POKOK di tebing sungai seolah-olah menyambut kehadiran pengunjung ke sini.
POKOK di tebing sungai seolah-olah menyambut kehadiran pengunjung ke sini.
Najib Alias

Terengganu memang terkenal dengan kecantikan pulaunya. Jadi, tidak hairanlah negeri ini menerima kunjungan pelancong di dalam dan luar negara.

Namun ramai tidak mengetahui negeri itujuga memiliki sungai yang cantik dan bersih.

Antara sungai yang menarik adalah Sungai Berang yang terletak di daerah Hulu Terengganu.

Sungai ini sangat menarik sehingga digelar sebagai 'Little Amazon of Terengganu' kerana keunikan alam semula jadi

Selain itu, anda akan dihidangkan keindahan flora dan fauna termasuk pelbagai spesis burung, monyet dan memerang.

Pokok di sepanjang sungai ini turut memiliki formasi akar yang unik dan terdapat satu kawasan di mana kanopi pokok bagaikan menutupi sungai.

Salah satu cara untuk menikmati keindahan Sungai Berang dengan lebih dekat adalah dengan berkayak menyusuri sungai ini.

Bagi merasai pengalaman di lokasi yang dikatakan seperti Amazon ini, pada Februari lalu penulis bersama seorang rakan mengambil kesempatan berkayak menyusuri Sungai Berang membabitkan perjalanan sejauh 40 kilometer (km) selama dua hari satu malam.

Perjalanan bermula di Air Terjun Belukar Bukit, sebuah air terjun yang terkenal di Terengganu sebagai kawasan perkelahan keluarga.

PENULIS (kiri) bersama rakan mengembara ke Little 'Amazon of Terengganu.'
PENULIS (kiri) bersama rakan mengembara ke Little 'Amazon of Terengganu.'

Airnya jernih kehijauan memukau mata yang memandang membuatkan penulis dan rakan tidak sabar untuk 'menyelongkar' lebih dalam keindahan sungai ini.

Pada hari pertama kami memulakan perjalanan pada jam 2 petang menyasarkan untuk berkayak sejauh 10 km.

Sepanjang perjalanan kami dihidangkan dengan pemandangan yang indah. Kadang kala kami boleh melihat sekumpulan ikan berenang bersebelahan kayak.

Selepas tiga jam berkayak, kami berhenti untuk bermalam di Pengkalan Rengas yang terletak di tebing sungai.

BERKAYAK untuk nikmati keindahan alam.
BERKAYAK untuk nikmati keindahan alam.

Kawasan ini sememangnya menjadi tempat tumpuan penduduk setempat berkelah dan kami jadikan sebagai tempat berkhemah untuk mengumpul tenaga sebelum memulakan perjalanan yang lebih jauh pada keesokkan harinya.

Malam itu kami tidur dengan nyenyaknya sambil ditemani bunyi unggas dan deruan sungai.

Perjalanan hari kedua lebih panjang lebih kurang 30km dan selepas sarapan kami mula berkayak seawal jam 10 pagi.

Walaupun agak jauh, selain dapat menikmati keindahan alam, kami dapat pelbagai pengalaman menarik sepanjang perjalanan.

Apa yang menarik di Sungai Berang ini ialah flora dan fauna yang masih terpelihara menjadikan aktiviti berkayak kami seolah-olah seperti dalam penggambaran National Geographic.

KEUNIKAN formasi akar pokok di tebing sungai.
KEUNIKAN formasi akar pokok di tebing sungai.

Kami dapat melihat pelbagai spesies burung seperti enggang, helang sewah, cecawi dan pekaka.

Lebih menarik, terdapat sepasang burung pekaka yang mengekori kami sehingga tamat berkayak.

Pengalaman melintasi kawanan kerbau yang sedang mandi-manda di sungai melengkapkan lagi 'penggambaran' National Geographic.

Terdapat juga binatang-binatang lain yang menemani kami seperti monyet dan memerang.

Tarikan utama Sungai Berang ini pada penulis adalah terdapat satu kawasan di mana kanopi pokok menutupi sungai.

Kawasan yang redup dengan air yang kehijauan menyebabkan kami leka menikmati keindahan sungai ini.

Kami berhenti di beberapa tempat yang 'instagram worthy' untuk mengambil gambar.

Selepas enam jam pekan Kuala Berang sekitar jam 4 petang selepas lebih kurang enam jam berkayak.

Bagi penulis, berkayak selama dua hari di sepanjang Sungai Berang adalah pengalaman yang tidak dilupakan apabila pengunjung seolah-olah berada di suatu tempat yang lain.

Kepada yang inginkan kelainan dan cabaran tanpa perlu mengeluarkan belanja yang besar, 'Little Amazon of Terengganu' adalah tempat yang sesuai untuk anda.

Bagi yang tidak mempunyai kayak, anda boleh merasai pengalaman berkayak di Sungai Berang dengan mengambil pakej berkayak yang disediakan Kayak Adventure Park di Kampung Gunung.

Biarpun berkayak secara santai, keselamatan sentiasa diutamakan dan anda perlu sentiasa memakai jaket keselamatan untuk elakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Selain aktiviti berkayak anda juga boleh melakukan aktiviti lain seperti berkelah bersama keluarga dan berkhemah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 7:01 AM