MASJID Ar-Rahman.
MASJID Ar-Rahman.
Muhamaad Razis Ismail

Kelantan cukup dikenali sebagai destinasi pelancongan yang unik dan menarik.

Selain terkenal dengan pelbagai jenis makanan, negeri ini turut unik dari segi seni dan budayanya.

Negeri ini juga mempunyai banyak destinasi menarik untuk dikunjungi pelancong di dalam dan luar negara.

Antara yang menarik ialah Masjid Ar-Rahman di perkampungan nelayan di Pulau Gajah, Sabak, Kota Bharu.

Penulis berkesempatan melawat destinasi ini ketika bertugas di negeri Cik Siti Wan Kembang itu pada tiga tahun lalu.

Sebelum itu, masih belum ramai yang mengetahui kewujudan masjid yang dibina di kawasan yang agak terpencil.

Oleh itu, dinasihatkan anda menggunakan aplikasi Waze atau Google Maps untuk mendapat pandu arah lebih tepat untuk ke masjid ini.

Selepas tular di media sosial, masjid ini menerima tumpuan pengunjung di dalam dan luar Kelantan, sekali gus menjadi tarikan baharu di negeri itu.

PINTU masuk utama masjid.
PINTU masuk utama masjid.

Dari pandangan atas, masjid ini seolah-olah berada dalam sebuah pulau apabila dikelilingi sungai.

Penulis yang tiba di pintu gerbang masjid itu sudah terpegun dengan keindahan masjid ini sehingga tidak sabar melihat di bahagian dalamnya.

Keunikan masjid ini adalah terletak kepada seni binanya yang dihasil dengan cukup teliti dengan menggabungkan seni bina dari Indonesia, Maghribi, Yaman dan Turki.

Menariknya, penulis difahamkan, cetusan idea untuk membina masjid bernilai RM6 juta adalah daripada individu yang enggan dikenali.

Individu ini yang sering ke luar negara mendapat idea seni bina daripada negara yang dilawati sebelum membina masjid itu atas tanah miliknya.

Masjid itu kemudian diwakafkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Di bahagian luar, penulis dapat melihat geduk yang diletakkan di pekarangan masjid.

Kemudian di dua pintu masuk utama masjid terdapat ukiran ayat suci al-Quran yang cukup menarik.

KEDUDUKAN masjid yang dikelilingi sungai.
KEDUDUKAN masjid yang dikelilingi sungai.

PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang memukul geduk di pekarangan masjid.
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang memukul geduk di pekarangan masjid.

Sebaik melangkah masuk dalam masjid, penulis berasa seperti berada di tempat lain, apa tidak seni binanya cukup memukau sesiapa sahaja yang datang.

Antara yang menarik perhatian adalah tiang tempat imam solat menggunakan batang pokok kurma yang diambil dari negara di Timur Tengah serta lima kayu cengal sebesar pemeluk yang didirikan di ruang solat.

Selain itu, terdapat kemudahan lain yang disediakan untuk pengunjung termasuk ruang parkir yang luas, tandas dan sebagainya.

Bagi penulis, Masjid Ar-Rahman di Pulau Gajah adalah antara lokasi pelancongan yang sesuai untuk seisi keluarga. Selain dapat menunaikan ibadah, pengunjung juga dapat menikmati keindahan seni bina masjid ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 6:20 AM