BERKONVOI dengan rakan yang mempunyai minat sama.
BERKONVOI dengan rakan yang mempunyai minat sama.
Muhamaad Razis Ismail


Pada mulanya, van dibeli untuk memudahkannya membawa pekerja dan peralatan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.

Bagaimanapun, fungsi van itu mula berubah apabila kenderaan itu turut dijadikan sebagai camper van apabila pemiliknya, Zaige Menuari, 42, mula meminati aktiviti itu sejak 2017.

Minat mendalam terhadap aktiviti itu mendorong kontraktor pembersihan itu melakukan pengubahsuaian terhadap kenderaan berkenaan untuk dijadikan sebagai camper van.

Kini, van yang diubah suai menggunakan kayu pine itu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk dapur, sinki dan ruang penyimpanan seperti sebuah rumah bergerak.

Zaige berkata, minat terhadap camper van tercetus apabila sering menonton aktiviti rekreasi itu di media sosial.

Katanya, dia kemudian menggunakan van sedia ada untuk melakukan aktiviti bersama keluarganya pada setiap hujung minggu.

"Pada hari bekerja, van itu digunakan untuk urusan kerja termasuk membawa pekerja dan peralatan.

"Bagaimanapun, pada hujung minggu, peralatan kerja dibawa keluar untuk dijadikan sebagai camper van.

"Sepanjang tempoh itu, banyak lokasi yang dituju dan antara yang kerap dikunjungi adalah tapak perkhemahan di Janda Baik, Pahang berdekatan dengan Lembah Klang," katanya.

Menurutnya, sejak 2017 sehingga 202, dia memiliki empat van yang digunakan secara bergilir-gilir untuk melakukan aktiviti itu.

"Bagaimanapun, saya menjual semua (van) secara berperingkat sebelum membeli sebuah van jenis Toyota Hiace LH40V 2.2 diesel di Sabah pada tahun lalu untuk diubah suai menjadi sebuah camper van yang dilengkapi pelbagai kemudahan untuk keselesaan keluarga," katanya.

Mengulas lanjut, idea untuk susun atur dan kemudahan di dalam van itu diperoleh daripada media sosial dengan menitik beratkan keselesaan keluarga.

"Perancangan yang teliti perlu dilakukan kerana ruang sedia ada sangat terhad dan pada masa sama dapat memberi keselesaan kepada keluarga.

"Kemudian van dihantar ke kedai untuk proses ubah suai yang mengambil masa sebulan untuk disiapkan.

"Selepas itu, van ini dibawa Jabatan Pengangkutan Jalan dan Puspakom untuk mendapatkan kelulusan menukar status kepada kara van," katanya.

Katanya, keseronokan aktiviti ini adalah ia sesuai untuk dilakukan bersama ahli keluarga tanpa perlu bimbangkan keselesaan mereka.

"Dengan aktiviti ini, saya bebas bergerak pada bila-bila masa dan berhenti di mana-mana sahaja. Paling penting aktiviti ini lebih menjimatkan masa dan wang.

"Setiap kali ingin ke mana-mana, saya tidak perlu membawa masuk barang yang keperluan kerana semuanya sudah tersedia di dalam van. Saya hanya membawa makanan dan pakaian yang sahaja. Setakat ini, isteri dan anak-anak sangat suka dengan aktiviti camper van ini," katanya.

Zaige berkata, oleh kerana van yang digunakan agak berusia, pemeriksaan rapi perlu dilakukan setiap kali sebelum memulakan perjalanan.

"Biarpun begitu itu bukanlah jaminan kenderaan tidak 'meragam' ketika dalam perjalanan kerana ia adalah perkara lumrah yang perlu dihadapi. Bermain dengan 'barang lama,' pemiliknya perlu kental untuk berdepan segala kemungkinan," katanya.

Tambahnya, antara pengalaman yang tidak boleh lupakan adalah apabila dia berpeluang mengelilingi Semenanjung Malaysia dengan camper van selama dua minggu.

"Saya boleh katakan, pengembaraan ini sangat menyeronokkan apabila dapat pergi ke banyak tempat menarik di negara ini dengan van bersama rakan yang berkongsi minat sama.

"Sepanjang pengembaraan itu, kami berkonvoi ke beberapa negeri termasuk Pahang, Terengganu dan Kedah," katanya.

Zaige mengakui aktiviti camper van ini mula menjadi pilihan dalam kalangan peminat aktiviti rekreasi santai bersama keluarga di negara ini.

"Ramai yang menjadi kenderaan persendirian sama ada kereta, pacuan empat roda dan van untuk melakukan aktiviti camper terutama pada hujung minggu.

"Biarpun begitu, masih belum ada tapak perkhemahan yang menyediakan kemudahan lengkap untuk aktiviti camper ini seperti di luar negara," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia berhasrat ingin mengembara ke Thailand dalam masa terdekat.

"Saya juga berhasrat untuk memiliki kenderaan lebih besar bagi mendapatkan ruang yang lebih luas. Saya sasarkan untuk beli bas model lama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 6:55 AM