KOMPLEKS Gua Ikan.
KOMPLEKS Gua Ikan.
Nurul Husna Mahmud


MEMANJAT cerun di permukaan rata atau hampir mustahil untuk berpaut tanpa sebarang bantuan dikenali sebagai kaedah via ferata.

Via ferata dipetik daripada perkataan Itali yang bermaksud 'jalan besi' merujuk kepada penggunaan kabel atau jambatan besi yang biasanya menjadi 'talian hayat' kepada pendaki untuk selamat.

Lokasi kerap menjadi pilihan bagi via ferata bukan hanya gunung, malah gua juga antara 'port' peminat aktiviti ekstrem terbabit.

Semestinya Dabong, Kuala Krai, Kelantan antara tumpuan peminat aktiviti via ferata kerana terdapat pelbagai jenis gua boleh diteroka di pekan kecil terbabit.

Menurut Wakil Kelab Sukan Rekreasi Ulu Kelantan Khairul Amre Leiahs atau lebih mesra dengan disapa Mat Yie Gua, Dabong memiliki kelebihan kerana kewujudan pelbagai kategori boleh diteroka.

Malah, difahamkan gua berkenaan memiliki sejarah dan penceritaan menarik apatah lagi dahulunya ia kerap dikaitkan dengan lokasi pertapaan pahlawan atau lokasi persembunyian komunis.

"Destinasi gua antara tarikan unik di Dabong yang mana orang bukan sahaja melawat, malah melakukan pelbagai aktiviti berkaitan dengannya.

FENOMENA God's Light menjadi kegilaan peminat aktiviti teroka gua.
FENOMENA God's Light menjadi kegilaan peminat aktiviti teroka gua.

"Contohnya kompleks Gua Ikan yang juga lokasi pintu masuk untuk gua lain seperti Gua Keris, Gua Pagar dan banyak lagi.

"Keunikan Gua Ikan seperti namanya, ada aliran anak sungai yang mengalir sepanjang 250 meter menyusuri gua terbabit," katanya.

Sudah namanya gua, pasti ada dinding untuk dipanjat dan di Gua Ikan sendiri anda boleh melakukan pelbagai aktiviti termasuk pendakian tembok (rock climbing) dan via ferata.

"Pembentukan gua bukan berhasil satu dua tahun sebaliknya jutaan tahun membuatkan batu kapur terbentuk cantik.

"Ada kemungkinan banyak fosil terdapat di dalamnya berdasarkan bentuk bumi semula jadi yang terbentuk.

"Jika peminat alam semula jadi mahu melihat secara dekat dan meninjau struktur stalaktit (pembentukan batu kapur meruncing ke bawah dalam gua), mereka perlu lakukan via ferata," katanya.

GUA Gelap untuk uji tahap keberanian berada dalam gelap.
GUA Gelap untuk uji tahap keberanian berada dalam gelap.

Visual batu kapur tidak pernah menjemukan terutama mereka yang begitu menyukai aktiviti meneroka gua.

"Gua juga ada fenomena tersendiri dan salah satu yang ada di Dabong adalah God's Light yang mana terdapat cahaya matahari 'mencelah' menerusi rekahan kecil pada puncak gua.

"Ia sangat menarik sebaik dirakam daripada lensa masing-masing. Malah, ada antara pengunjung terpana dengan fenomena itu sehingga sanggup mengharungi perjalanan ratusan kilometer untuk mendapat gambar menarik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 6:30 AM