MERCU Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru.
MERCU Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru.
Nurul Husna Mahmud


REKA bentuk luaran Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato' Onn, Johor Bahru, Johor berorientasikan seni bina Masjid Sultan Ahmed di Istanbul, Turki membuatkan ia antara mercu bangunan paling menonjol di bandar berkenaan.

Seni bina masjid di Turki selalunya menampilkan rekaan satu kubah besar dikelilingi kubah kecil dan di Masjid Sultan Iskandar ada empat menara azan dengan setiap satunya dibina dengan berketinggian 110 meter.

Tidak hanya mengambil sepenuhnya idea rekaan masjid dari luar negara, terdapat elemen Nusantara dimuatkan dalam seni bina masjid terbabit.

Disebabkan seni bina unik itu menjadikan ia mercu tanda utama bagi mana-mana kenderaan atau individu yang mula masuk ke bandar baharu terbabit.

Pesona dimiliki masjid terbabit bukan sahaja menjadikan ia masyhur dalam kalangan kariah setempat, malah pelancong luar yang bukan Islam juga tidak terkecuali mengagumi keindahan struktur rumah ibadah itu.

Rata-rata pelancong yang datang akan menelek dari luar pagar dan merakam foto Masjid Sultan Iskandar.

Melihat senario itu, pihak pengurusan masjid terbabit, Wakaf An Nur Corporation mengambil pendekatan dengan menjadikan masjid terbabit sebagai masjid pelancongan.

Menurut Eksekutif Masjid Pelancongan Wakaf An-Nur Corporation Berhad Muhammad Ridhuan Tan Abdullah, masjid terbabit yang dirasmikan Tengku Mahkota Johor pada 8 April 2016 dibangunkan bukan sekadar ruang ibadah dan pengajian agama semata-mata, malah dimanfaatkan komuniti.

PENERANGAN oleh Muhammad Ridhuan Tan cara mengenakan ihram.
PENERANGAN oleh Muhammad Ridhuan Tan cara mengenakan ihram.

PELANCONG asing mengenakan persalinan sesuai untuk menjelajah sekitar masjid.
PELANCONG asing mengenakan persalinan sesuai untuk menjelajah sekitar masjid.

"Mulanya tercetusnya idea untuk jadikan Masjid Sultan Iskandar ini sebagai masjid pelancongan apabila melihat masjid ini mendapat perhatian pelbagai golongan termasuk pelancong asing.

"Memang pada mulanya mereka hanya bergambar dari luar, jadi pengurusan masjid terserempak dan mempelawa mereka

masuk selain diberi penerangan mengenai masjid itu serta Islam.

"Lihat impak positif, jadi pengurusan sepakat naik taraf fasiliti masjid dengan mewujudkan pusat informasi atau Islamic Infomation Center (IIC) termasuk ruang teater bagi membantu meningkatkan kefahaman pengunjung mengenai Islam," katanya.

Muhammad Ridhuan Tan menjelaskan, bagi memperkemaskan lagi tarikan masjid berkenaan, pihaknya pernah mengadakan program menyantuni masyarakat bukan Islam pada 2019 bagi memberi kefahaman sebenar mengenai Islam.

"Pada Januari 2019 kami mula terima kehadiran pengunjung dengan kemudahan seperti galeri dan melawat sekitar masjid dalam kumpulan kecil.

"Kami turut melatih 149 sukarelawan untuk menjadi pemandu pelancong masjid dan mereka ini akan bertugas secara bergilir-gilir.

"Urutan itenari lawatan biasanya mereka ini akan dibawa melawat terlebih dahulu sebelum dibawa ke IIC," katanya.

Menceritakan kemudahan di pusat informasi Islam, kata Muhammad Ridhuan Tan, terdapat beberapa bahagian termasuk galeri dan ruang teater.

BILIK teater untuk pengunjung yang selesa.
BILIK teater untuk pengunjung yang selesa.

PAMERAN terdapat dalam galeri.
PAMERAN terdapat dalam galeri.

"Pada galeri terdapat pameran mengenai pengenalan Islam seperti Rukun Iman, Rukun Islam dan Ihsan, diikuti pameran artifak al-Quran dari Resam Uthman sehinggalah kepada mushaf pertama di Malaysia ada dipamerkan.

"Dalam galeri ini terdapat juga hologram bagi kefahaman mengenai struktur Kaabah daripada pelbagai sudut dalam dan luar boleh dinikmati pengunjung," katanya.

Paling akhir ialah ruang teater yang mana memaparkan perkaitan Islam dan teori sains sebagai wadah boleh dikaitkan dan relevan dengan masa kini.

Kata Muhammad Ridhuan Tan, tidak hanya melawat, pengunjung dapat merasai sendiri pengalaman mengenakan ihram dan merasai suasana berpuasa seperti pernah disertai 350 pengunjung bukan Islam pada Ramadan 2019.

"Kami pernah anjurkan juga program sehari bersama masyarakat bukan Islam yang mana pelancong luar seperti Korea, Jepun, Thailand dan ada juga pelancong tempatan merasai suasana berpuasa.

"Mereka rasa pengalaman membuat bubur lambuk dan mengagihkan kepada orang ramai selain berbuka secara makan dalam dulang," katanya.

Menariknya status masjid pelancongan dinikmati Masjid Sultan Iskandar itu turut mendapat pengiktirafan Malaysia Tourism Quality Anssurance (MyTQA) oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) selepas Johor Premium Outlet.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 6:50 AM