PERLU persediaan rapi.
PERLU persediaan rapi.
Muhamaad Razis Ismail

BERKHEMAH antara aktiviti rekreasi pilihan kebanyakan daripada kita yang inginkan kelainan dan keluar dari zon selesa.

Biasanya aktiviti berkhemah ini dijalankan bersama keluarga atau rakan yang berkongsi minat sama.

Bagaimanapun, aktiviti perkhemahan secara solo masih kurang popular di negara ini dan mungkin kedengaran janggal dalam kalangan peminat rekreasi.

Pengasas Frugal Outdoors & Camping, Shamsul Nizam Ahmad Safian berkata, terdapat pelbagai faktor seperti takut, mistik dan keselamatan yang menyebabkan aktiviti ini kurang menarik minat.

Katanya, aktiviti ini sangat popular di negara lain termasuk Indonesia dan Eropah.

"Saya mula aktif berkhemah secara solo sejak lima tahun lalu dengan memilih lokasi yang jarang dikunjungi seperti pinggir hutan di pedalaman kampung, di tepi sungai, air terjun dan hutan pantai.

"Biasanya, saya akan buat rakaman untuk saluran YouTube, Frugal Outdoors & Camping bagi berkongsi pengalaman berkhemah secara solo.

"Kadangkala saya akan lakukan aktiviti bersama rakan yang berkongsi minat sama," katanya.

LATIH diri untuk berdikari.
LATIH diri untuk berdikari.

Menurutnya, dia memilih untuk terbabit dengan aktiviti itu sebagai salah satu untuk menikmati keindahan alam secara sendiri tanpa gangguan.

"Selain itu, saya dapat mencari cabaran baru dan melatih diri untuk berdikari, berfikir dan membuat keputusan secara sendiri tanpa bergantung orang lain.

"Aktiviti juga lebih mudah dirancang kerana segala tidak membabitkan orang lain," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, pada masa sama, ini adalah aktiviti terbaik menguji kemahiran hidup seperti situasi sebenar tanpa bantuan orang lain.

"Rakaman video dan audio bunyian hutan juga boleh dilakukan tanpa gangguan suara orang atau bunyi bising," katanya.

Tambahnya, perkhemahan secara solo antara cabang aktiviti rekreasi berisiko, tapi boleh dilakukan dengan mengambil kira langkah keselamatan dan ilmu yang secukupnya.

Beliau turut berkongsi panduan untuk menjalankan aktiviti berkhemah secara solo.

1) Persiapkan diri dengan ilmu hutan dan asas ikhtiar hidup

Kemahiran pandu arah, bantuan cemas, menghidupkan api, memasak di hutan, ilmu memancing dan tumbuhan hutan yang boleh dimakan sekiranya sesat.

Sangat berguna jika berlaku kemalangan ketika melakukan aktiviti itu.

PASTIKAN lokasi berhampiran dengan penempatan penduduk.
PASTIKAN lokasi berhampiran dengan penempatan penduduk.

2) Bawa peralatan keselamatan

Alat komunikasi, radio, Sistem Pengesanan Global (GPS), aplikasi pendakian di telefon pintar, ubat-ubatan, pisau atau parang.

Amat membantu dalam perjalanan, dapat berkomunikasi dengan orang di luar jika berlaku sebarang insiden.

3) Pilih lokasi bersesuaian

Tidak jauh dari penempatan penduduk contohnya pinggir hutan sahaja bukan tiga hingga empat jam perjalanan ke dalam hutan.

Bagi memudahkan bantuan sampai dengan cepat.

4) Rancang perjalanan anda

Buat sedikit kajian dan dapatkan maklumat mencukupi mengenai lokasi yang ingin dituju termasuk jalan masuk, jarak lokasi perkhemahan dengan kenderaan, bentuk muka bumi dan cuaca.

Ini penting, supaya dapat sesuaikan diri dengan cepat dan mempunyai masa mencukupi untuk siapkan tugasan sebelum gelap.

MAKANAN yang disediakan sendiri.
MAKANAN yang disediakan sendiri.

5) Kongsikan maklumat aktiviti perkhemahan dengan individu terdekat

Maklumat seperti lokasi, tarikh dan masa masuk dan keluar perlu dikongsikan dengan individu yang rapat dengan anda.

Jika anda tidak menghubungi mereka lebih dari tarikh dan masa anda sepatutnya keluar sekurang-kurangnya mereka mengetahui anda berdepan masalah.

6) Bawa kelengkapan penting sahaja

Perlu bawa yang penting sahaja kerana berat berlebihan melambatkan pergerakan dan menghabiskan tenaga.

Beg yang tidak begitu berat atau besar memudahkan pergerakan dan mengurangkan risiko kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 6:30 AM