REKAAN ikonik pelbagai negara turut dipamerkan.
REKAAN ikonik pelbagai negara turut dipamerkan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


MERIAH dan berwarna-warni! Suasana pada sebelah malam di daerah pelancongan, Port Dickson, Negeri Sembilan yang kini tidak sepi lagi apabila satu lagi daya tarikan terbaharu dibuka kepada orang ramai.

Ia adalah hasil usaha Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) yang menganjurkan buat julung kalinya Pesta Lampu Antarabangsa Port Dickson di Kampung Baru Sirusa sehingga 15 Mac depan.

Inisiatif itu secara tidak langsung mempromosikan lagi kawasan pelancongan berkenaan yang sebelum ini agak suram pada sebelah malam.

Difahamkan, lebih sejuta mentol lampu digunakan bagi pencahayaan pesta terbabit di sepanjang laluan sejauh 1.6 kilometer.

Ia menampilkan pelbagai rekaan menarik dan unik dari enam negara iaitu Malaysia, Thailand, Jerman, Itali, Mesir dan Belanda.

Setiausaha Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Muhammad Zaki Yahya yang sebelum ini berkata, pesta julung kali diadakan itu dijangka bakal menarik 1,000 orang pengunjung sehari.

PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang bergambar kenangan.
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang bergambar kenangan.

Katanya, meskipun lokasi itu (Kampung Baru Sirusa) agak terpencil dan masih baharu, namun beliau percaya ia tetap dapat menarik pelancong.

"Kami berharap pesta lampu itu menjadi tarikan pelancongan baharu di Port Dickson yang selama ini dikenali sebagai pantai peranginan," katanya.

Sementara itu, pesta lampu berkenaan dibuka kepada pengunjung setiap hari bermula pukul 6 petang sehingga 10.30 malam dengan bayaran masuk tertentu.

Bagi pengunjung, Nur Nadia Hishamuddin, 21, berkata, penganjuran pesta berkenaan adalah sesuatu yang unik dan pengalaman baharu buat pengunjung luar sepertinya.

Kata Nur Nadia, sebelum ini kawasan pantai peranginan itu agak sunyi pada sebelum malam dan pengunjung tidak mempunyai hiburan lain selain berada di kawasan hotel penginapan.

UNIK antara rekaan menarik yang diserikan dengan pencahayaan lampu mentol.
UNIK antara rekaan menarik yang diserikan dengan pencahayaan lampu mentol.

"Apabila ada tarikan sebegini, sekurang-kurangnya pengunjung boleh mengisi waktu terluang pada sebelum malam dengan bersiar-siar di kawasan pesta itu.

"Saya harap pesta lampu itu dikekalkan sampai bila-bila kerana ia membolehkan kawasan pelancongan ini lebih 'hidup' pada sebelah malam," katanya.

Pesara kerajaan, Muiz Abdullah, 70, pula berkata, pesta lampu itu perlu dipelbagaikan lagi dengan menggunakan pelbagai teknik pencahayaan.

Katanya, pihak MPPD boleh mengambil idea pencahayaan lampu di Putrajaya bagi memeriahkan lagi kawasan itu.

"Saya kira jika menggunakan pencahayaan lampu jenis LED pastinya lebih cantik dan menarik.

"Ini kerana jika menggunakan lampu mentol, agak terhad kreativitinya.

"Apa pun, inisiatif penganjuran pesta lampu ini wajar diberi pujian sebagai salah satu usaha menghidupkan kembali daerah ini pada malam hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 6:35 AM