TARIKAN pengunjung luar negara. FOTO Ihsan Swiss Cottage & Visit Malaysia
TARIKAN pengunjung luar negara. FOTO Ihsan Swiss Cottage & Visit Malaysia
Nurul Husna Mahmud


SEBUT sahaja Pulau Tioman, bayangan pastinya pasir pantai yang berwarna putih selain lautnya biru kehijauan.

Secara semula jadi naluri kebanyakan orang memikirkan aktiviti skuba, snorkeling mahupun ‘bersidai’ di tepi pantai untuk menikmati pemandangan senja apabila berada di destinasi ini.

Sedangkan pulau yang terletak 32 batu nautika dari daratan tanah besar itu turut menawarkan pengembaraan hutan hujan tropika tidak kurang menariknya termasuk port menyaksikan flora fauna yang unik.

Eksplorasi terbaru mesti dicuba pengunjung selepas tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu pengalaman merentas hutan antara denai menghubungkan Kampung Tekek dan Kampung Juara.

Kampung Tekek yang terletak di bahagian paling utara pulau itu adalah nadi kepada semua aktiviti membabitkan kegiatan ekonomi di destinasi terbabit.

Tidak sukar untuk memahami senario itu apabila kampung paling besar di Pulau Tioman dilengkapi kemudahan infrastruktur seperti bank, klinik, kompleks jeti, pasar kecil tidak terkecuali lapangan terbang.

PEMANDU pelancong tempatan mahir mengenai flora dan fauna terdapat di hutan berkenaan. FOTO Ihsan Swiss Cottage & Visit Malaysia
PEMANDU pelancong tempatan mahir mengenai flora dan fauna terdapat di hutan berkenaan. FOTO Ihsan Swiss Cottage & Visit Malaysia

LUBUK Teja antara lokasi menarik boleh dikunjungi. FOTO Ihsan Swiss Cottage & Visit Malaysia
LUBUK Teja antara lokasi menarik boleh dikunjungi. FOTO Ihsan Swiss Cottage & Visit Malaysia

Berbalik kepada aktiviti merentas desa di kampung Tekek, laluan denai boleh ditelusuri pengunjung ke Kampung Juara.

Anda boleh menyewa kenderaan pacuan empat roda tetapi untuk menikmati pemandangan kehijauan sekitar pulau sebaiknya dengan merentas hutan.

Bagi mengelak masalah bagi mereka yang pertama kali melalui laluan belukar itu sebaiknya gunakan perkhidmatan pemandu pelancong tempatan kerana mereka lebih arif.

Pemandu pelancong tempatan yang hanya mahu dikenali dengan panggilan Pak Lan berkata, hutan itu menjadi habitat pelbagai spesies cicak gergasi.

Atas faktor itu, ia menjadi tarikan pengunjung seluruh dunia untuk bergambar dengan spesies cicak bukan sahaja memiliki warna cantik malah boleh terbang ke pokok-pokok.

Jika bernasib baik spesies haiwan lain yang boleh ditemui ialah tupai gergasi, monyet ekor panjang dan pelanduk selain spesies bunga terbesar rafflesia.

Perjalanan merentas hutan biasanya memakan masa setengah hari bagi perjalanan sekitar empat kilometer termasuk persinggahan ke destinasi air terjun Kampung Juara untuk bermandi-manda.

Persiapan bagi menyertai aktiviti terbabit perlu mengenakan pakaian sesuai lengkap berkasut. Bekalan lain ialah baju persalinan untuk mandi selain air dan kudapan untuk mengalas perut sepanjang perjalanan.

PEMANDANGAN pulau dilitupi hutan hujan tropika. FOTO Ihsan Swiss Cottage & Visit Malaysia
PEMANDANGAN pulau dilitupi hutan hujan tropika. FOTO Ihsan Swiss Cottage & Visit Malaysia

REDUP kawasan hutan kerana adanya pokok besar menjadi kanopi. FOTO Ihsan Swiss Cottage & Visit Malaysia
REDUP kawasan hutan kerana adanya pokok besar menjadi kanopi. FOTO Ihsan Swiss Cottage & Visit Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 7:00 AM