Nurul Husna Mahmud


PULAU Langkawi destinasi penuh mistik dan legenda yang menjadi tumpuan pelancong luar mahupun dalam negara.

Ramai yang berkunjung ingin menyusuri penceritaan kisah legenda terutama Mahsuri yang difitnah menjalin hubungan sulit dengan Deramang oleh isteri abang iparnya sendiri iaitu Wan Mahura.

Tidak kurang juga yang berkunjung ke Langkawi kerana ingin menyusuri kisah mitos Tasik Dayang Bunting yang mana terdapat kepercayaan 'sesiapa sukar hamil mudah dikurniakan zuriat sebaik minum air tasik terbabit.'

Namun, di sebalik semua itu semestinya perlu ada tarikan terbaharu yang dapat mengekalkan reputasi pulau pelancongan itu.

Terbaharu, pengunjung tempatan, Syafiqah Jamaludin,26, berkongsi mengenai pengalamannya menjejakkan kaki ke Menara MAHA yang terletak di Pekan Kuah.

Kata Syafiqah, kedudukan menara itu yang terletak di tepi laut dalam dengan ketinggian 138 meter menjadikan mercu baharu itu sebagai bangunan pencakar langit yang tertinggi dalam Pulau Langkawi.

"Walaupun baru sahaja berkunjung ke Langkawi kira-kira setahun lalu untuk berbulan madu dengan suami, Muhammad Aizat, 28, tetapi kami tidak berkesempatan melawat Menara MAHA kerana belum dibuka kepada umum sehingga operasinya bermula Jun tahun lalu.

FERI pengangkutan yang boleh membawa kereta dan penumpang masuk ke Pulau Langkawi menerusi Jeti Tanjung Lembong.
FERI pengangkutan yang boleh membawa kereta dan penumpang masuk ke Pulau Langkawi menerusi Jeti Tanjung Lembong.

"Kebetulan masih ada promosi sempena pembukaan menara itu kepada pengunjung iaitu RM200 untuk empat pengunjung, saya mengambil kesempatan itu membawa ibu, Saripah Azizah Syed Ali dan bapa, Jamaludin Mahamud menyertai percutian kali ini bersama suami sekali lagi ke Langkawi," katanya.

Menyentuh mengenai panorama yang boleh disaksikan daripada menara terbabit kata Syafiqah, antara keunikan menara itu semestinya pemandangan Laut Andaman dan sekitar Pekan Kuah.

"Pengunjung ke pulau ini mesti jejakkan kaki sekali ke Menara MAHA kerana pemandangan yang disajikan turut membabitkan dua panorama berbeza iaitu lautan dan daratan.

"Malah, pengunjung juga dapat menyaksikan keindahan Laut Andaman dan Pekan Kuah apabila berada dek tinjau pada aras 102.5 meter iaitu di tingkat 17 menara ini.

"Selain itu, mereka yang pernah menikmati sajian di restoran berputar di Menara Kuala Lumpur atau Menara Tun Mustapha di Kota Kinabalu, Sabah perlu juga mencuba Sky Restaurant yang terletak di tingkat 8 Menara MAHA.

"Tidak semata-mata menara tersegam gagah untuk dinikmati keindahan seni binanya yang dikatakan memiliki seni bina Islam berdasarkan motif geometri, menara itu juga memiliki ruang hiburan dan aktiviti selain premis perniagaan," katanya.

Dalam pada itu Syafiqah yang berasal dari Sungai Petani, Kedah juga berkongsi pengalaman membawa bapanya yang berkerusi roda bercuti ke pulau terbabit menggunakan feri pengangkutan, Langkawi Auto Express dari Kuala Perlis ke Jeti Tanjung Lembong.

SYAFIQAH (dua dari kanan) menyifatkan Langkawi memiliki tarikan unik sesuai dikunjungi bersama keluarga.
SYAFIQAH (dua dari kanan) menyifatkan Langkawi memiliki tarikan unik sesuai dikunjungi bersama keluarga.

"Antara cabaran percutian ke Langkawi kali ini saya bersama suami adalah perlu memastikan perjalanan sesuai dengan situasi warga emas terutama bapa yang berkerusi roda.

"Persiapan terutama suami apabila memilih menggunakan pengangkutan feri bagi membawa kereta masuk ke pulau ini.

"Kena tempah awal sebaiknya sebulan sebelum tarikh bercuti kerana prosedur termasuk dokumen berkaitan perlu diselesaikan terlebih dahulu.

"Caj dikenakan mengikut penumpang dan jenis kenderaan. Diskaun turut diberikan kepada pemandu. Cuma kena tiba awal iaitu selewat-lewatnya 30 minit awal dari masa bertolak baik di Jeti Kuala Perlis atau Jeti Tanjung Lembong.

"Ini memudahkan pekerja feri menyusun kenderaan kerana saiz kenderaan mempengaruhi keseimbangan feri antara faktor keselamatan ketika berlayar merentasi laut," katanya turut memaklumkan caj pergi balik menggunakan khidmat feri itu adalah RM437.

SKYBRIDGE boleh dilawati atau dikunjungi pelawat berkerusi roda.
SKYBRIDGE boleh dilawati atau dikunjungi pelawat berkerusi roda.

Syafiqah berkata, lokasi tarikan lain turut dilawati adalah Kereta Kabel Langkawi atau Sky Cab Langkawi Cable Car.

"Banyak penambahbaikan dari segi kemudahan untuk pengguna kerusi roda atau orang kurang upaya (OKU). Ini sangat membantu untuk golongan yang berkeperluan.

"Malah, kakitangan juga sangat peka dan memberi saranan terus baik ke stesen paling atas kerana lebih sesuai untuk pengunjung berkerusi roda. Ada Skyglide dan Skybridge yang boleh diakses oleh kami," katanya.

Untuk sajian atau 'port' makan, beliau bersama keluarganya yang juga peminat sajian kampung memilih Restoran Siti Fatimah kerana disarankan penduduk tempatan.

"Sajian tengah hari ialah di Restoran Siti Fatimah. Banyak pilihan lauk kampung antaranya gulai nangka, kerabu tauge, ikan bakar dan banyak lagi.

"Selain itu, tempat wajib perlu dilawati peminat makanan adalah laksa sekor di kawasan pantai tidak jauh dari lapangan terbang Langkawi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 7:00 AM