KATEGORI 84km bermula pada jam 4 petang.
KATEGORI 84km bermula pada jam 4 petang.
Hafiz Ithnin


SEBAIK sahaja tamat larian 84 kilomter (KM), kedua-dua kulit di tapak kaki penulis melepuh! Itulah penangan acara UiTM Ultra yang berlangsung pada Februari lalu.

Meskipun rasa perit untuk menamatkan larian berbaki tiga lagi pusingan dengan keadaan tapak kaki melepuh tetapi mental tetap perlu utuh demi menamatkan jarak larian itu dalam tempoh masa 16 jam.

Suasana larian juga semakin lewat malam semakin meriah dengan kehadiran penyokong dalam kalangan rakan-rakan pelari dan ahli keluarga.

Tidak dinafikan pada hari berlangsungnya acara itu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam seolah-olah berlangsung satu festival larian yang amat meriah.

Bukan sekadar makan dan minuman peserta dijaga baik, malah terdapat lokasi untuk pelari mendirikan khemah bagi menempatkan pelbagai keperluan peribadi.

Kru yang menjaga laluan larian juga boleh diberikan pujian kerana mereka sentiasa memberi kata-kata sokongan untuk 614 peserta keseluruhan menamatkan larian dalam kategori masing-masing.

Sebut sahaja mengenai larian ultra yang popular di sekitar ibu negara, jenama UiTM Ultra pastinya menjadi sebutan ramai dalam kalangan pelari tempatan kerana ia mempunyai cabaran tersendiri.

Tahun ini UiTM Ultra sudah masuk siri kelima yang dikenali sebagai UiTM Ultra Vol.5 sejak 2016.

Meskipun hanya 'bermain' dengan pusingan yang sama dengan jarak sekitar 5.2 kilometer (km) setiap pusingan. Namun, itulah antara cabaran yang menduga ketahanan mental peserta untuk menamatkan kategori larian yang disertai mereka.

Terdapat tiga kategori yang dipertandingkan iaitu 104km (20 pusingan), 84km (16 pusingan) dan 52km (10 pusingan).

Bagi kategori 104km, pelari terpantas mencatat masa 13 jam 17 minit, 84km pula 10 jam 3 minit dan 52km merekodkan 5 jam 18 minit.

Penulis yang menyertai kategori 84km merasai sendiri pengalaman berlari mengelilingi pusingan yang sama sebanyak 16 kali bukanlah sesuatu yang mudah.

Bahang petang dan 16 kali juga perlu mendaki Bukit Tonggek yang cukup terkenal memacak di UiTM

Shah Alam itu sudah semestinya memerlukan ketahanan mental dan fizikal serta sebenar.

Penulis tidak dapat membayangkan bagi mereka yang menyertai kategori 104km memulakan larian pada jam 10 pagi dan perlu menamatkan larian dalam tempoh 22 jam iaitu sebelum jam 8 pagi keesokan harinya.

Perkara ini kerana laluan larian yang terbuka menduga kemampuan peserta berlari dalam keadaan yang panas untuk jangka masa panjang.

Sedangkan bagi kategori 84km yang bermula pada jam 4 petang sudah pun merasai bahang jalan yang panas untuk jangka masa empat jam sebelum matahari terbenam, inikan pula untuk kategori 104km.

Bagi mereka yang menyertai jarak 54km sedikit menarik nafas lega kerana larian bermula pada jam 10 malam dan berakhir pada jam 8 pagi.

Bagi mereka yang sudah biasa menyertai acara larian UiTM Ultra pasti mengetahui bahawa bahang di laluan larian sememangnya membawa sampai ke malam!

Pengarah Acara itu, Aizuddin Ahmad Imran berkata, UiTM Ultra adalah satu acara yang sememangnya mencabar kemampuan pelari road khas kerana mereka perlu melalui jalan yang sama untuk jangka masa yang panjang.

"Selain itu, meskipun satu pusingan hanya sekitar 5.2km tetapi untuk mendapatkan jarak yang peserta sertai, contohnya 100km, sebanyak 20 pusingan perlu dilalui.

"Laluan perlumbaan bermula dari Stadium UiTM melalui beberapa laluan berbukit antaranya Bukit Tonggek dan laluan berbukit panjang menuju ke Kolej Seroja menjadikan jarak setiap satu pusingan itu lebih mencabar," katanya.

Bagi kategori 104km jumlah ketinggian terkumpul (EG) sekitar 2,580 meter, 84km ialah 2,064meter dan 52km mencatatkan 1,290 meter.

Peserta 104km kategori terbuka yang mendapat tempat kedua dalam kategori itu, Muhammad Qawiem Abu Bakar berkata, dia sudah menyertai tiga siri UiTM Ultra iaitu pada 2019, 2020 dan tahun ini.

"Pada 2019 saya menyertai jarak 52km dengan tamat pada kedudukan 39. Tahun 2020 saya menyertai jarak 84km mendapat tempat keempat. Manakala, pada tahun ini dengan jarak 104 saya mendapat tempat kedua dengan catatan masa 15 jam 33 minit.

"Bagi saya UiTM Ultra adalah acara larian road jarak jauh yang menguji kemampuan mental peserta untuk melalui cabaran panas dan laluan berbukit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 6:45 AM