PENULIS menikmati pemandangan di atas bukit.
PENULIS menikmati pemandangan di atas bukit.
Ardyhansah Amat
rencana@hmetro.com.my

Sebut saja Kampung Batu Payung di Tawau, Sabah pastinya terbayang suasana perkampungan nelayan dengan hamparan Laut Sulu seluas mata memandang.

Terletak kira-kira 18 kilometer dari pusat bandar Tawau, kampung yang berstatus 'native land' ini, kini sering menjadi tumpuan pendaki untuk mengeluarkan peluh setiap kali hujung minggu atau cuti umum menjelma.

Beberapa deretan bukit di sini seperti Bukit Cinta, Kiyawan, Heroin, King Kong dan Batu Hitam menjadikan kampung ini cukup terkenal dalam kalangan pendaki tempatan.

Nama bukit berkenaan juga menjadi sebutan pendaki dari daerah berhampiran termasuk Kunak, Semporna dan Lahad Datu yang pastinya akan meluangkan masa bagi merasai pengalaman mendaki di sini.

Bertuahnya penulis kerana ada sebahagian bukit berkenaan hanya terletak di belakang rumah, sekali gus memudahkan pergerakan tanpa perlu mengira masa dan pengangkutan.

Destinasi pertama, Bukit Cinta, lokasi pendakian penulis sejak zaman kanak-kanak. Bezanya dulu kawasan ini, hanya ditawan orang kampung atau lebih mudah penduduk di kawasan berhampiran, kini, saban minggu pasti ada saja kumpulan pendaki berkunjung ke sini.

MENJADI tarikan remaja untuk beriadah.
MENJADI tarikan remaja untuk beriadah.

Walaupun jarak perjalanan agak mudah iaitu sekitar 20 hingga 30 minit, namun ia menjanjikan persekitaran mesra 'Instagram'.

Dengan longgokan batu, akar kayu bonsai yang besar dan pokok hutan, pastinya sesuai diabadikan dalam sosial media masing-masing.

Malah jika tiba di puncak, keletihan mendaki berbalas dengan hembusan angin Laut Sulu. Anda boleh menikmati pemandangan kawasan sekitar termasuk Kampung Membelua dan Apas Parit.

Dari sini, penulis meneruskan perjalanan ke Batu Hitam dan dan Bukit Heroin yang kira-kira 40 minit perjalanan.

Tidak banyak beza dengan Bukit Cinta, Batu Hitam dan Heroin juga akan menyajikan pemandangan Laut Sulu.

SEKITAR pendakian di Bukit Kiyawan yang terdiri daripada susunan bongkah batu.
SEKITAR pendakian di Bukit Kiyawan yang terdiri daripada susunan bongkah batu.

Namun, sepanjang 40 minit perjalanan, kita disajikan dengan pokok hutan yang besar dan longgokan batu yang pastinya mengambil masa puluhan atau ratusan tahun terbentuk.

Bersebelah dengan Bukit Heroin, anda boleh meneruskan perjalanan ke Bukit King Kong dan Kiyawan.

Bukit Kiyawan atau juga dikenali dengan Bukit Jamur membawa maksud buluh kuning yang mana menunjukkan kewujudan tumbuhan berkenaan di puncak bukit.

Perjalanan mengambil masa hampir dua jam, menunjukkan laluan denai yang panjang, namun berbaloi.

Setiap kali melalui kawasan ini, penulis sentiasa merasakan sedang berjalan di muzium artifak batu raksasa.

LALUAN bongkah batu yang mencabar.
LALUAN bongkah batu yang mencabar.

Percaya atau tidak, kita akan melalui di bawah susunan batu raksasa dipenuhi juntaian akar kayu dan lumut.

Usahkan kereta, treler pun boleh disembunyikan di dalamnya.

Jika bernasib baik, anda akan merasai sendiri pengalaman mendaki di celah air terjun yang terbentuk setiap kali hujan lebat berlaku.

Bagaimanapun, tarikan utama di Bukit Kiyawan ini adalah sejarahnya kerana dipercayai menjadi lokasi persembunyian tentera Jepun suatu ketika dulu.

MENYAJIKAN pemandangan Laut Sulu.
MENYAJIKAN pemandangan Laut Sulu.

Malah, masih terdapat serpihan seperti pasu dipercayai bahan tinggalan sejarah di sini. Jika mahu lebih mencabar, anda boleh meneruskan perjalanan ke kampung bersebelahan Tinagat, Kinabutan dan Membelua kerana di sana mempunyai deretan bukit seperti Akar, Hero, Lipan, Pancang, Membelua, 38 dan banyak lagi yang tidak kurang hebatnya.

Justeru, tidak keterlaluan kiranya penulis menggelarkan Kampung Batu Payung ini sebagai syurga pendakian bagi penduduk di daerah ini, kerana banyak pilihan dan percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 2:22 PM