ANTARA peserta yang mengambil bahagian.
ANTARA peserta yang mengambil bahagian.
Ahmad Hasbi


Peluang menyertai kayuhan santai basikal tua bersama 30 peserta lain di Kampung Lonek Batu Kikir, Negeri Sembilan, baru-baru ini, mengingatkan penulis kepada beberapa filem lakonan Tan Sri P Ramlee seperti Bujang Lapok dan adegan Ali Baba dengan 40 penyamun dalam Filem Ali Baba Bujang Lapok

Malah, suasana jalan kampung yang dikelilingi kebun getah, sawah padi dan rumah tradisional Negeri Sembilan di sepanjang laluan seolah-olah menggamit nostalgia peserta yang rata-ratanya 'orang lama.'

Beberapa peserta kayuhan yang mengenakan busana zaman dahulu seperti bersongkok, berbaju melayu, kemeja dengan lengan dilipat dan sebagainya yang sedikit sebanyak membangkitkan suasana.

Bagi membangkitkan lagi suasana zaman dahulu, penganjur turut memainkan lagu dari era 70-an dan 80-an di sepanjang perjalanan yang mengambil masa empat jam di laluan sejauh 14 kilometer (km).

Nama program Nostalgia Jambatan Bosi diberikan penganjur sempena salah satu laluan kayuhan yang melintasi Jambatan Batu Kikir yang terkenal dengan panggilan 'Batu Kikir Jambatan Bosi' suatu ketika dahulu.

Bermula di Masjid Kariah Desa Anggerik jam 8 pagi, peserta diberikan taklimat mengenai laluan yang bakal ditempuh dan langkah keselamatan di sepanjang kayuhan bagi memastikan ia berjalan lancar.

Penulis berpeluang mengayuh basikal yang dipinjamkan penganjur berjenama Roadster iaitu salah satu jenama terkenal dalam kalangan basikal tua pada suatu ketika dahulu.

ROGRAM Nostalgia Jambatan Bosi mengeratkan silaturahim dalam kalangan peserta.
ROGRAM Nostalgia Jambatan Bosi mengeratkan silaturahim dalam kalangan peserta.

Rombongan kayuhan mendapat perhatian pengguna jalan raya ketika keluar dari masjid apabila beberapa kenderaan membunyikan hon dan melambai kepada peserta kayuhan sebelum kami bergerak ke kawasan kebun getah di Kampung Masjid Lama.

Tidak lama kemudian, kami tiba di sebuah rumah tradisional Negeri Sembilan yang dijadikan inap desa di Kampung Lonek.

Menurut ketua program, Amran Yahya, Homestay Kampung Lonek diperkenalkan sejak 2005 yang mana hampir semua rumah tradisional bercirikan binaan Minang di kampung berkenaan dijadikan inap desa.

"Dengan suasana sawah padi dan tali air, pengunjung dapat merasai pengalaman hidup di kawasan kampung. Malah, rumah yang dijadikan inap desa sangat unik dengan ciri-ciri binaan Minang.

"Pelancong dapat menikmati pengalaman bercuti di kampung, lengkap dengan aktiviti yang menyeronokkan, makanan yang lazat dan aktiviti kebudayaan setempat yang menarik," katanya.

AMRAN memberi taklimat kepada peserta sebelum kayuhan bermula.
AMRAN memberi taklimat kepada peserta sebelum kayuhan bermula.

Perjalanan diteruskan ke kawasan sawah dan peserta sempat berhenti di beberapa lokasi untuk bergambar kenangan termasuk di pintu gerbang Kampung Lonek sebelum bergerak ke Teratak Zaaba.

"Kami singgah di Teratak Zaaba yang terletak di Kampung Bukit Kerdas. Ia dibina sebagai memorial yang menghimpunkan barang milik Pendeta Zaaba atau nama sebenarnya Zainal Abidin Ahmad iaitu pejuang bahasa.

"Menurut penjaga bangunan itu, Teratak Zaaba bukan sahaja memberi peluang kepada generasi muda untuk menghayati perjuangan beliau sebagai bapa persuratan bahasa Melayu bahkan mewujudkan sebuah lagi produk bersejarah di negeri yang mengamalkan adat perpatih itu," katanya.

Semua barang dan khazanah peribadi yang diabadikan dalam Teratak Zaaba adalah milik tokoh berkenaan yang diperoleh daripada waris, keluarga dan rakannya serta Arkib Negara, Universiti Malaya (UM), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan Maktab Perguruan Kuala Kangsar (MPKK).

Amran berkata, Teratak Zaaba dikelola Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan orang ramai boleh mengunjunginya tanpa dikenakan bayaran.

Selepas hampir 30 minit berehat dan meninjau Teratak Zaaba, rombongan kayuhan bergerak ke Pekan Batu Kikir yang mana akan melalui 'Jambatan Bosi' sebelum kami berhenti seketika atas jambatan berkenaan.

PESERTA bergambar di hadapan Teratak Zaaba.
PESERTA bergambar di hadapan Teratak Zaaba.

Menurut Amran, jambatan berkenaan kini adalah dibina daripada konkrit dan dipercayai pada asalnya adalah jambatan besi dan daripada situ wujudnya ungkapan 'Batu Kikir Jambatan Bosi.'

"Berdasarkan cerita orang tua, ungkapan 'Batu Kikir Jambatan Bosi' terkenal sehingga seluruh negara, malah sehingga ke seantero Nusantara, bahkan ia turut diselitkan dalam lirik lagu rakyat Negeri Sembilan seperti lagu Apo Kono Eh Jang.

"Namun, sekarang ia hanya sebuah jambatan konkrit biasa yang tiada keistimewaannya meskipun ungkapan berkenaan masih disebut sehingga kini," katanya.

Kami kemudian menyambung kayuhan kembali semula ke Masjid Kariah Desa Anggerik dan tiba jam 12 tengah hari sebelum dijamu dengan masakan tradisional Negeri Sembilan.

Secara keseluruhannya, peserta dan penulis sendiri berpuas hati dengan kayuhan santai berkenaan yang mana bukan sahaja menggamit nostalgia, malah dipenuhi unsur kebudayaan dan sejarah tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 7:00 AM