SUNGAI dikatakan pernah menjadi laluan pedagang ketika kerajaan Kedah Tua.
SUNGAI dikatakan pernah menjadi laluan pedagang ketika kerajaan Kedah Tua.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


APABILA memperkatakan berkenaan cerita dongeng, kisah Raja Bersiong yang gemar minum darah manusia sehinggakan giginya tumbuh siong juga antara salah satunya.

Tidak pasti sama ada kewujudan raja itu benar atau sekadar mitos namun daerah Baling, Kedah, dikatakan mempunyai perkaitan rapat dengan kisah itu.

Meskipun Baling kurang popular berbanding destinasi utama yang lain termasuk Sungai Petani dan Alor Setar, namun ia mempunyai tarikan tersendiri terutama keindahan semula jadi selain penceritaan atau tinggalan sejarah terdapat di sekitarnya.

Tarikan pertama daerah yang bersempadan dengan Perak dan Thailand itu, ialah Gunung Pulai atau Gunung Baling dan pernah tular sebelum ini.

Perkara yang sering dikongsi pendaki ialah keindahan pemandangan dari puncak gunung itu sebaik disirami cahaya matahari terbit seolah-olah fenomena rabung gunung di luar negara. Tidak hairanlah ia menjadi pilihan kebanyakan peminat ekstrem atau pencinta semula jadi.

Disarankan bagi mereka yang mahu menikmati fenomena itu sendiri sebaiknya memulakan pendakian seawal jam 2 pagi kerana perlu menempuh perjalanan termasuklah mengharungi trek mencanak.

Meskipun ada yang mempertikaikan puncak itu tidak selayaknya menggondol gelaran gunung berikutan ketinggian sekitar 420 meter sahaja, namun melaluinya pendaki dapat melihat jajaran dan pemandangan sekitar pekan Baling.

CHALET ini pernah tular kerana keunikan motifnya.
CHALET ini pernah tular kerana keunikan motifnya.

Ada dalam kenalan penulis yang juga kaki gunung menyifatkan trek Gunung Baling sesuai sebagai latihan memanaskan badan sebelum mendaki gunung yang lebih tinggi dan sukar.

Tidak hanya menawarkan khazanah pemandangan gunung batu kapur yang menarik, malah di sekitarnya turut menempatkan lebih 15 gua yang mempunyai pelbagai penceritaan baik dari segi legenda atau mitos yang unik.

Paling hampir dengan destinasi gunung Baling ialah Gua Jepun yang dibangunkan Majlis Daerah Baling sebagai tarikan ke daerah terbabit. Apatah lagi gua berkenaan boleh dikunjungi bila-bila masa tidak kira siang atau malam.

KEMUDAHAN kolam renang untuk kanak-kanak.
KEMUDAHAN kolam renang untuk kanak-kanak.

Lampu-lampu yang dipasang sepanjang gua itu turut memberi kemudahan kepada pengunjung terutama yang sukakan perjalanan malam.

Selepas penat, pastinya 'port' bermalam yang menenangkan dan tidak jauh daripada destinasi itu menjadi pilihan pengunjung.

Kebiasaannya, pilihan penginapan adalah rumah rehat atau inap desa yang diusahakan penduduk tempatan. Ini termasuklah Chalet Asyuk Maju di kampung Pedati yang diuruskan Haryati Hamid setelah dibangunkan saudaranya, Fazilah Hamid dan pasangan, Ishak Zainal Abidin yang juga pesara tentera.

Chalet berkenaan pernah tular sebelum penularan pandemik Covid-19 kerana menampilkan reka bentuk yang bermotifkan buah-buahan. Penggunaan warna yang ceria selain terletak berhampiran dengan gunung dan anak sungai menyebabkan ia menjadi tarikan pengunjung untuk bermalam.

Menurut Haryati, pada awalnya ia adalah rumah rehat didiriń∑an pasangan itu untuk mereka berehat apabila pulang ke kampung. Kini menjadi chalet buat pengunjung luar berminat menyertai aktiviti rekreasi di kawasan sekitar.

"Meskipun Baling agak terpencil iaitu kira-kira 110 kilometer dari Alor Setar, namun daerah ini tidak asing dalam kalangan pencinta alam semula jadi atau pun aktiviti lasak. Selain pengunjung dari ibu kota, kami pernah terima pelancong luar negara sejauh Jerman untuk bercuti di sini.

HARYATI (kiri) bersama Fazilah (tengah) dan Ishak, di kediaman pasangan itu yang kini turut ditukar menjadi inap desa.
HARYATI (kiri) bersama Fazilah (tengah) dan Ishak, di kediaman pasangan itu yang kini turut ditukar menjadi inap desa.

"Kebetulan penginapan kami sediakan terletak dalam kampung Pedati yang mengadap pemandangan gunung dan sungai. Ia menjadi destinasi pilihan untuk bermalam bagi keluarga atau mereka yang datang bersama kawan.

"Ada yang menyewa chalet dan ada juga kemudahan lain yang kami tawarkan kepada pengunjung termasuklah wakaf memasak, tempat rehat dan kemudahan kolam mandi untuk kanak-kanak.

"Rata-rata yang datang untuk mendaki, meneroka gua dan berkelah di sungai yang mengalir jernih sepanjang kampung ini. Kampung Pedati ini juga sebenarnya mengambil nama sejarah sungai ini yang pernah menjadi tempat kapal dan pedagang berlabuh.

"Buktinya, pernah ditemui sampan pedagang dulu di dasar sungai ini. Dikatakan sampan itu adalah pemilik pedagang luar yang karam kerana buatan dan usia kayunya beratus tahun. Sampan itu kini disimpan di muzium Lembah Bujang sebagai kajian sejarah mengenai kewujudan kerajaan Kedah Tua," katanya.

Menurutnya, selain menikmati alam semula jadi, pengunjung yang bercuti di daerah berkenaan boleh merasai suasana kampung dengan mencuba juadah tradisi seperti lemang dan dodol yang disediakan penduduk kampung.

Malah menjadi kelebihan mereka yang menginap di kampung tradisi itu ialah akses dengan pekan berhampiran juga tidak jauh. Tarikan di pekan Baling semestinya pasar pagi yang menjual pelbagai barangan termasuklah barangan terpakai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 7:01 AM