‘MANGGINTEL’ aktiviti menguli doh wadai kipeng secara bergotong-royong.
‘MANGGINTEL’ aktiviti menguli doh wadai kipeng secara bergotong-royong.
SANTAI menikmati sajian sambil melihat pemandangan sawah.
SANTAI menikmati sajian sambil melihat pemandangan sawah.
Nurul Husna Mahmud


Masyarakat Banjar dan Jawa adalah dua kumpulan etnik rumpun Melayu terbesar yang mendiami daerah Sabak Bernam, Selangor.

Kehadiran masyarakat ini secara tidak langsung memperkenalkan budaya dan adat yang agak berbeza dengan masyarakat Melayu sedia ada.

Perbezaan ini juga menjadi tarikan kepada penduduk lain daerah atau negeri merentas sempadan untuk mengenali keunikan dalam komuniti masyarakat Banjar dan Jawa.

Begitu juga buat penulis dan jurufoto, Genes Gulitah apabila berkesempatan mencuba hidangan warisan masyarakat Banjar dan Jawa dalam program anjuran Sungai Panjang Agrotourism (SPAT) di Nazbell Garden & Cottage, Sungai Besar, baru-baru ini.

Sajian wadai kipeng disediakan penduduk, Rosmila Zakaria, 53, menarik perhatian kerana pertama kali dicuba penulis.

Pada pandangan penulis, sajian wadai kipeng tidak ubah seperti sajian puteri mandi atau bubur biji nangka yang cukup popular di pantai timur.

Kata Rosmila, sajian terbabit adalah bubur yang dihasilkan daripada tepung pulut diuli bersama air dan sedikit garam. Bagi memberi aroma wangi dan sedikit warna, air daun pandan dikisar juga diadun bersama tepung diuli.

"Wadai bermaksud kuih dan 'kipeng' bermaksud ditekan adalah doh dijadikan seperti kepingan.

DOH tepung pulut diuli antara bahan penting dalam membuat wadai kipeng.
DOH tepung pulut diuli antara bahan penting dalam membuat wadai kipeng.

"Mudah difahami kerana wadai kipeng sejenis sajian bubur diperbuat daripada tepung pulut yang diuli dan dipicit sebelum dicampur dalam kuah santan serta gula melaka.

"Sebenarnya kalau dahulu wadai kipeng ini disediakan secara bergotong-royong oleh saudara-mara sebelum hari kenduri. Mereka akan menguli bebola beramai-ramai atau dipanggil 'manggintel.'

"Sajian ini disediakan untuk majlis 'baarohan' atau kenduri. Jadi, kalau ada acara 'naik' rumah baharu, hari pasang kelambu pengantin atau majlis doa selamat, wadai kipeng antara sajian yang mesti ada," katanya.

Tambah Rosmila, sajian bubur itu kini diberi nafas baharu bagi memastikan ia dapat dipelbagaikan mengikut selera dan cita rasa masyarakat sekarang.

WADAI kipeng sajian bubur Banjar kerap disajikan dalam majlis ‘baarohan’ atau kenduri.
WADAI kipeng sajian bubur Banjar kerap disajikan dalam majlis ‘baarohan’ atau kenduri.

"Wadai kipeng juga boleh divariasikan mengikut minat dan kreativiti pembuat hidang terbabit. Asalnya hanya tepung pulut, rasa santan dan manis gula melaka bersama aroma pandan.

"Kini ada yang menjual wadai kipeng dengan tambahan ramuan lain seperti isi durian, isi nangka dan banyak lagi.

"Terpulang kepada individu dan tidak dinafikan bagi masyarakat Banjar, sajian ini antara menggamit memori terutama generasi lahir pada era sebelum 90-an kerana keseronokan menyediakan beramai-ramai bersama keluarga," katanya.

Beliau yang juga peniaga kuih tradisional berharap generasi muda boleh terus mewarisi dan mempelajari penyediaan sajian warisan terbabit.

SAJIAN warisan mampu menarik pengunjung luar merasai cita rasa suku rumpun Melayu ada di Sabak Bernam.
SAJIAN warisan mampu menarik pengunjung luar merasai cita rasa suku rumpun Melayu ada di Sabak Bernam.

Sementara itu, pemilik Nazbell Cottage & Garden, Nabila Shafry berkata, pihaknya teruja dapat bersama masyarakat Banjar dan Jawa memperkenalkan hidangan warisan kepada masyarakat luar.

"Apabila hidangan warisan diperkenalkan ini menarik perhatian penggemar hidangan tular dan unik mencubanya.

"Ada yang sanggup memandu merentas sempadan semata-mata untuk mencari kelainan dan itu antara keistimewaan atau daya penarik di kawasan Sungai Besar apabila adanya komuniti Banjar dan Jawa.

"Sajian seperti wadai kipeng dan nasi ambeng boleh dirasai pengunjung atau masyarakat luar. Sekali gus sajian warisan dapat dipelihara oleh generasi akan datang kerana ada permintaan," katanya.

Selain wadai kipeng, penulis turut menikmati sajian nasi ambeng dalam dulang bersama rakan media yang hadir menikmati sajian warisan terbabit.

TAMPAK menarik sajian nasi ambeng.
TAMPAK menarik sajian nasi ambeng.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 6:30 AM