RAHINA (dua dari kanan) bergambar kenangan dengan sebahagian daripada pendaki.
RAHINA (dua dari kanan) bergambar kenangan dengan sebahagian daripada pendaki.
Hanifah Nazira Mohamed Hanafiah


SIAPA sangka usianya menjangkau 52 tahun namun tidak pernah menghalang Rahina Abd Ghani untuk bergiat aktif dalam aktiviti riadah terutama pendakian.

Baginya aktiviti itu dapat mengurangkan tekanan kerja selain memupuk gaya hidup sihat untuk diri serta ahli keluarganya.

Selain pendakian, difahamkan dia juga seringkali menyertai kayuhan berbasikal bersama rakan.

Dia yang menetap di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor teruja berkongsi pengalaman ekspedisi mendaki di Bukit Kutu baru-baru ini.

"Bukit Kutu terletak di Kuala Kubu Bharu, berhampiran Kampung Pertak iaitu sebuah perkampungan Orang Asli kira-kira 31 kilometer dari Kuala Lumpur dengan anggaran masa 33 minit pemanduan.

"Malah Bukit Kutu mempunyai ketinggian pada paras 1,053 meter dari aras laut. Pada masa sama ia boleh dianggap setaraf gunung berdasarkan ketinggiannya," katanya.

Sesuatu yang menarik katanya, apabila Bukit Kutu turut mempunyai pelbagai khazanah dan kesan peninggalan sejarah era pemerintahan British pada suatu ketika dahulu.

"Paling menyeronokkan apabila berpeluang mandi-manda di Air Terjun Lata Medang," katanya yang menyertai pendakian itu bersama 39 ahli Rawang Hikers.

Di samping itu, aktiviti berkenaan juga tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Seperti kebiasaan segala persiapan rapi dilakukan. Sebelum pendakian dimulakan, kami bersiap sedia mendengar taklimat keselamatan dan perjalanan yang disampaikan ketua kumpulan dan jurupandu pendakian.

BERSAMA plak ketinggian Bukit Kutu.
BERSAMA plak ketinggian Bukit Kutu.

"Di sebabkan keadaan sekeliling masih gelap gelita dan hanya disinari cahaya rembulan, sebahagian daripada kami menggunakan lampu kepala ('head lamp') saat memulakan pendakian serta koordinat GP yang berperanan mengelakkan kesesatan.

"Sesekali telinga kami menangkap bunyi unggas dan cengkerik. Berada di tengah hutan rimba nyata memberi kesejukan luar biasa hingga ke tulang hitam walaupun memakai baju sejuk," katanya.

Dia mengakui perlu berhati-hati menyusuri trek bertanah merah dalam keadaan licin, becak dan berlumpur disebabkan hujan sehari sebelum mendaki.

MEMERIKSA suhu rakan sebelum pendakian dilakukan.
MEMERIKSA suhu rakan sebelum pendakian dilakukan.

Curam pula masih basah dan lembap. Begitu juga kehadiran pacat yang suka melekat di anggota bahagian kaki tanpa disedari.

"Sekadar ingatan jangan lupa membawa alat penyembur khas untuk membuang pacat dari terus menerus menghisap darah.

"Ia sedikit sebanyak menguji kesabaran dan ketahanan fizikal serta mental. Deria mata dan telinga perlu tajam serta peka keadaan sekeliling. Bimbang seandainya bertembung ancaman binatang yang berbahaya dan buas.

"Dalam tempoh dua jam setengah kami sampai ke Batu Tedung. Mengikut cerita, gelaran Batu Tedung diberikan kerana rupa bentuknya seperti kepala ular tedung dan agak menyeramkan,

" katanya.

PENGUNJUNG mandi manda di sungai dan berkhemah.
PENGUNJUNG mandi manda di sungai dan berkhemah.

Lebih kurang jam 7.30 pagi pendakian diteruskan dengan penuh bersemangat untuk sampai ke puncak Bukit Kutu.

Perasaan sukar digambarkan apabila dapat melihat dengan jelas keindahan panorama alam semula jadi yang bertemankan kepelbagaian flora dan fauna.

Kehadiran awan karpet yang beralun, tiupan angin bayu sejuk dan sang suria mula menampakkan dirinya sedikit demi sedikit.

"Maha Suci Allah! Indahnya alam. Sesi mengambil gambar secara berselfie ataupun video tidak dapat dipisahkan.

"Kami turut bergotong-royong menyediakan juadah istimewa dengan 'membuka dapur.'

"Terasa seronok seperti dapat bermain masak-masak. Sesungguhnya pendakian ini memberi pengalaman berharga dan bermakna buat kami walaupun pada mulanya menempuh pelbagai kesukaran dan halangan tetapi diakhiri dengan 1,001 kemanisan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 6:45 AM