AIR Terjun Jerangkang yang menjadi pilihan peneroka aktiviti tali tinggi.
AIR Terjun Jerangkang yang menjadi pilihan peneroka aktiviti tali tinggi.
Hafiz Ithnin

SIAPA tidak gusar apabila wabak penyakit yang masih tiada penawarnya menjadi topik perbualan utama di semua media tempatan dan antarabangsa. Ia juga menjadi satu mimpi ngeri bagi mereka yang sudah bercadang untuk mengembara ke luar negara memandangkan soal kesihatan pastinya menjadi perkara perlu diutamakan.

Risiko mendapatkan virus yang dikenali sebagai Koronavirus 2019-nCoV mudah merebak terutama apabila berada di tempat sesak dan mempunyai ramai pelancong asing yang tidak diketahui sejarah perjalanan mereka sebelum mengunjungi negara ini.

Bagaimanapun, umum sudah tahu bahawa tahun ini Malaysia aktif berkempen menganjurkan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Apa kata, jika anda sudah mengambil cuti panjang sebenarnya boleh sahaja mengembara di dalam negara yang mempunyai banyak lokasi menarik untuk dikunjungi.

Bagi yang tidak pernah melakukan aktiviti lasak seperti mendaki, di Malaysia terdapat pelbagai jenis gunung dan bukit yang menawarkan pemandangan menarik.

BUKIT Kodiang di Kedah yang menawarkan panorama pendakian yang menarik.
BUKIT Kodiang di Kedah yang menawarkan panorama pendakian yang menarik.

Antaranya Gunung Kinabalu di Sabah, Bukit Kodiang atau dikenali sebagai Mok Cun di Kedah, Bukit Broga di Selangor, Gunung Jerai di Kedah, Bukit Kutu di Selangor atau Gunung Angsi di Negeri Sembilan.

Malah, anda juga boleh mencuba aktiviti lasak lain seperti mendaki tembok batu di Batu Caves, Selangor kerana destinasi itu cukup terkenal untuk pendakian ekstrim.

Selain itu, Gua Ikan di Dabong, Kelantan juga mempunyai aktiviti menerokai gua yang menarik dan mendaki tembok batu. Paling utama mendapatkan tunjuk ajar daripada mereka yang pakar dalam aktiviti itu.

Di Malaysia juga ada pelbagai lokasi menerokai laluan denai yang menarik terutama untuk mencari destinasi air terjun seperti di Air Terjun Ulu Gertum, Gopeng, Jeram Berungut di Jelebu dan Air Terjun Jerangkang di Maran.

Destinasi mencari sungai dan air terjun itu juga mempunyai daya tarikan yang lain iaitu anda boleh menikmati aktiviti tali tinggi seperti ‘abseiling’ dan ‘flying fox’.

Tidak ketinggalan, negara ini juga kaya dengan destinasi pelancongan di pulau antaranya Pulau Tioman di Pahang, Pulau Redang di Terengganu dan Pulau Sipadan di Sabah.

Pulau-pulau berkenaan bukan sahaja sesuai bagi mereka yang ingin berbulan madu sambil mencari ketenangan jiwa, tetapi ia juga menjadi destinasi si kaki penyelam skuba kerana pemandangan di dalam marin yang cukup menarik.

AKTIVITI tali tinggi boleh menjadi pilihan bagi mereka yang gemarkan pelancongan lasak di Malaysia.
AKTIVITI tali tinggi boleh menjadi pilihan bagi mereka yang gemarkan pelancongan lasak di Malaysia.

Bercakap mengenai mencari ketenangan, sebenarnya di negara ini juga terdapat destinasi pelancongan ala kampung yang dikenali sebagai ‘kampung stay.’ Menariknya, dalam aktiviti ini anda dapat menikmati kehidupan gaya kampung bersama penduduk setempat.

Antara destinasi yang pernah dilawati penulis ialah Kampung Raga di Yan Kedah dan Kampung Sungai Buloh di Jelebu. Bercuti dalam konsep ‘kampung stay’ ini anda dapat menginap kediaman penduduk setempat dan melakukan pelbagai aktiviti yang dianjurkan mereka.

Ia juga sesuai untuk membawa kanak-kanak yang tidak pernah merasai pengalaman berada di kampung terutama mengenali aktiviti ekonomi masyarakat setempat seperti pesawah atau pekebun.

Sebenarnya terdapat pelbagai lagi destinasi pelancongan eko dan ala kampung yang boleh dilakukan di dalam negara yang sebenarnya kita juga membantu meningkatkan pendapatan domestik.

Dalam masa sama, kita juga perlu menjaga kesihatan dan memastikan tidak mengunjungi kawasan sesak dan lebih penting mengamalkan cara hidup sihat serta melakukan langkah-langkah perlindungan daripada penyakit seperti memakai penutup mulut dan hidung.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 6:00 AM