PERLU mahir mengendalikan rakit ketika menyelusuri jeram.
PERLU mahir mengendalikan rakit ketika menyelusuri jeram.
Hanifah Nazira Mohamed Hanafiah


JIKA anda peminat aktiviti mencabar, berakit di jeram atau lebih dikenali sebagai 'white water rafting' paling sesuai untuk memenuhi keperluan adrenalin.

Ia memberi cabaran tersendiri dan apa yang penting, turut membantu mengikis perasaan takut atau gerun terhadap aktiviti air.

Bagi penggemar aktiviti lasak, ia juga boleh dijadikan sebagai terapi diri untuk mengurangkan tekanan harian.

Baru-baru ini penulis berkesempatan menemubual penggemar aktiviti lasak itu, Rohaimy Awang.

Rohaimy berkata, dia pernah menyertai Ekspedisi Rafting dan Camping yang diadakan di Outworld Rafting dan Based Camp, Gopeng, Perak.

"Program selama dua hari satu malam itu menarik minat seramai 25 peserta untuk menyertai aktiviti anjuran Selangor Hikers Club (SeHC) dan Geng Takde Nama (GTN).

CABARAN berakit di jeram yang menguji fizikal dan mental.
CABARAN berakit di jeram yang menguji fizikal dan mental.

"Berakit di jeram bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat Malaysia kerana negara kita mempunyai bentuk muka bumi yang sesuai untuk aktiviti itu," katanya.

Malah dia tidak menafikan di Malaysia terdapat beberapa tempat yang menjadi pilihan utama peminat aktiviti itu berdasarkan tahap kesukaran yang berbeza.

Antaranya di Sungai Kampar, Gopeng (Tahap 3), Sungai Selangor, Kuala Kubu Baru, Selangor (Tahap 4), Sungai Slim, Slim River, Perak (Tahap 3) dan Sungai Sedim, Kulim, Kedah.

"Setiap sungai berkenaan mempunyai daya tarikan, keistimewaan dan cabarannya tersendiri.

"Semakin tinggi tahapnya maka semakin hebat cabaran yang perlu dilalui.

TAKLIMAT penggunaan rakit dan aspek keselamatan diberikan kepada peserta sebelum memulakan aktiviti.
TAKLIMAT penggunaan rakit dan aspek keselamatan diberikan kepada peserta sebelum memulakan aktiviti.

"Sama seperti aktiviti lasak atau ekstrem lain, 'white water rafting' juga tidak terkecuali boleh mengundang risiko kecederaan jika tidak peka dengan keadaan sekeliling," katanya.

Sementara itu, sebelum memulakan aktiviti, taklimat keselamatan disampaikan terlebih dahulu Haslil Razif selaku pemilik tapak perkhemahan.

Menurut Rohaimy, perjalanan aktiviti dianggarkan lebih kurang tiga jam merentasi sungai dan jeram bergantung kepada jumlah penyertaan peserta, faktor keadaan air sungai dan paling penting tahap ketahanan fizikal, mental serta stamina peserta.

"Kami juga diingatkan supaya sentiasa berwaspada selain perlu saling mengingati antara satu sama lain dan meningkatkan keyakinan diri sepenuhnya.

"Perasaan takut dan gerun juga perlu dibuang jauh-jauh.

"Apapun, penulis bersyukur kerana keadaan arus sungai mahu pun batuan jeramnya tidak begitu ekstrem dan ia sesuai untuk mereka yang pertama kali mencuba," katanya.

Peserta juga diajar kod 'Boom boom,' 'Jump jump', 'On the left on the right', yang bermaksud peranan untuk menentukan pergerakkan di atas rakit.

KEPUASAN terserlah pada wajah peserta apabila berjaya menamatkan aktiviti dengan selamat.
KEPUASAN terserlah pada wajah peserta apabila berjaya menamatkan aktiviti dengan selamat.

Pada masa sama, Rohaimy dan peserta lain turut diajar panduan bagaimana cara mengatasi dan mengawal keadaan jika berlaku situasi cemas seperti terjatuh serta dihanyutkan arus deras jika individu itu tidak pandai berenang.

"Peserta juga didedahkan dengan risiko lain seperti persekitaran berbatu licin, rakit atau bot terbalik ketika melepasi jeram dan hanyut dalam air sementara menunggu bantuan tali.

"Jika melakukan aktiviti berakit di jeram, anda wajib memakai topi dan jaket keselamatan sepanjang berada di kawasan pesekitaran sungai.

"Setiap pergerakan dalam aktiviti ini juga memerlukan semangat kerjasama kumpulan yang kuat untuk menempuhi segala cabaran dan halangan jeram berliku," katanya yang bersyukur kerana berpeluang menghayati keindahan panorama alam semula jadi dan kebesaran ciptaan Allah.

Apapun dia mengakui, selepas berjaya meredah jeram yang berliku, perasaan puas sukar untuk digambarkan.

"Kami berjaya mengatasi perasaan gerun dan takut, sesungguhnya aktiviti ini meninggalkan kenangan yang sukar untuk dilupakan sampai bila-bila," katanya.

PENGALAMAN Rohaimy ketika menyertai Ekspedisi Rafting dan Camping di Outworld Rafting dan Based Camp, Gopeng.
PENGALAMAN Rohaimy ketika menyertai Ekspedisi Rafting dan Camping di Outworld Rafting dan Based Camp, Gopeng.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 6:50 AM