MERENTAS sungai antara cabaran dilalui pendaki.
MERENTAS sungai antara cabaran dilalui pendaki.
ANTARA laluan mencanak menjadi cabaran pendakian.
ANTARA laluan mencanak menjadi cabaran pendakian.
Hafiz Ithnin


Trans Jandaku! Ternyata ia sebuah nama agak asing bagi mereka yang tidak menceburi dunia pendakian gunung tempatan yang aktif.

Namun bagi kumpulan pendaki ini, mereka tertarik untuk menerokai Trans Jandaku dengan merentas empat puncak bukit iaitu Bukit Laksamana berketinggian 805 meter (m), Bukit Penang (768m), Bukit Tiger (755m) dan Bukit Molivia (260m).

Sebenarnya Trans Jandaku adalah gabungan awalan nama-nama kawasan yang dilalui pendaki ketika merentasi tiga kawasan yang dikenali sebagai Janin, Dam dan Kuda.

Pendaki, Azvin Ridzuan Shah berkata, Trans Jandaku yang terletak di Bukit Bendera, Georgetown Pulau Pinang itu mempunyai jarak 62 kilometer (km).

Jelasnya, pendakian untuk menakluki Trans Jandaku sememangnya cukup mencabar kerana membabitkan kombinasi laluan denai yang berbentuk 'janin' dan 'kuda.'

Mereka tidak bercadang untuk bermalam dan ingin melaksanakannya dalam satu masa sekali gus.

"Aktiviti ini saya lakukan bersama 21 pendaki terdiri daripada rakan-rakan yang mempunyai minat dalam dunia pendakian dan larian denai.

"Jadi, sebelum melaksanakan Trans Jandaku, pastinya perlu melakukan latihan terlebih dahulu bagi memastikan keadaan mental dan fizikal sentiasa bersedia," katanya.

KUMPULAN pendaki berehat di kawasan sekitar empangan sebelum menuju ke Bukit Laksamana.
KUMPULAN pendaki berehat di kawasan sekitar empangan sebelum menuju ke Bukit Laksamana.

Bercerita mengenai aktiviti itu katanya, mereka bermula dengan Laluan Denai Janin menerusi tangga Denai Heritage.

"Sasaran untuk selesaikan Laluan Denai Janin adalah dalam 10 jam. Permulaan sahaja, terus memacak walaupun perlu melalui tangga Denai Heritage itu.

"Ketinggian sekitar 735m untuk sampai ke Astaka Bukit bendera. Mencungap tidak boleh diceritakan lagi kerana permulaan pendakian sudah keadaan begitu," katanya.

Tambahnya, usai melayan tangga, tiba masa untuk 'menikmati' perjalanan ke puncak Laksamana dengan ketinggian sekitar 741m.

AZVIN di puncak Laksamana amat mencabar dengan ketinggian 805m dari paras laut.
AZVIN di puncak Laksamana amat mencabar dengan ketinggian 805m dari paras laut.

"Baharu saja memulakan perjalanan memasuki hutan, lebih kurang kilometer ke tujuh, kaki saya terseliuh, rasa sakit perit dan bengkak itu sudah. Namun semangat menjadi penerus perjalanan.

"Perjalanan menuju ke Laksamana adalah salah satu pengalaman yang paling tak akan saya lupakan kerana untuk naik ke puncak saja kena melayan pacak yang sangat sukar. Naik sakit, turun pun sakit!," katanya.

Tambahnya, Laluan Denai Janin baginya agak sukar dan syukur, mereka berjaya selesaikan dalam 10 jam 30 minit membabitkan jarak sekitar 28km dengan jumlah ketinggian terkumpul 2,300m.

"Selesai sahaja Laluan Denai Janin, kami meneruskan perjalanan ke Laluan Denai Dam dan perlu tiba ke lokasi berkenaan sebelum jam 6 petang.

KUMPULAN pendaki kepenatan selepas hampir 24 jam mendaki di Bukit Olivia.
KUMPULAN pendaki kepenatan selepas hampir 24 jam mendaki di Bukit Olivia.

"Untuk ke Laluan Denai Dam menerusi Laluan Denai Miniot, jarak sekitar 13km sahaja dengan jumlah ketinggian terkumpul mencecah 780m dan kami dapat selesaikan awal daripada sasaran iaitu lima jam 30 minit.

"Perjalanan menyelesaikan Laluan Denai Dam ini agak mencabar juga kerana perlu melayan jalan tar yang mencanak dan panas," katanya.

Akhirnya mereka tiba di destinasi terakhir iaitu Laluan Denai Kuda yang mempunyai ketinggian sekitar 735m dan jarak dalam 22km.

"Sasaran untuk tamat sebelum azan Subuh. Namun, memandangkan hampir semua barisan pendaki kepenatan dan teramat mengantuk, perjalanan menjadi agak perlahan.

"Akhirnya kami dapat menghabiskan misi ini pada jam 7 pagi. Terasa puas dapat melaksanakannya dalam tempoh 27 jam secara santai membabitkan jarak keseluruhan 62km," katanya.

SEMUA pendaki tiba di puncak Laksamana.
SEMUA pendaki tiba di puncak Laksamana.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 6:20 AM