WARGA Kampung Beris, Teluk Mesira, Bachok tak lepaskan peluang sertai aktiviti babit semua lapisan usia
WARGA Kampung Beris, Teluk Mesira, Bachok tak lepaskan peluang sertai aktiviti babit semua lapisan usia
Hidayatidayu Razali


Suasana riuh rendah dengan gelak ketawa peserta dan penduduk mewarnai Pesta Igak Ike (menangkap ikan) yang diadakan di Kampung Beris, Teluk Mesira, Bachok, Kelantan, baru-baru ini.

Aktiviti yang diadakan di kawasan tali air itu mendapat sambutan ramai peserta yang terdiri daripada penduduk kampung berkenaan dan masyarakat setempat.

Ia diadakan bagi mengeratkan lagi silaturahim dan mengisi masa lapang dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan.

Pesta Igak Ike memang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat di negeri Cik Siti Wan Kembang dan ia diadakan sejak dahulu lagi.

Aktiviti santai itu bukan sahaja dapat memupuk semangat kerjasama di antara penduduk malah mengukuhkan lagi hubungan yang ada.

Kebiasaannya, ia diadakan ketika musim kemarau, cuti hujung minggu atau cuti sekolah memandangkan bukan sahaja disertai golongan dewasa, malah remaja dan kanak-kanak.

IKAN yang ditangkap kemudian diagih-agihkan kepada penduduk kampung.
IKAN yang ditangkap kemudian diagih-agihkan kepada penduduk kampung.

Pelbagai aksi mencuit hati dapat dilihat sepanjang aktiviti berlangsung dan masing-masing 'sporting' meskipun terpaksa bermandi selut semata-mata untuk menangkap ikan.

Peserta, Mohd Ifran Mohd Aswadi, 17, berkata, aktiviti berkenaan sentiasa ditunggu-tunggu kerana ia acara santai yang menyeronokkan.

Kata Mohd Ifran, biasanya Pesta Igak Ike diadakan pada sebelah pagi atau petang terutama cuti hujung minggu, cuti umum atau cuti sekolah.

"Pada waktu cuti, memang lebih ramai penduduk akan turut serta menangkap ikan memandangkan ia hari tidak bekerja dan tiada sesi persekolahan.

"Walaupun baju habis kotor dengan lumpur namun ia tidak menghalang kami daripada berseronok.

"Dengan menyertai aktiviti sebegini, ia dapat mengurangkan sedikit tekanan belajar seharian," katanya.

Bagi Mohd Syafiz Che Hussin, 22, meskipun sudah beberapa kali menyertai aktiviti seperti itu namun dia tetap berasa teruja dan seronok.

ANTARA spesies ikan yang berjaya ditangkap peserta.
ANTARA spesies ikan yang berjaya ditangkap peserta.

Kata Mohd Syafiz, saiz ikan yang besar di dalam kawasan tali air itu juga membuatkan dirinya teruja untuk menyertai aktiviti berkenaan.

"Saya bersyukur kerana kali ini berjaya membawa pulang hasil tangkapan kira-kira 10 kilogram ikan (pelbagai jenis).

"Selain untuk keluarga, ikan itu juga diagih-agihkan kepada penduduk kampung bagi berkongsi rezeki.

"Aktiviti sebegini perlu dianjurkan sekerap mungkin untuk mengajak lebih banyak penyertaan golongan muda bagi mengisi masa lapang sekali gus dapat memupuk semangat kekeluargaan," katanya.

PESERTA masing-masing teruja dapat menyertai Pesta Igak Ike.
PESERTA masing-masing teruja dapat menyertai Pesta Igak Ike.

Sementara itu, penganjur program, Tengku Suhair Mizi Tengku Ismail, 41, berkata, untuk menangkap ikan selain kaedah menggunakan tangan, peserta juga dibenarkan menggunakan jaring atau pukat.

Dia yang juga penjawat awam berkata, menerusi aktiviti selama empat jam, puluhan kilogram ikan berjaya ditangkap seperti ikan lampam jawa, bujuk, haruan, patin, ikan sepat, selat dan sembarau.

Katanya, semua ikan yang ditangkap itu diiagihkan kepada peserta dan penduduk kampung.

"Dengan cara ini, ia bukan sahaja dapat berkongsi rezeki malah memupuk semangat gotong-royong.

"Meskipun ia antara aktiviti tradisional namun ramai remaja turut menyertainya sekali gus dapat memberi mereka pengalaman yang berbeza buat generasi muda.

"Secara tidak langsung, ia dapat mewujudkan aktiviti yang sihat bagi mengelakkan golongan muda terjebak dalam aktiviti tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 7:01 AM