MELALUI perkampungan penduduk setempat untuk memulakan pendakian.
MELALUI perkampungan penduduk setempat untuk memulakan pendakian.
PENULIS bersama rakan-rakan di puncak Bukit Lagong.
PENULIS bersama rakan-rakan di puncak Bukit Lagong.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


BUKIT Lagong, sebenarnya sebuah nama yang agak asing kepada penulis memandangkan tidak pernah langsung mengetahui mengenainya.

Sebaik sahaja memulakan pendakian ke bukit itu yang berketinggian 572 meter ternyata perjalanannya cukup menarik apatah lagi sepanjang aktiviti pendakian sinaran matahari menembusi daun-daundalam gelap hutan yang memukau pemandangan.

Berkesempatan menyertai aktiviti pendakian itu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang lalu membuatkan penulis terpanggil untuk berkongsi pengalaman mengenainya.

Menerokainya menerusi pintu masuk di Kampung Orang Asli Ulu Kuang di Selangor hanya mengambil masa kira-kira 45 minit pemanduan ke lokasi berkenaan.

Penulis difahamkan untuk ke sana terdapat beberapa akses pintu masuk selain di Kampung Orang Asli Ulu Kuang iaitu di Kampung Orang Asli Bukit Lagong, Kampung Orang Asli Sungai Buloh dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Memulakan pendakian kira-kira 9 pagi menggunakan penunjuk arah Orang Asli dari Kampung Orang Asli Ulu Kuang, sememangnya satu pengalaman yang menarik kerana keramahan mereka menceritakan pelbagai ilmu hutan.

Pada awal pendakian sahaja, penulis dihidangkan dengan deruan Air Terjun Gajah Jatuh yang cukup mendamaikan.

SINARAN matahari menembusi hutan amat mempesonakan.
SINARAN matahari menembusi hutan amat mempesonakan.

Ketika mula memasuki isi hutannya pula hanya perlu merentasi laluan mendatar dan penulis bersama rakan-rakan pendaki yang lain boleh dikatakan banyak berhenti kerana mengambil gambar di bawah sinaran matahari yang melalui celah-celah daun dengan panorama yang memukau.

Sepanjang pendakian sejauh 5.5 kilometer itu, kami juga menyusuri sungai utama iaitu Sungai Kuang dan beberapa anak sungai lain antaranya Sungai Manau, Sungai Genel dan Sungai Kepong.

Beberapa kali juga kami berhenti untuk menikmati keindahan laluan sungai berkenaan sehinggakan tidak terasa gigitan sang pacat sedang mengisi perutnya!

Perjalanan naik hanya mengambil masa empat jam sahaja dan terdapat dua laluan berbukit yang perlu didaki sebelum sampai ke puncaknya.

Ketika hampir tiba di puncak ternyata keadaan sekelilingnya bersemak tebal mungkin kerana lokasi itu jarang dikunjungi.

TERDAPAT pelbagai keunikan fauna di sepanjang laluan pendakian.
TERDAPAT pelbagai keunikan fauna di sepanjang laluan pendakian.

Di puncaknya pula terdapat sebuah stesen trigonometri atau triangulasi. Pemandangannya pula tidaklah begitu terbuka.

Bagi penulis pendakian ke Bukit Lagong bukan kerana puncaknya tetapi perjalanan yang mempunyai panorama landskap semula jadi yang menarik menjadi tarikan utama ke sana.

ANTARA air terjun yang boleh dinikmati pendaki.
ANTARA air terjun yang boleh dinikmati pendaki.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 6:20 AM