KEUNIKAN Air Terjun Lata Sungai Riau.
KEUNIKAN Air Terjun Lata Sungai Riau.
Izad Thaqif Hassan


KEINDAHAN Air Terjun Lata Sungai Riau boleh diibaratkan 'permata tersembunyi.' Apakan tidak air terjun yang tersenarai antara enam tercantik di Sungai Sedim, Kulim, Kedah ini mempunyai tarikan tersendiri dengan pemandangan yang sangat mempesonakan.

Namun, untuk ke sana bukan semudah dijangka kerana pengunjung perlu menggunakan laluan trek sejauh tujuh kilometer (km) untuk pejalan kaki atau menunggang all terrain vehicle (ATV).

ATV adalah sejenis motor bertayar empat dan kadang-kadang didatangkan dengan enam tayar. Lazimnya kenderaan itu digunakan di kawasan lasak seperti hutan, sungai, tanah tidak rata dan cabaran bentuk muka bumi lain.

Bagi penulis, keindahan air terjun terbabit yang kedudukannya agak tersembunyi sukar diungkapkan dengan kata-kata kerana hanya mereka yang pernah tiba tahu betapa nyaman dan dinginnya tubuh sebaik disirami kejernihan airnya.

Apa yang penulis alami sendiri sebaik berada di celahan air terjun itu bagaikan tubuh diurut titisan air sehingga dapat melupakan sejenak segala masalah sambil menghirup udara nyaman dan segar selain tidak keterlaluan juga jika dikatakan ia sebagai satu terapi.

Perjalanan penulis dengan menunggang ATV mengharung pelbagai laluan trek ternyata berbaloi sebaik dapat berendam menyegarkan badan di air terjun berkenaan, malah mendengar bunyinya sahaja ketika menghampiri kawasan terbabit sudah cukup menimbulkan rasa teruja.

Penyelaras Homestay Sedim, Abdul Mutallib Che Sa berkata, pengunjung luar yang datang ke sini memang sukar atau langsung tidak mengetahui kewujudan dan keindahan Air Terjun Lata Sungai Riau ini.

SEBAHAGIAN daripada pengunjung menaiki ATV menikmati keindahan semula jadi di Sungai Sedim, Kulim, Kedah.
SEBAHAGIAN daripada pengunjung menaiki ATV menikmati keindahan semula jadi di Sungai Sedim, Kulim, Kedah.

"Ini kerana lokasi terbabit hanya boleh ditemui jika pengunjung mengikut laluan trek pendaki atau mengambil perkhidmatan menunggang ATV yang disediakan selain ia tidak dibuka kepada orang ramai berikutan bimbang akan tercemar dengan sampah.

"Hanya pengunjung tertentu sahaja dibawa ke lokasi air terjun ini dan kami memang menjaga kebersihannya kerana ia turut menjadi punca kegunaan harian sumber air bersih buat penduduk setempat," katanya.

Selain itu, tidak ramai yang mengetahui keindahan air terjun Lata Riau ini yang juga antara lokasi 'Upacara Pengambilan Air Mata Air Bagi Istiadat Letak Kerja Dan Istiadat Siram Tabal Sempena Pertabalan KDYMM Tuanku Sultan Kedah ke-29.'

Bagi penulis, tempoh hampir sejam berada di kawasan air terjun itu seakan-akan tidak mencukupi kerana suasana sekeliling yang tenang di situ pasti membuatkan sesiapa sahaja enggan berganjak dan kaki ini seolah-olah 'melekat' untuk meneruskan perjalanan.

Namun, apakan daya kerana ada lagi beberapa lokasi yang perlu penulis singgah. Dari Air Terjun Lata Sungai Riau, perjalanan menunggang ATV diteruskan dan kali ini trek dilalui lebih mencabar, namun ia juga sangat menarik kerana melalui kawasan dipenuhi pemandangan hijau hingga penulis dapat merasai 'bau hutan' yang asli dan semula jadi.

‘TREE Top Walk’ yang menarik perhatian pengunjung.
‘TREE Top Walk’ yang menarik perhatian pengunjung.

Dalam perjalanan pulang, penulis sempat singgah dan merasai pengalaman lebih mencabar iaitu 'white water rafting' dan berjalan di jambatan kanopi 'Tree Top Walk' yang satu ketika dahulu pernah memegang rekod laluan kanopi terpanjang di dunia.

Selesai segalanya, penulis pulang ke Homestay SimonShed yang menjadi penginapan untuk kami selama dua hari satu malam sebelum dibawa menikmati makan malam di Homestay Sedim Rumah Tok Su dengan sajian masakan kampung cukup menyelerakan.

Terdapat 11 pilihan untuk pelanggan yang ingin bermalam di Homestay Sedim dengan setiap satunya mempunyai konsep tersendiri dan kepelbagaian dekorasi mengikut pemiliknya.

Menariknya di Homestay Sedim ini, setiap pelanggan dianggap sebagai tetamu dan tinggal bersama pemilik yang sangat ramah dengan harga berpatutan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 7:00 AM