PEMANDANGAN indah di Bario.
PEMANDANGAN indah di Bario.
Hafizah Hassan

Selepas mengambil kira pelbagai faktor, ekspedisi penulis dan rakan untuk mendaki Gunung Murud di Sarawak diteruskan pada cuti sekolah pertengahan penggal pertama lalu meskipun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac lalu mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik.

Penerbangan kami ke Miri pada subuh 14 Mac lalu diteruskan namun sebagai langkah berjaga-jaga, pelitup muka sentiasa dipakai di tempat awam dan cecair sanitasi tangan sentiasa berada di saku.

Bandar Miri ketika itu masih tenang dan pada pagi 16 Mac lalu, kami seramai tujuh orang berlepas dengan pesawat ringan MASwings menuju Ba'kelalan.

Ekspedisi kali ini membabitkan pendakian sehala dari Ba'kelalan ke Bariosejauh 42 kilometer merentas hutan belantara selama empat hari.

Selepas selamat mendarat, kami disambut pemandu arah, Pak Gukang dan kenderaan pacuan empat roda juga sedia menanti.

Selesai urusan pembayaran, menikmati makan tengah hari dan mengemas bagasi, perjalanan kami pun bermula.

Laluan 45 minit pertama melalui jalan tanah merah beralun menuju kem Lepo Bunga.

WAJAH ceria selepas berjaya menakluk puncak Gunung Murud.
WAJAH ceria selepas berjaya menakluk puncak Gunung Murud.

PENULIS di laluan pendakian ke Gunung Murud yang masih terpelihara.
PENULIS di laluan pendakian ke Gunung Murud yang masih terpelihara.

Dari situ, dengan berat purata beg masing-masing sekitar 15 kilogram, kami perlahan-lahan memulakan pendakian.

Dari permulaan denai ke Kem Gereja, kami berhenti sebentar di Jambatan Sukacita dan Batu Linanit.

Jambatan Sukacita dibina masyarakat Kelabit pada 1985 bagi memudahkan perjalanan ke Kem Gereja dan Gunung Murud yang turut dianggap sebagai gunung suci.

Struktur kayu yang sebahagian besarnya sudah reput diganti dengan besi dan di Batu Linanit, pemandangan indah terhampar saujana mata memandang.

Pendakian diteruskan selama tiga hari sebelum Puncak Murud akhirnya ditawan.

Lebih menariknya sepanjang ke puncak Gunung Murud, hutannya belum terusik dan kekal terpelihara.

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah menyeberang paya yang digelar paya anaconda di hujung pendakian.

Kawasan berkenaan luas dan dipenuhi rumput tinggi dengan kedalaman yang tidak dapat dipastikan.

Kami menyeberanginya dengan meniti balak yang terendam separas betis, batangnya tidak kelihatan sebaliknya perlu diraba dengan kaki atau tongkat.

Syukur ke hadrat Ilahi, pada 19 Mac lalu, ekspedisi Gunung Murud berjaya ditamatkan dan kami sampai di perkampungan Pa'lungan iaitu sebuah desa kecil di pedalaman Sarawak.

Kami sempat menumpang membersihkan diri di sebuah inap desa sementara menunggu kenderaan tiba untuk ke Bario.

KEM Gereja yang menjadi tempat persinggahan pendaki ke Gunung Murud.
KEM Gereja yang menjadi tempat persinggahan pendaki ke Gunung Murud.

WAJAH ceria dalam perjalanan pulang dari Bario ke Miri.
WAJAH ceria dalam perjalanan pulang dari Bario ke Miri.

Talian telefon bagaimanapun belum ada dan segala tempahan pengangkutan sepanjang ekspedisi hanya berpegang pada janji seperti zaman dahulu kala.

Mujur kenderaan pacuan empat roda yang ditempah muncul seperti yang dijanjikan dan sebaik sahaja memasuki sempadan Bario, mesej di telefon 'berderu-deru' masuk menggegarkan poket.

Semua itu bagaimanapun tidak dihiraukan kerana kami lebih teruja melihat keindahan Bario yang dikelilingi gunung-ganang.

Sebaik sahaja tiba di inap desa baru kami sedar bahawa sudah dua hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa di seluruh negara dan keluarga masing-masing bimbang kerana sudah empat hari tiada khabar berita.

Kami turut mendapat khabar duka apabila penerbangan dari Miri ke Kuala Lumpur dibatalkan serta-merta. Dek PKP tuan rumah inap desa itu tidak membenarkan kami merayau ke sekitar kampung.

Segala berita terkini kami peroleh daripada tuan rumah sahaja termasuk maklumat penerbangan.

Apapun, kami bertuah kerana pesawat ke Miri berlepas seperti dijadualkan iaitu pada 21 Mac lalu, hari keempat PKP dilaksanakan.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Miri, suasana kelihatan sepi dan kelihatan petugas sedang menampal pita pelekat merah untuk menanda penjarakan fizikal.

Tiket penerbangan baharu segera dibeli iaitu empat hari ke hadapan kerana penerbangan hari berkenaan sudah pun dibatalkan.

Berbekalkan maklumat yang diberikan penduduk setempat, kami kemudian menginap di sebuah hostel bajet sementara menunggu penerbangan pulang.

Empat hari kami berkampung di hostel itu dengan bekalan makanan yang terhad dan ada kalanya terpaksa berkongsi apa yang ada dengan rakan.

Mujur ada kedai makan di kawasan itu yang sanggup menghantar makanan ke hostel setiap hari untuk makan tengah hari dan petang.

Pada 24 Mac lalu iaitu selepas genap seminggu PKP dilaksanakan, kami akhirnya dapat pulang ke Semenanjung dan perlu menjalani kuarantin sendiri selama 14 hari.

Pengalaman pendakian kali ini meninggalkan kenangan yang tidak akan dapat dilupakan, ia adalah pengalaman berharga untuk disampaikan kepada anak cucu kelak.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 6:48 AM