AHLI pasukan ATV Kuala Kerik yang terdiri daripada geng 'otai'.
AHLI pasukan ATV Kuala Kerik yang terdiri daripada geng 'otai'.
Fuad Hadinata Yaacob


KEBIASAANNYA golongan muda sinonim dengan sukan lasak atau ekstrem berikutan faktor usia dan fizikal yang masih kuat serta gagah.

Namun, lain pula bagi sekumpulan warga emas atau geng

'otai' dari Kampung Kuala Kerik, Sik, Kedah ini yang tidak menjadikan usia dan fizikal sebagai halangan untuk mereka menceburi sukan lasak.

Sejak tahun lalu mereka aktif menunggang kenderaan rupa bumi (ATV).

Sesuai dengan kelasakan ATV itu sendiri, laluan berbukit, dusun, denai, sawah padi dan sungai antara tempat mencabar diri serta kemampuan ATV masing-masing.

Walaupun sudah berusia 50-an dan 60-an, namun empat sahabat itu menjadikan sukan ekstrem terbabit sebagai acara wajib buat mereka setiap hujung minggu.

Mokhtar Salleh, 64, M Rukun Salleh, 62, Asri Ahmad, 55, dan Mohd Hisham Hijjas, 51, sepakat menubuhkan 'Team ATV Kuala Kerik'.

MOHD Hisham melalui laluan berliku di bukit Sungai Senam.
MOHD Hisham melalui laluan berliku di bukit Sungai Senam.

Asri berkata, dia membeli ATV 200CC Linhai Yamaha bernilai RM8,000 tahun lalu sebelum rakan-rakan lain yang turut berminat berbuat demikian.

Katanya, pada mulanya pembelian ATV itu hanya untuk bersantai di sekitar kampung, namun apabila tiga rakan lain membeli ATV juga, tercetus idea penubuhan pasukan itu.

Sejak itu katanya, hampir setiap hari mereka meneroka kawasan kampung dan sekitar sama ada laluan berbukit, dusun, denai, sungai serta jalan mencabar lain.

AWIE meredah laluan berbatu di Sungai Muda dengan ATV.
AWIE meredah laluan berbatu di Sungai Muda dengan ATV.

"Setiap minggu kami meneroka kawasan mencabar termasuk di ladang getah, kelapa sawit, kebun, malah kami pernah mendaki bukit dengan ketinggian 45 darjah.

"Walaupun sudah berusia, namun kami masih mampu aktif dalam sukan ini dan setakat ini tiada kejadian tidak diiingini berlaku," katanya.

Menurutnya, aktiviti lasak kumpulan itu turut menarik perhatian dan minat golongan muda, malah baru-baru ini, seorang lagi penduduk kampung menyertai mereka iaitu Izaidin Ghazali, 47 tahun.

Izidin atau lebih dikenali Awie membeli ATV jenis Hammer Mikilon bernilai RM9,000 dan Sungai Muda antara lokasinya beraksi bersama ATV terbabit.

ANTARA aktiviti Team ATV Kuala Kerik pada setiap hujung minggu.
ANTARA aktiviti Team ATV Kuala Kerik pada setiap hujung minggu.

Sementara itu, Mokhtar berkata, usia bukan halangan untuk dia menceburi sukan lasak itu.

"Walaupun sudah 64 tahun, saya seronok menceburi sukan ini kerana ia bukan saja memberi ketenangan ketika meneroka alam semula jadi, tetapi juga menyihatkan badan kerana kami bermandi peluh selepas mengikuti setiap aktiviti," katanya yang sudah meneroka lebih 10 bukit di sekitar Sik.

Datuk kepada lima cucu itu berkata, dia membeli ATV jenis Honda 130CC bernilai RM4,000 tahun lalu dan aktiviti yang diceburinya itu menjadikan dirinya lebih sihat.

"Walaupun saya asal di sini, tetapi ada tempat atau ceruk saya tak pernah sampai, namun sejak adanya ATV, setiap laluan yang boleh dimasuki ATV kami redah," katanya.

Mengenai penyelenggaraan ATV itu, Mokhtar berkata, penjagaan jentera empat roda itu sama seperti motosikal dan jika ada masalah hanya perlu membawanya ke kedai motosikal.

Katanya, sejak memiliki ATV itu, apa saja aktiviti termasuk ke masjid menggunakan jentera berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 6:35 AM