TUNJUK ajar diberikan oleh tenaga pengajar berpengalaman.
TUNJUK ajar diberikan oleh tenaga pengajar berpengalaman.
Muhamaad Razis Ismail


TASIK Timah Tasoh antara lokasi tarikan yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara di Perlis.

Boleh dikatakan tidak lengkap sekiranya ke Perlis jika tidak berkunjung ke tasik berlatarkan Bukit Cabang dan Banjaran Nakawan yang menyajikan pemandangan menakjubkan kepada pengunjung.

Selain memiliki keindahan alam semula jadi, lokasi ini turut menjadi tumpuan kerana pelbagai aktiviti riadah boleh dilakukan bersama keluarga dan rakan.

Salah satu daripadanya adalah aktiviti sukan luncur angin.

Jika sebelum ini, sukan ini didominasi ahli sukan profesional, namun sejak kebelakangan ini ia turut diminati dan boleh dicuba orang awam sebagai aktiviti riadah bersama Hermission House Extreme Sports Club (HHESC).

Setiausaha HHESC, Sharifah Nadiah Wafa Syed Mohd Thalal Wafa berkata, aktiviti ini diperkenalkan di sini oleh atlet sukan luncur angin dan jurulatih pelayaran Perlis, Salehhoddin Hamzah.

Katanya, Tasik Timah Tasoh amat sesuai untuk melakukan aktiviti ini kerana ia bergantung kepada kekuatan angin untuk bergerak.

"Untuk yang baru berjinak-jinak, aktiviti ini sesuai dilakukan pada Mac hingga Ogos kerana angin yang agak perlahan untuk sesi pembelajaran.

"Manakala individu yang sudah mahir dan sukakan cabaran, September hingga Februari adalah waktu paling sesuai kerana angin kuat," katanya.

MENINGKATKAN daya ketahanan dan keyakinan diri.
MENINGKATKAN daya ketahanan dan keyakinan diri.

Menurutnya, bagi mereka yang masih baharu dengan sukan ini, tidak perlu bimbang dengan keselamatan kerana tenaga pengajar di sini sangat berpengalaman, bertauliah dan memiliki kemahiran tinggi.

"Aktiviti ini sesuai untuk hampir semua peringkat usia. Buktinya, atlet termuda yang terbabit secara serius dalam sukan ini berusia lapan tahun," katanya.

Sharifah Nadiah Wafa berkata, lokasi ini sangat strategik dan sesuai untuk aktiviti rekreasi terutama sukan air.

"Ketiadaan ombak dan arus yang kuat dan kekuatan angin yang sederhana memudahkan sesi pembelajaran dan aktiviti riadah," katanya.

Katanya, kelebihan melakukan aktiviti ini, seseorang itu dapat meningkatkan daya ketahanan dan keyakinan diri dengan melakukan sesuatu yang baharu.

AKTIVITI ini sesuai untuk hampir semua peringkat usia.
AKTIVITI ini sesuai untuk hampir semua peringkat usia.

"Selain dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah, ia juga dapat merangsang pertumbuhan otot badan, meningkatkan daya pemikiran dan daya saing seseorang.

"Pada masa sama, melalui aktiviti ini dapat meningkatkan ilmu asas pelayaran seperti bacaan angin, arus dan ombak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 6:20 AM