KEINDAHAN Air Terjun Padang Batu yang memukau pasti menjadi tumpuan untuk merakam kenangan.
KEINDAHAN Air Terjun Padang Batu yang memukau pasti menjadi tumpuan untuk merakam kenangan.
Hafiz Ithnin

PANORAMA air terjun memukau mata yang begitu menenangkan sebaik sahaja pemuda ini tiba di lokasi berkenaan. Tiada kata yang dapat diluahkan kerana terlalu asyik menikmati pemandangan itu.

Ternyata pemandangan yang dikatakan mula tular di media sosial itu bukan berada di negara seberang yang sudah sinonim dengan keindahan 'deretan' air terjun yang memukau pandangan pengunjung, tetapi ia hanya berada di Rompin, Pahang.

Faaiz Faisal berkata, berkunjung selama dua hari satu malam ke Air Terjun Padang Batu dan Air Terjun Jaang yang terletak di Rompin itu memberi kepuasan yang luar biasa.

Dia yang bersama 21 pengunjung lain bertolak dari Kuala Lumpur ke lokasi itu terasa berbaloi kerana untuk menikmati pemandangan dan keindahan dua air terjun itu mereka perlu melalui beberapa laluan agak mencabar, tetapi menyeronokkan.

"Sebaik sahaja tiba di Felda Selendang, Rompin kami menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju pintu rimba yang mengambil masa perjalanan kira-kira 30 minit.

"Sebelum memulakan perjalanan, jurupandu memberikan taklimat mengenai lokasi itu terutama perjalanan selepas menaiki kenderaan pacuan empat roda memandangkan peserta perlu berjalan melalui jalan denai sejauh 3.7 kilometer (km)," katanya.

KEUNIKAN gua di bawah Air Terjun Padang Batu.
KEUNIKAN gua di bawah Air Terjun Padang Batu.

Tambahnya, usai berjalan menempuhi laluan denai dengan membawa beg galas berisi pelbagai keperluan selama dua hari satu malam, mereka tiba di tapak perkhemahan yang begitu luas untuk mendirikan khemah masing-masing.

"Tapak perkhemahan itu tidak terletak berdekatan dua air terjun berkenaan. Ini kerana matlamat kunjungan kami ke sini untuk ke Air Terjun Padang Batu. Ia memerlukan kami meneruskan perjalanan melalui jalan denai kira-kira 45 minit.

"Air Terjun Padang Batu begitu indah kerana ia bukan sekadar cantik untuk membidik foto, malah air terjunnya begitu sejuk dan jernih. Apatah lagi, di sekelilingnya hanya rimba yang tebal. Terasa seperti berada di dunia asing yang begitu tenang," katanya.

Faaiz berkata, Air Terjun Padang Batu dianggarkan mempunyai ketinggian sekitar 12 meter dan bagi mereka yang berani boleh melakukan aktiviti terjun 'tiruk' kerana di bawahnya ada kolam yang agak dalam.

"Mengenai keindahannya, Air Terjun Padang Batu juga agak unik kerana terdapat seperti gua di sebalik air terjun dan di sekelilingnya membolehkan pengunjung untuk melepak di dalam 'gua' berkenaan.

PEMANDANGAN air yang hijau dari atas Air Terjun Padang Batu.
PEMANDANGAN air yang hijau dari atas Air Terjun Padang Batu.

"Malah Air Terjun Padang Batu amat bersih persekitarannya kerana penduduk setempat menjaganya dengan baik dan amat menitik beratkan pengunjung untuk menjaga kebersihan sepanjang di sana," katanya.

Usai menikmati keindahan di Air Terjun Padang Batu, mereka kembali ke tapak perkhemahan untuk menyertai pelbagai aktiviti di situ. Malah pada sebelah malam, keindahan bintang yang cukup menyerlah membuai rasa bagaikan berada di dunia fantasi yang begitu memukau.

Faaiz berkata, pada hari kedua, mereka menuju Air Terjun Jaang pula, lokasi dari tapak perkhemahan juga tidak begitu jauh hanya kira-kira 10 minit sahaja berjalan kaki.

"Air Terjun Jaang juga tidak kurang menariknya kerana formasi batuan yang terbentuk di sekeliling begitu unik, diliputi kehijauan dan air kolam yang tenang serta begitu jernih membuatkan pengunjung tidak sabar merakam memori di sana.

"Ternyata kedua-dua lokasi ini amat menarik untuk dikunjungi kerana ia bukan sekadar dapat melihat keindahan alam semula jadi yang jauh dengan kawasan bandar, tetapi menikmati ketenangan yang tersendiri," katanya.

MENAIKI kenderaan pacuan empat roda untuk tiba ke pintu rimba.
MENAIKI kenderaan pacuan empat roda untuk tiba ke pintu rimba.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 6:45 AM