POKOK sakura hiasan menyerikan lagi kawasan Asumeya.
POKOK sakura hiasan menyerikan lagi kawasan Asumeya.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


BAGAIKAN berada di bumi Sakura. Keindahan Taman Persahabatan Selangor-Jepun yang terletak bersebelahan Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Selangor, kini semakin menjadi bualan ramai.

Sejak dibuka secara rasmi pada 12 Mac lalu, taman berkenaan menjadi pilihan pengunjung untuk beriadah dan bersantai bersama keluarga.

Pembinaan taman seluas 2.428 hektar itu adalah sebagai tanda penghargaan dan simbolik kepada Jepun yang sekian lama menjadikan Selangor sebagai destinasi pelaburan mereka.

Harian Metro turut tidak ketinggalan mengunjungi taman itu baru-baru ini dan secara jujurnya, berasa kagum dengan keindahannya.

Taman itu mempunyai beberapa tarikan utama antaranya Laman Zen, Kolam Maze, Laman Perantau, Laman Denai, Rumah Selangor dan Laman Refleksologi.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang melihat sendiri Tsukubai iaitu besen cucian yang diperbuat daripada batu granit.

Ia antara rekaan tradisi turun temurun rakyat Jepun untuk mencuci tangan dan mulut.

Tsukubai menjadi elemen penting dalam kawasan suci di Jepun yang secara tradisinya digunakan sebelum upacara

minum teh atau melawat kuil agama mereka.

TAMAN awam yang kini menjadi tarikan pelancong.
TAMAN awam yang kini menjadi tarikan pelancong.

Di taman itu, pengunjung juga boleh melihat keunikan seni bina rekaan Asumeya iaitu rumah teh yang juga antara elemen penting dalam taman di Jepun.

Upacara minum teh dalam sejarah Jepun bermula pada abad ke-16 dan intipatinya melambangkan empat prinsip iaitu Wa (harmoni), Kei (hormat), Sei (penyucian) dan Jaku (ketenangan) yang melambangkan Jiwa Keamanan Dunia.

Di Laman Zen pula, pengunjung berpeluang melihat taman batu unik yang bermula pada zaman Asuka (abad keenam dan kelapan masihi).

Reka bentuk taman itu bercirikan susunan teliti antara batuan, air, lumut, pokok dan tumbuhan renek yang dipangkas, ia menekankan prinsip semula jadi (Shizen), kesederhanaan (Kanso) dan penjimatan (Koko).

LALUAN yang diserikan dengan rimbunan pokok buluh.
LALUAN yang diserikan dengan rimbunan pokok buluh.

BAGAIKAN berada di bumi Sakura.
BAGAIKAN berada di bumi Sakura.

Gerbang Torii pula adalah simbolik pintu masuk ke kawasan suci kuil Shinto di Jepun.

Ia juga secara simbolik menandakan peralihan dari duniawi ke kawasan suci.

Kehadiran Torii di pintu masuk adalah cara paling mudah untuk mengenal pasti kuil Shinto.

Taman itu juga menyediakan Gerbang Bulan untuk pengunjung.

Ia adalah bukaan melingkar di dinding taman yang berfungsi sebagai lorong pejalan kaki.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim sebelum ini berkata, taman itu mula dibina sekitar tahun 2018 dan siap sepenuhnya tahun lalu dengan kos keseluruhan berjumlah RM3.8 juta.

Katanya, taman itu dibuka sedikit lewat kepada pengunjung susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

"Ia dibina mengikut penyatuan elemen seni bina dan kebudayaan bagi melambangkan kerjasama utuh antara negeri Selangor dan Jepun.

"Terdapat juga pelbagai ciri unik di sini dengan pagar keselamatan dan ia dibuka secara percuma bermula jam 10 pagi hingga 7 malam.

"Pembukaan taman itu bakal menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara termasuk dari Jepun," katanya.

Sementara itu, Kelab Rekreasi Majlis Bandaraya Shah Alam turut menyediakan kemudahan menyewa pakaian tradisional masyarakat Jepun, Kimono kepada orang ramai.

PENGUNJUNG boleh menyewa baju kimono di kios yang disediakan.
PENGUNJUNG boleh menyewa baju kimono di kios yang disediakan.

Usaha menarik itu mampu membantu pengunjung dalam merakam kenangan yang lebih indah ketika mengunjungi taman berkenaan.

Jadi, warga Lembah Klang, tunggu apa lagi? Jom kunjungi Taman Persahabatan Selangor-Jepun dan terokai sendiri keindahannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 7:01 AM