PEMANDANGAN indah, unik boleh disaksikan ketika berada di puncak Bukit Merah.FOTO Roselan Ab Malek
PEMANDANGAN indah, unik boleh disaksikan ketika berada di puncak Bukit Merah.FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


SESIAPA saja yang mendaki Bukit Merah, di Felda Padang Piol, Jerantut, Pahang pasti melalui pengalaman luar biasa sebaik tiba di puncaknya apabila menyaksikan pemandangan indah bagaikan berada di luar negara.

Pendaki akan terpukau dengan suasana unik di situ apabila melihat kebanyakan pokoknya memiliki batang berwarna kemerahan. Malah daunnya yang berguguran turut berwarna merah bak hamparan permaidani.

Disebabkan keunikan itulah bukit ini yang sebelumnya dikenali sebagai Bukit Buluh dan ada juga menyebut Red Forest bagi sesetengah pendaki.

Bukit yang dikatakan berketinggian 371 meter dari paras laut kini cukup popular dalam kalangan pendaki tempatan dan juga dari luar Jerantut selain mampu menjadi produk pelancongan baharu berasaskan alam semula jadi.

Bagi peminat sukan ekstrem mendaki, Bukit Merah bukanlah sesuatu yang agak sukar untuk ditawan.

SUASANA indah di puncak Bukit Merah kerana pokok yang berwarna merah. FOTO Roselan Ab Malek
SUASANA indah di puncak Bukit Merah kerana pokok yang berwarna merah. FOTO Roselan Ab Malek

Seorang pendaki, Sabri Abdullah, dari Kuala Tahan berkata, keunikan Bukit Merah kerana di puncaknya terdapat banyak pokok kelat gelam atau nama saintifiknya Eugenia cerina dari famili Myrtaceae yang begitu unik.

"Batang pokok, daun dan akarnya berwarna merah dan hamparan daun kering pula turut berwarna merah seperti permaidani dan pemandangannya sungguh indah seolah-olah berada di alam fantasi.

"Keunikannya itu tidak terdapat di tempat lain dan akan menjadi tarikan baharu kepada pencinta alam semula jadi.

"Saya harap pengunjung dapat menjaga keindahan khazanah alam ini dan terus dipelihara untuk tatapan generasi akan datang," katanya.

Katanya pendakian bukit ini sesuai untuk semua peringkat umur dan boleh dijadikan aktiviti kekeluargaan kerana hanya 1.6 kilometer dan mengambil masa 40 minit hingga satu jam sahaja untuk sampai ke puncak.

Rakannya Roslan Abdul Kassim berkata, pada awal perjalanan pendaki perlu melalui kawasan ladang kelapa sawit sehingga menemui satu kawasan laluan di bawah sebuah pencawang.

BUKIT merah setinggi 371 meter. FOTO Roselan Ab Malek
BUKIT merah setinggi 371 meter. FOTO Roselan Ab Malek

"Kemudian pendaki akan mula meninggalkan kawasan terbabit dan memasuki kawasan hutan. Ketika ini, bagi yang tidak biasa mendaki akan mula terasa lelah. Sebelum sampai ke kawasan berbuluh.

"Semakin mendaki, semakin menarik pemandangan sekitar hutan itu dapat dilihat sehinggalah berada di kawasan dinamakan sebagai Puncak Bukit Merah," katanya.

Menurut Roslan, keindahan kawasan terbabit terlalu sukar untuk digambar dengan kata-kata melainkan pengunjung mendaki dan menikmatinya sendiri.

"Bayangkan bagaimana kawasan hutan berwarna merah boleh berada bersebelahan hutan berwarna hijau. Ia memang sesuatu yang menakjubkan.

"Saya harap keindahan yang terdapat di kawasan Bukit Merah ini terus terpelihara dan dilindungi dari sebarang kemusnahan supaya dapat dinikmati pencinta alam sekitar dan generasi seterusnya.

"Bagaimanapun, saya harap pendaki tidak memanjat pokok-pokok berkenaan bagi mengelakkan kejadian buruk dan juga bagi memelihara permukaan kulit pokok yg berwana merah itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 6:15 AM