RESTORAN Capati Arau mesti dikunjungi peminat roti.
RESTORAN Capati Arau mesti dikunjungi peminat roti.
Nurul Husna Mahmud

DI sebalik negerinya paling kecil dalam Malaysia, Perlis memiliki limpahan lokasi boleh dikunjungi orang ramai sebagai tempat makan ketika bercuti.

Sebut saja tarikan juadah mesti dicuba tentunya pulut mangga kerana negeri ini terkenal dengan hasil buah mangga harum manis selain mempunyai tarikan sajian eksotik seperti belangkas.

Namun sebelum pergi ke tarikan utama berkenaan, rasanya boleh rancang untuk singgah terlebih dahulu di tiga lokasi makan disarankan penduduk tempatan setiap kali pelancong turun ke negeri itu.

1. Restoran Anjung Keli

Dari tinjauan penulis mengenai destinasi makan popular daripada rakan Facebook yang tinggal di sebelah utara, kebanyakan menyarankan supaya singgah ke restoran yang terletak Medan Sri Pulai, Jalan Behor Pulai, Kangar, itu.

Meskipun nama restoran ini mengambil nama ikan tetapi pilihan terdapat dalam restoran terbabit menampilkan puluhan pilihan hidangan bakar daripada ikan sehinggalah ayam, daging dan organ seperti perut serta paru.

Destinasi makan ini memberi kepuasan kepada peminat hidangan kampung apabila pemiliknya menawarkan puluhan ulaman bersama pilihan pelbagai kerabu selain lebih 10 jenis sambal dan pencicah.

Ia dibuka seawal jam 10 pagi sehingga lewat 4.30 petang. Disarankan untuk datang awal bagi mengelak terlepas peluang menikmati sajian ikan bakar kegemaran anda.

Selain cita rasa masakan memenuhi 'lidah' tempatan, pemandangan sekitar restoran juga mendamaikan kerana ia terletak di kawasan sawah padi memberi panorama menenangkan.

BURGER bertingkat antara sajian popular.
BURGER bertingkat antara sajian popular.

2. Ana Burger D' Cafe

Kalau anda seorang 'kaki' kafe hipster, destinasi ini antara yang sesuai memenuhi selera besar kerana terkenal dengan juadah 'burger' bertingkat-tingkat.

Lihat sahaja visual pernah dikongsi pengunjung kafe itu sudah membuatkan anda sanggup memandu hingga ke utara bagi menikmati sajian berkenaan.

Melengkapkan lagi pilihan sajian itu apabila memesan susu kocak dan berasakan perjalanan lebih enam jam itu dari ibu kota satu yang berbaloi. Namun perlu semak hari dibuka sebelum merancang perjalanan ke restoran itu yang terletak di Jalan Raja Syed Saffi, Kampung Jarak, Kangar kerana ia ditutup pada Rabu. Ia dibuka bermula jam 6 petang hingga 12 tengah malam setiap hari Khamis hingga Selasa.

VISUAL minuman di kafe hipster di Perlis.
VISUAL minuman di kafe hipster di Perlis.

3. Capati Arau,

Kalau sudah ke utara, sajian tidak boleh dilupakan ialah hidangan kandar mahupun roti di restoran mamak. Saranan penulis kalau sudah sampai ke Arau, cuba 'pekena' capati dari warung No 28, Jalan 4, Kompleks Tok Arau, 02600 Arau, Perlis sebagai pilihan sarapan.

Capati yang lembut dipadan dengan kuah kari cukup lemak asam dan garamnya memberikan pengalaman bersarapan di Perlis sesuatu yang meninggalkan kenangan manis.

Selain capati, restoran ini turut menyajikan sajian roti dan masakan goreng lain. Sebelah petang pula di restoran sama turut menyediakan hidangan ala carte Thai cukup dikenali dalam kalangan penduduk lokal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 6:30 AM