LATA Berkoh. FOTO Daraizati Debon
LATA Berkoh. FOTO Daraizati Debon
Daraizati Debon

MENGIMBAU pengalaman sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ‘menerjah’ Taman Negara Kuala Tahan, Pahang sesuatu yang tidak mengecewakan.

Penulis bersama tiga rakan memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jerantut sebelum berhenti di Masjid Tengku Mahkota Abdullah untuk menyertai kumpulan yang terdiri daripada 17 orang ke Taman Negara Kuala Tahan.

Sepanjang tiga hari dua malam di sana, penulis memilih untuk berkhemah untuk lebih menikmati keindahan alam semula jadi di sini.

Perjalanan dari masjid ke Jeti Kuala Tahan mengambil masa 45 minit kerana jalan yang kecil sehingga terlepas beberapa simpang selain berselisih banyak lori balak.

Di Jeti Kuala Tahan, kami meletakkan kereta di kawasan parkir disediakan. Kemudian kami menaiki bot untuk menyeberangi sungai dengan bayaran RM1 membabitkan perjalanan selama dua minit.

Setibanya di sana kami diberi penerangan dan diminta membina khemah di kawasan yang disukai.

Kami memilih untuk berkhemah di tapak berhampiran bilik air dan dapur. Kami diingatkan tidak meletakkan barang di luar khemah kerana terdapat banyak haiwan liar berkeliaran di kawasan itu terutama pada sebelah malam.

Tapak perkhemahan turut dilengkapi kemudahan asas seperti bilik air, dapur untuk memasak (perlu disewa) dan kawasannya diterangi dengan lampu malap.

BERGAMBAR di mercu tanda taman negara. FOTO Daraizati Debon
BERGAMBAR di mercu tanda taman negara. FOTO Daraizati Debon

PENULIS (hadapan) dalam perjalanan ke Lata Berkoh. FOTO Daraizati Debon
PENULIS (hadapan) dalam perjalanan ke Lata Berkoh. FOTO Daraizati Debon

Selepas selesai membina khemah, kami dibawa mengunjungi Lata Simpon untuk mandi-manda. Jangan risau meredah denai di sini kerana hutan dijaga dengan baik dan setiap denai disediakan pelantar pejalan kaki.

Pada sebelah petang, kami meluangkan masa menjelajah sebahagian kawasan Mutiara Resort. Rupa-rupanya di sini terdapat puluhan resort atau chalet yang menarik hati yang rata-ratanya dihuni pelancong asing.

Apabila malam tiba, kami dibawa ke Bumbun Tahan untuk ‘mengintai’ haiwan liar seperti rusa, tapir, landak menjilat garam galian di jenut.

Di Taman Negara ini terdapat beberapa bumbun antaranya Bumbun Tabing, Bumbun Cagar Anjing, Bumbun Blau, Bumbun Yong dan Bumbun Kumbang. Bumbun Tahan terletak hanya 500 meter dari tapak perkhemahan kami dan mengambil masa lebih kurang 30 minit berjalan.

Bagaimanapun, kami hanya dapat melihat rusa pada malam kedua. Rupa-rupanya jika rusa mahu memunculkan diri, ia akan mengeluarkan bunyi seakan-akan mengaum untuk memberitahu kehadirannya.

Jika bernasib baik, anda akan dapat melihat kancil berlari-lari di pekarangan tapak perkhemahan. Sesekali tapak perkhemahan kami ‘dikunjungi’ babi hutan dan salah satu petua menghalaunya ialah dengan menyimbah air.

MENAIKI titian kanopi terpanjang di dunia. FOTO Daraizati Debon
MENAIKI titian kanopi terpanjang di dunia. FOTO Daraizati Debon

Keesokan hari, kami dibawa menaiki titian kanopi terpanjang di dunia (550 meter) pada ketinggian 45 meter dari tanah.

Disebabkan ketika itu cuti Tahun Baharu Cina, keadaan sedikit sesak dan kami perlu menunggu giliran hampir satu jam kerana hanya seorang dibenarkan menaiki titian kanopi ini pada satu-satu masa.

Titian kanopi ini terletak lebih kurang 700 meter dari tapak perkhemahan kami. Dan kiri kanan kami disajikan dengan flora dan fauna yang berusia ratusan tahun.

Disini kami mengenali Liana iaitu sejenis tumbuhan yang memanjat pokok lain untuk mendapatkan cahaya matahari.

Kami turut dibawa ke Lata Berkoh dengan menaiki bot yang mampu memuatkan enam orang termasuk pengendali dan pengemudi bot. Lebih menarik, kami perlu melalui beberapa jeram yang deras airnya dan kadangkala pengemudi bot terpaksa turun untuk menolak bot kerana melalui kawasan yang cetek.

Dalam perjalanan, kami dibawa singgah ke santuari kelah di Lubuk Tenor dan di sini anda boleh memberi ikan makan selain melihat pokok tualang terbesar yang direkodkan di Taman Negara.

Lata Berkoh mempunyai pemandangan yang cantik dan sesuai untuk bermandi-manda dan berkelah.

Kesimpulannya jika anda pengemar flora dan fauna, Taman Negara Kuala Tahan adalah tempat yang sangat sesuai kerana pelbagai aktiviti boleh dijalankan di samping menikmati keindahan alam semula jadi di sini.

BUMBUN Tahan. FOTO Daraizati Debon
BUMBUN Tahan. FOTO Daraizati Debon

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 6:30 AM