ANTARA spesies burung yang mendiami Taman Wetland.
ANTARA spesies burung yang mendiami Taman Wetland.
Nurul Husna Mahmud


PERSEPSI penulis, Putrajaya antara lokasi percutian sesuai untuk mereka berjiwa lebih urban. Ini disebabkan daya penariknya adalah infrastruktur dan bangunan terancang seperti peranannya sebagai pusat pentadbiran negara sejak 1999.

Apa yang boleh dijangka daripada bandar terancang dan diiktiraf sebagai Wilayah Persekutuan pada 2001 selepas Kuala Lumpur dan Labuan, panorama struktur ikonik menjadi tarikan utama pengunjung.

Kesempatan menyertai lawatan sehari ke Putrajaya menerusi program Discovery Putrajaya anjuran Tourism Malaysia dan Perbadanan Putrajaya baru-baru ini, memberi sisi berbeza mengenai potensi bandar itu sebagai destinasi pelancongan.

Percaya atau tidak, tarikan di Putrajaya boleh memenuhi cita rasa daripada golongan urban sehingga pencinta alam untuk menikmati panorama baik siang mahupun pengalaman bermalam.

Taman Wetland umpamanya bukan saja kerap menjadi lokasi bersantai untuk aktiviti riadah seperti berjogging dan berbasikal, rupanya ia adalah 'rumah' kepada lebih 250 spesies burung termasuk 59 spesies burung berhijrah.

Peminat spesies unggas pula boleh melihat secara dekat spesies unggas yang pernah ada di taman Eropah dipelihara di Taman Wetland seperti Black Swan, White Pelican, Purple Heron dan Egyptian Geese.

Malah menikmati panorama dari pavilion kayu sambil melihat keletah setiap spesies unggas begitu harmoni hingga membuatkan anda lupa seketika rasa penat selepas sibuk bekerja.

Taman seluas 197.2 hektar itu turut menyediakan pelbagai kemudahan termasuk sewaan basikal untuk pengunjung menjelajah segenap taman.

Fakta lain yang menarik ialah Wetland itu sendiri terdiri daripada dua komponen iaitu sebuah tasik terbuka dan 24 siri sel wetland.

Sel wetland ditanam dengan pelbagai spesies tumbuhan rawang seperti rumput kercut dan rumput gedabung yang berfungsi sebagai penapis semula jadi bagi air yang mengalir masuk dari Sungai Chuah, Sungai Bisa dan tiga anak sungai lain ke dalam Tasik Putrajaya.

Pengembaraan di sebelah malam di kawasan tasik ini pula boleh dinikmati di GLOW atau Glamping@Wetland Putrajaya yang menawarkan pengalaman berkhemah dengan selesa.

Tidak hanya menikmati 'nyanyian' unggas dan serangga pada sebelah malam, pengunjung yang bermalam kadangkala menikmati persembahan permainan api.

Kemudahan lain boleh dinikmati termasuk bersantai unggun api, trampolin, memanah dan berbasikal. Untuk lebih ekstrem terdapat slot merentasi denai dengan kenderaan rupa bumi (ATV) sepanjang berada di tempat perkhemahan terbabit.

Dalam siri lawatan kali ini juga penulis pertama kali merasai pengalaman menyusuri Tasik Putrajaya dengan menggunakan khidmat salah satu kapal diberi nama Sebarau.

Layanan diterima dari pihak operator begitu membanggakan apabila bukan saja menyusuri sekitar tasik bagi menyaksikan 21 mercu ikonik di sekitar Putrajaya, tapi kali ini kami turut diraikan dengan jamuan ringan.

Perjalanan mengambil tempoh sekitar 45 minit itu disarankan sesuatu yang wajib dicuba pengunjung kerana pengalaman berbeza bagi melihat pemandangan Putrajaya.

Mercu yang boleh dilihat sepanjang menyusuri tasik ialah Masjid Putra, Istana Darul Ehsan, Jambatan Wawasan, Jambatan Putra dan banyak lagi.

Selain perkhidmatan kapal biasa, ada juga khidmat perahu tradisional dari Kuala Terengganu ditawarkan untuk mereka yang mahu kelainan ketika menyusuri tasik.

Usai berlayar mengelilingi Tasik Putrajaya, boleh singgah ke Putrajaya Story yang terletak bersebelahan kedai coklat terbesar di Lembah Klang, Souq Shoppe.

Mengunjungi galeri interaktif itu yang menceritakan tarikan yang ada di Putrajaya dalam pelbagai bentuk visual dan medium menjadikan satu pendekatan unik untuk mengenali pusat pentadbiran terbabit.

Bagi mereka yang suka bergambar dan berkongsi kreativiti setiap hasil dari lensa di media sosial, lokasi ini tepat dan sesuai dikunjungi. 'Spot' kegemaran penulis tentu sahaja replika kereta klasik Hershey dan gambar ikon Tun Dr Mahathir menunggang basikal.

Sebagai tarikan terbaharu, kadar dikenakan kepada pengunjung serendah RM12 dirasakan berbaloi kerana banyak sejarah Putrajaya itu sendiri bo

leh dipelajari.

Suatu lagi yang menarik dalam program ini juga apabila peserta termasuk penulis berpeluang menunggang dan melihat penjagaan kuda secara dekat ketika di Equestrian Park Putrajaya, di Presint 5.

Aktiviti berkuda selalunya dikaitkan dengan sukan golongan kayangan dan Equestrian Park Putrajaya memberi kesempatan kepada orang ramai merasai aktiviti menunggang kuda.

Bukan itu sahaja, pelatih dan pengurus pusat itu begitu mesra dan berhemah dalam membantu pengunjung selesa dengan haiwan terbabit.

Walaupun gayat apabila berada di atas kuda, sikap pelatih begitu tenang dan prihatin sepanjang sesi tunggang santai membuatkan penulis mudah selesakan diri.

Istimewa juga dalam lawatan Discovery Putrajaya ini apabila berpeluang menyantuni komuniti menerusi lawatan ke kebun madu kelulut di Presint 15.

Melihat penduduk di kejiranan terbabit mewujudkan kebun komuniti memberi nilai tambah apabila turut menghasilkan produk sendiri sehingga dijadikan pendapatan buat komuniti terbabit.

Melihat ketekunan komuniti dalam menyelenggara dan menjaga laman komuniti dengan baik sehingga mewujudkan landskap indah serta memiliki fungsi menjadi ruang persinggahan rehat untuk orang luar lebih mengenali Putrajaya menerusi masyarakatnya.

Pengisian dengan menyertakan lokasi ini ternyata berbeza dan memberi dasar pandangan bahawa pusat komuniti dibangunkan rakyat setempat juga boleh menjadi produk pelancongan unik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 7:00 AM