POKOK tualang berusia ratusan tahun.
POKOK tualang berusia ratusan tahun.
Nurul Husna Mahmud


TIDAK dinafikan Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut, Pahang boleh menjadi sumber inspirasi kepada peminat seni lensa dalam menghasilkan karya yang ulung.

Dari pemandangan malar hijau di kiri kanan sungai yang mengalir ditambah dengan setiap hidupan ditemui boleh melapangkan halwa mata dan minda.

Setiap subjek yang ada dari pemandangan hingga ke hidupan seperti serangga dan flora boleh menjadi naskhah atau karya indah sebaik dirakam lensa.

Bagi penulis yang sudah lama tidak berkesempatan menyertai aktiviti lasak di luar, menjadi peserta program Expedisi Fotografi dan Videografi Xiaomi bersama Tourism Malaysia baru-baru ini di taman negara disifatkan antara pengalaman yang mengujakan.

Perjalanan lima jam untuk sampai ke Kuala Tahan suatu berbaloi buat penulis selepas hampir 10 tahun tidak menjejak kaki ke hutan tertua di dunia itu.

Sebaik sahaja sampai, peserta ekspedisi seramai 40 orang terus menaiki bot untuk menyusuri perjalanan ke Lata Berkoh.

Dalam perjalanan bot yang membawa peserta program singgah ke Lubok Simpon, Sungai Tahan. Uniknya perhentian ini adalah pengalaman makan di tebing pasir dengan sajian autentik tempatan iaitu Paih Tempoyak Patin.

Sebenarnya dalam perjalanan ke Lata Berkoh, ada beberapa hentian termasuk Jeti Tualang dan Santuari Kelah di Lubuk Tenor. Di Santuari Kelah selain memberi makan ikan, pengalaman berenang bersama ikan boleh menjadi kenangan buat peserta.

Selain perlu menyusuri perjalanan 45 minit dengan bot, untuk sampai ke Lata Berkoh perlu merentas denai selama 15 minit.

Biarpun sedikit penat, tetapi pemandangan terhidang di depan mata memberi suasana menenangkan dengan deruan air yang mengalir.

Disarankan kepada pengunjung yang merancang untuk menjelajah trek ke Lata Berkoh, anda perlu mengenakan kasut sesuai kerana laluan licin terutama ketika menyusuri batu jeram.

Lokasi berkenaan juga cukup popular dalam kalangan pelancong luar sebagai 'port' mandi-manda kerana memiliki air terjun dan sungai yang jernih.

Menjadikan ekspedisi kali ini lebih istimewa, peserta diberi peluang menggunakan peranti Xiaomi bagi merakam fenomena sepanjang program.

‘RAPID Shooting’ aktiviti wajib dicuba pengunjung taman negara.
‘RAPID Shooting’ aktiviti wajib dicuba pengunjung taman negara.

Penulis sendiri diberi peluang menggunakan Xiomi 12 Pro dengan mod Pro pada laras kamera peranti model ini memberi kawalan lebih baik pada setiap gambar yang dirakam.

Memiliki peranti yang baik cukup penting dalam percutian kerana ia membantu merakam momen penting dapat dijadikan sebagai kenangan selain dikongsi bersama teman.

Sepanjang berada di Kuala Tahan, penginapan penulis dan peserta ekspedisi adalah di Danz Eco Resort yang mempunyai pelbagai pilihan bilik dan konsep mengikut kesesuaian pengunjung.

Bukan sahaja penginapan, pakej termasuk makan dan minum memenuhi cita rasa penggemar sajian kampung kerana menghidangkan lauk seperti umbut, jantung pisang dan gulai tempoyak patin.

Pada hari terakhir ekspedisi Kuala Tahan, aktiviti paling mengujakan buat peserta apabila berpeluang merasai aktiviti 'rapid shooting.'

Mengenai aktiviti 'rapid shooting,' peserta bukan sahaja melalui pengalaman bot dipandu laju menyusuri sungai.

Malah ketika menghampiri jeram, pemandu pelancong yang berada di hadapan bot akan membuat gerakan 'membuai' bot.

Kesan daripada itu menyebabkan air sungai berkocak tinggi lalu membasahi penumpang yang berada di dalamnya.

Tidak dinafikan dalam gerun kerana bimbang bot kayu terbalik, penulis berasa pengalaman 'berbuai' di Sungai Kuala Tahan mesti dicuba setiap pengunjung yang sampai ke Taman Negara.

Tip keselamatan ketika melakukan aktiviti ini adalah perlu mengelak memegang sisi bot kerana dikhuatiri boleh menyebabkan kemalangan ketika menyusuri jeram cetek berbatu.

Terdapat empat jeram dilalui sepanjang aktiviti berkenaan ketika menyusuri Sungai Kuala Tahan dengan pemandangan hutan selain perkampungan orang asli Batek.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 6:56 AM