MERAKAM gambar menarik aktiviti masyarakat Bajau berkuda mengendalikan kuda. FOTO Hafiz Ithnin
MERAKAM gambar menarik aktiviti masyarakat Bajau berkuda mengendalikan kuda. FOTO Hafiz Ithnin
Hafiz Ithnin

LAZIMNYA apabila penulis berkunjung ke Sabah pastinya mendaki Gunung Kinabalu menjadi satu kemestian kerana ia menjadi simbol tarikan utama bagi mereka yang gemarkan aktiviti itu.

Bagaimanapun, penulis yang berkesempatan menyertai aktiviti menerokai beberapa lokasi di negeri itu ternyata Sabah adalah sebuah destinasi pelancongan di Malaysia yang begitu unik, bukan sekadar Gunung Kinabalu.

Meskipun penerbangan yang memakan masa dua jam 45 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dengan pesawat Malaysia Airlines cukup selesa sudah semestinya tidak terasa jauh.

Acara ‘menerokai’ Sabah yang dianjurkan Tourism Malaysia itu sejujurnya membuka satu pengalaman baru buat penulis dalam dunia pengembaraan mengenai negeri itu.

Pertamanya, sebaik sahaja tiba di lapangan terbang Kota Kinabalu, penulis dibawa mengunjungi Cabana Retreat iaitu tempat penginapan berkonsepkan ‘glamping’ di Kota Belud yang mengambil masa sekitar dua jam perjalanan menaiki van.

Cabana Retreat yang dimiliki keluarga Jamaika Kisau sememangnya unik kerana terletak di tepi pantai dan ia difahamkan satu-satunya kemudahan penginapan yang mempunyai konsep ‘glamping’ di kawasan itu.

Penulis dimaklumkan Jamaika, Cabana Retreat bukan sahaja sentiasa penuh mendapat tempahan daripada pengunjung, tetapi dalam masa sama, sebagai anak jati Sabah, mengetengahkan budaya masyarakat setempat sudah menjadi satu kemestian.

AKTIVITI memetik daun teh sambil memakai pakaian tradisional masyarakat Dusun. FOTO Hafiz Ithnin
AKTIVITI memetik daun teh sambil memakai pakaian tradisional masyarakat Dusun. FOTO Hafiz Ithnin

Disambut dengan tarian tradisional masyarakat Bajau yang mempunyai pecahan etnik tersendiri ternyata bumi Sabah begitu kaya dengan kepelbagaian masyarakatnya.

Pada sebelah paginya pula, penulis berkesempatan melihat kuda yang dihias begitu cantik yang sinonim dengan etnik Bajau berkuda. Apatah lagi diberi peluang untuk bergambar dengan kuda, pemiliknya dan berlatar belakang laut yang begitu cantik, ternyata sangat menarik untuk dimuatkan di dalam media sosial!

Dari lokasi berkenaan, penulis juga dibawa untuk melihat seni halus tenunan dastar oleh masyarakat setempat yang begitu unik di Bengkel Kraftangan Tenunan Dastar.

Pemilik bengkel itu Pandian Sulaiman bersama rakan-rakannya tertib menghasilkan pelbagai tenunan kain yang sinonim dengan masyarakat setempat antaranya Mughah dan Dastar Sambitan.

Di bengkel itu, sudah semestinya menjadi lokasi yang terbaik untuk pengunjung melihat lebih dekat hasil seni halus tekstil berkenaan yang sememangnya pembelinya bukan calang-calang termasuk golongan diraja.

PANDIAN menganyam tekstil tradisional masyarakat setempat. FOTO Hafiz Ithnin
PANDIAN menganyam tekstil tradisional masyarakat setempat. FOTO Hafiz Ithnin

Dari Kota Belud, penulis juga berkesempatan mengunjungi ladang teh, Sabah Tea yang yang terletak di Ranau. Kawasan tingginya menawarkan pemandangan yang menarik kerana pengunjung dapat melihat Gunung Kinabalu dari jauh sekiranya keadaan tidak begitu berawan.

Memandangkan Sabah Tea begitu dekat dengan nama negeri di bawah bayu itu, pastinya pemiliknya turut memberi peluang kepada pengunjung untuk memetik teh sambil memakai pakaian Dusun yang unik.

Sebenarnya, terdapat pelbagai lagi lokasi menarik boleh dikunjungi di Sabah untuk diceritakan termasuk melihat pembuatan manik dan mengunjungi ladang tenusu di Ranau.

Dalam kata lain, Sabah sebenarnya menarik untuk dikunjungi bagi mereka yang gemarkan pengembaraan dan mengenali masyarakat setempat!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 7:30 AM