIK pemandangan denai menuju ke air terjun Sungai Pisang.
Nurul Husna Mahmud


LAIN padang lain belalang! Itu gambaran kepada usaha komuniti sukan lasak, Mont Ventures dan Hikers Spirit apabila mencipta kelainan dalam menghargai semangat kental wanita menerusi aktiviti santai di Sungai Pisang, Gombak.

Acara bermula dengan aktiviti merentas trek dan pendakian santai seawal jam 7.30 pagi membabitkan penyertaan lebih 170 peserta itu dengan majoritinya adalah peserta wanita.

Menariknya mengenai Sungai Pisang, ia antara destinasi air terjun yang sering kali menjadi lokasi perkelahan dan bersantai hujung minggu dalam kalangan warga kota.

Namun untuk sampai ke lokasi bagi aktiviti menakik batu, peserta perlu menyusuri sungai dan laluan denai kira-kira 45 minit perjalanan sebelum sampai ke puncak menjadi tempat permulaan aktiviti itu.

Persiapan tidak kurang penting bagi mereka yang mahu menjalankan aktiviti di kawasan Sungai Pisang perlu mendapatkan permit dari Jabatan Perhutanan Negeri Selangor kerana kedudukannya terletak dalam Hutan Simpan Ulu Gombak.

Di awal perjalanan peserta, boleh melihat Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sedang giat dijalankan dan ia menerbitkan sedikit kebimbangan, kehijauan hutan simpan turut terjejas.

Namun menjengah ke kawasan air terjun utama iaitu dalam rizab hutan simpan terbabit, panorama menghijau masih terpelihara.

Air terjun yang jernih dan sejuk menggamit perasaan teruja terutama peserta yang julung kali mencuba aktiviti menakik batu di Sungai Pisang.

Keterujaan itu dikongsi sendiri, Siti Dalila Abu Hassan Al'Asari, 21, yang mencabar ketahanan diri dengan menuruni tebing lebih 20 meter.

"Tidak dinafikan perasaan gemuruh dan gayat itu ada apabila hanya berpaut pada tali dan menuruni kawasan berbatu yang tidak rata.

"Susah pada mulanya untuk stabilkan diri apatah lagi air deras turut simbah ke muka dan badan saya beberapa kali.

"Namun saya cekalkan diri kerana mahu kekal selamat selain menyahut cabaran wanita berani dengan melakukan aktiviti ekstrim sempena Hari Wanita baru-baru ini," katanya.

Tambah gadis manis itu lagi, penganjuran aktiviti itu khusus meraikan wanita adalah satu usaha baik kerana ia memberi peluang pada golongan itu melakukan suatu luar kebiasaan rutin mereka.

"Pada saya, ia satu pendedahan baik apabila wanita ada peluang dan dapat dilakukan beramai-ramai bersama wanita lain.

"Lagipun saya tidak sendirian apabila aktiviti ini turut disertai tiga rakan sekerja, Nurnatasha Erynanieza Mohammed Nasrul Syed Md Nasir, Sharifah Nur Anisah dan Nur Wafiqah Sabahar," katanya.

Siti Dalila turut menyarankan wanita perlu bijak mencari peluang selain berani mencuba perkara baru.

"Aktiviti seperti ini jika dapat diharungi, ia memberi keyakinan diri dan boleh menjadi motivasi untuk mendorong melakukan aktiviti atau perkara baru.

"Penyertaan dalam program atau aktiviti sebegini pada saya perlu diperbanyakkan dengan memberi ruang kepada lebih ramai wanita untuk mencuba aktiviti menakik batu," katanya.

Bagi pengarah program, Muhamad Amirul Azaha pula, dia bersama 30 kru terdiri daripada pengamal sukan ekstrim mahu meraikan wanita di Malaysia menerusi acara jarang dilakukan golongan itu.

"Kami mahu raikan wanita dengan cara berbeza iaitu dengan aktiviti ekstrim. Kami kenakan caj penyertaan rendah selain peserta juga mendapat pelbagai faedah sepanjang acara berlangsung.

"Acara ekstrim kali ini dan juga terbesar dianjurkan untuk tahun ini, lebih 80 peratus adalah pertama kali menyertai acara menakik batu mahupun pernah sampai ke Sungai Pisang.

"Ia satu benda positif bagi saya selaku penggiat sukan lasak tempatan yang mana memberi peluang kepada mereka yang belum mengenali sukan ekstrim dapat melakukannya pada hari penting, Hari Wanita Antarabangsa," katanya.

Peserta tidak hanya mendapat cenderahati oleh penaja seperti Emazols Kitchen dan Dtapir, mereka juga mempelajari teknik menyulam atau ikat tali 'paracord.'

"Saya turut berterima kasih kepada 14 rakan kolaborasi termasuklah barisan sukarelawan dari Kolej Universiti Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Malaysia (MAIWP) atau UCMI yang menjayakan program ini.

"Mereka memastikan aspek keselamatan peserta bermula dengan sesi taklimat sehingga selesai acara.

"Kita mahu peserta berasa selamat sepanjang mereka menjalankan aktiviti ekstrim di bawah jurulatih profesional," katanya.

Sementara itu wakil sukarelawan Adiwira Recreational Club (ARC) UCMI, Nur Fariza Mohd Kamil berkata, pihaknya sebagai sukarelawan dalam kumpulan sokongan perubatan.

"Dalam aktiviti ekstrim penting untuk ada pasukan perubatan yang bersedia dan mempunyai kepakaran dalam menangani rawatan kecemasan jika memerlukan.

"Usaha penganjur yang mana mendapatkan pelbagai kumpulan sokongan terdiri daripada pengamal perubatan dilihat langkah penting tidak boleh diabaikan.

"Bagi saya pula yang juga peminat aktiviti lasak, ini pendedahan baik kerana selain berkhidmat kepada komuniti yang juga juga kaum wanita, saya dapat meningkatkan skil sedia ada.

"Sukan bertali terutama membabitkan disiplin ketinggian dan air, risiko juga tinggi. Saya perlu sentiasa lengkapkan diri dengan ilmu berkaitan supaya dapat membantu jika memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 7:00 AM