ELAK kegiatan luar yang berisiko ketika musim tengkujuh.
ELAK kegiatan luar yang berisiko ketika musim tengkujuh.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Walaupun berapa negeri sudah kurang mengalami hujan, namun musim Monsun Timur Laut (MTL) sebenarnya masih aktif.

Kitaran MTL secara puratanya bermula sekitar pertengahan November sehingga Mac dan sepanjang tempoh itu, cuaca masih berisiko mengakibatkan banjir kilat, ribut serta tanah runtuh.

Justeru, ibu bapa perlu lebih berwaspada dalam merancang lokasi percutian keluarga terutama menjelang Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Di Selangor contohnya, Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) Selangor sebelum ini mengenal pasti 87 tempat berpotensi banjir di seluruh negeri itu.

Jadi, orang ramai yang merancang percutian di kawasan berbukit, hutan atau tempat rekreasi perlu mengelakkan diri dari mengunjungi kawasan berisiko tinggi.

MTL umumnya diketahui akan membawa hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah termasuk sekitar sungai dan air terjun serta fenomena kepala air.

ELAKKAN kawasan berisiko sepanjang Monsun Timur Laut.
ELAKKAN kawasan berisiko sepanjang Monsun Timur Laut.

Apabila fenomena kepala air itu berlaku, apa sahaja di laluannya akan dihanyutkan arus deras .

Orang ramai perlu berhati-hati dan segera keluar dari kawasan terbabit sebaik sahaja ternampak daun atau kayu mati mengalir dari air terjun.

Disebabkan cuaca buruk sepanjang musim tengkujuh, penggemar aktiviti luar turut dinasihatkan menunda aktiviti mendaki dan perkelahan yang dirancang.

MONSUN Timur Laut masih aktif sehingga Mac depan.
MONSUN Timur Laut masih aktif sehingga Mac depan.

Laluan trek di kawasan hutan yang menjadi lokasi tumpuan ketika cuti terutama untuk aktiviti mendaki dan berkhemah juga boleh menjadi licin ketika musim hujan.

Kejadian tanah runtuh dan banjir juga antara bencana yang biasa berlaku di kawasan berisiko tinggi.

Tanpa maklumat yang mencukupi, aktiviti luar seperti itu berisiko membahayakan nyawa ketika musim tengkujuh ini.

Masyarakat dinasihatkan supaya mengambil iktibar bencana tanah runtuh di Batang Kali dan mengambil langkah berjaga-jaga apabila merancang atau membawa keluarga bercuti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 6:30 AM