KETIKA menuruni air terjun yang deras dan licin.
KETIKA menuruni air terjun yang deras dan licin.
Nurul Sabrina Jamali


PERJALANAN menyusuri Sungai Pisang, Gombak, Selangor mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk sampai ke puncak air terjun.

Seketika itu, reaksi teruja dihidangkan dengan panorama alam semula jadi yang diserikan dengan kicauan burung dan deruan percikan air terjun memberikan irama mengasyikkan.

Pemandangan hijau yang menakjubkan itu nyata memukau seorang penggemar aktiviti ekstrem yang berasal dari Pahang ini.

Terbukti pengembaraan Nurul Najiehin Fitrinie Sarudin, 23, ke Sungai Pisang demi melakukan aktiviti menakik batu atau dikenali 'waterfall abseiling' mendatangkan kepuasan kepada dirinya.

Didorong minat yang mendalam, gadis lasak yang lebih mesra disapa Najiehin ini, gemar mencabar dirinya untuk mencuba sukan lasak yang berkaitan dengan aktiviti tali.

"Pada mulanya, saya cuma suka-suka mengikuti ayah membawa pelajarnya dari Institusi Perguruan Guru (IPG) ke kursus tali.

"Dari situ, ayah mula mengajak saya setiap kali ada kursus tali selepas melihat saya seronok menyertai program itu," katanya.

Mengulas lanjut, ayah Najiehin yang juga salah seorang pensyarah di IPG memintanya menyertai kursus bagi menimba pengetahuan lebih berkaitan aktiviti tali tinggi.

"Selain itu, adik-beradik saya juga berkongsi minat sama, jadi apa-apa aktiviti memang kami akan buat bersama," katanya.

NAJIEHIN (kiri) bersama kakak dan adiknya ketika menyusuri terowong Muka Sauk, Gombak sebelum sampai ke puncak.
NAJIEHIN (kiri) bersama kakak dan adiknya ketika menyusuri terowong Muka Sauk, Gombak sebelum sampai ke puncak.

Menurut Najiehin, perjalanan mengambil masa kira-kira dua jam dari rumahnya ke Sungai Pisang dan sebaik tiba, seorang jurulatih akan membawa mereka naik ke puncak air terjun.

"Sepanjang pengembaraan 45 minit bersama adik-beradik ke air terjun, kami melintasi beberapa anak sungai dalam hutan itu dan sebuah terowong yang menjadi 'trademark' kepada Sungai Pisang itu sendiri," katanya.

Kata Najiehin, sebelum memulakan aktiviti, pastinya jurulatih yang bertugas akan memberikan taklimat ringkas berkaitan sukan lasak ini.

Jelasnya, dia mula rasa gementar dan tidak yakin pada diri sendiri untuk meneruskan 'waterfall abseiling' selepas menyaksikan kederasan air terjun yang menjunam jatuh dengan ganas.

NAJIEHIN (kiri) bersama ayahnya ketika kursus tali yang disertai.
NAJIEHIN (kiri) bersama ayahnya ketika kursus tali yang disertai.

Namun Najiehin berpendapat, aktiviti ini mencabar ketahanan fizikal dan mentalnya selain menuntut keberanian diri yang tinggi.

Menariknya, Najiehin turut berkongsi pengalamannya memasang tali sebelum memulakan penurunan dari air terjun yang berketinggian kira-kira 40 meter itu.

"Kita perlu menghafal cara ikatan yang betul bagi mengikat tali di badan untuk mengelakkan sebarang kecelakaan berlaku ketika aktiviti.

Najiehin juga berkongsi, dia memperoleh kepuasan yang berganda saat berjaya melawan arus air terjun yang deras dan kelicinan batu yang melampau ketika turun menggunakan tali.

"Saya boleh katakan percikan air terjun yang terkena kepala saya umpama batu-batu kecil yang menghempap dari atas kerana saya berasa agak sakit.

"Walau bagaimanapun, aktiviti itu harus diteruskan dan saya berasa gembira apabila dapat menuruni air terjun itu dengan selamat," katanya.

PEMANDANGAN dari puncak air terjun yang mempunyai ketinggian kira-kira 40 meter.
PEMANDANGAN dari puncak air terjun yang mempunyai ketinggian kira-kira 40 meter.

Apa yang membuatkan penulis lagi teruja apabila Najiehin memaklumkan dia mendapat keseronokan apabila menikmati penurunan dari puncak air terjun atas usahanya memasang tali sendiri.

"Apabila pasang tali sendiri, kita perlu melakukan ikatan dengan sebaik mungkin kerana kita yang memasang, kita jugalah yang akan turun.

"Bagi mengelakkan kemalangan berlaku, kita perlu memastikan ikatan tali dalam keadaan rapi dan betul serta peralatan lain juga sudah dipasang di tubuh," katanya.

Najiehin juga berkongsi kepada penulis berkaitan aspek keselamatan yang perlu dititikberatkan sepanjang melakukan aktiviti 'waterfall abseiling.'

"Tali adalah elemen keselamatan yang paling penting sebelum memulakan aktiviti bagi mengelakkan kemalangan tidak diingini berlaku.

"Perkakas lain seperti karabiner, abah-abah, 'figure of 8,' 'harness' dan topi keselamatan juga perlu berada dalam keadaan baik untuk tujuan yang berbeza-beza," katanya.

Najiehin berpandangan, aktiviti ekstrem ini sememangnya meletihkan namun dia mengakui dirinya gian selepas mencuba untuk kali pertama.

"Saya sanggup mencuba untuk kali kedua walaupun hendak naik ke puncak air terjun itu mengambil masa yang agak lama," katanya.

"Semuanya akan menjadi pengalaman bermakna apabila faktor keselamatan dipraktikkan sebelum memulakan aktiviti ekstrem," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 7:00 AM