PULAU Perhentian terkenal sebagai destinasi pelancongan di negara ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
PULAU Perhentian terkenal sebagai destinasi pelancongan di negara ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Hafiz Ithnin


MENYELAM skuba, bersnorkel, berenang ataupun berkayak sudah menjadi aktiviti lazim apabila bertandang ke pulau apatah lagi, Pulau Perhentian yang memang terkenal destinasi pelancongan di negara ini.

Pulau indah ini terbahagi kepada dua iaitu Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil dan kedua-duanya mempunyai tarikan tersendiri untuk beriadah.

Pulau Perhentian Besar sinonim dengan aktiviti percutian keluarga manakala Pulau Perhentian Kecil pula khusus golongan muda namun kedua-duanya menyajikan alam semula jadi menarik untuk diterokai terutamanya laluan denai yang jarang dikunjungi pelancong tempatan.

Berkesempatan menyertai aktiviti itu bersama 60 peserta Brahim’s Outdoor baru-baru ini memberi gambaran baru bahawa Pulau Perhentian Besar menawarkan pengalaman percutian yang berbeza.

Apatah lagi, peluang berkhemah selama tiga hari dua malam di kawasan perkhemahan dekat dengan Jeti Teluk Keke, menghidupkan jiwa pengembara lasak.

Penulis difahamkan, di Pulau Perhentian Besar terdapat banyak laluan denai yang boleh diterokai mengikut permintaan pengunjung.

Untuk aktiviti itu juga, pengunjung boleh mendapatkan khidmat penunjuk arah dengan kadar bayaran mengikut pakej percutian yang disediakan.

Pihak penganjur, Brahim Outdoor memilih untuk menerokai laluan sebahagian pulau itu yang bermula dari Teluk Keke dan berakhir di lokasi sama.

Pada awal perjalanan kami dihidangkan dengan bentuk muka bumi yang agak berbukit sehingga tiba di kawasan lapang berketinggian sekitar 123 meter dari aras laut, iaitu lokasi tertinggi sepanjang perjalanan.

Kemudian kami mengharungi laluan denai yang menurun hingga tiba ke sebuah resort terletak di Lata Air Berani iaitu di belakang Teluk Keke.

Kini, laluan denai bertukar kepada pantai yang dimeriahkan dengan tempat penginapan dan restoran.

KANAK-kanak turut meneroka denai di Pulau Perhentian Besar. FOTO  Muhd Zaaba Zakeria
KANAK-kanak turut meneroka denai di Pulau Perhentian Besar. FOTO Muhd Zaaba Zakeria

Keterujaan membuatkan peserta merakam gambar berlatar belakang pantai yang cantik di Lata Air Berani.

Sekitar 20 minit kasut dibaluti pasir pantai, kami dipandu ke dalam denai melalui pintu masuk lain untuk merentasi sempadan antara dua pantai untuk menuju semula ke Teluk Keke.

Kali ini, perjalanannya agak panjang dan kadang-kala berbukit tetapi tidak begitu mencanak seperti di awal perjalanan dari Teluk Keke. Mungkin, jika dikira masa, hampir 45 minit perjalanannya.

Akhirnya, kami tiba di kawasan pantai semula. Ada peserta kelihatan agak keletihan selepas hampir dua jam berjalan dan mula bertanya lokasi perkhemahan yang terletak di Jeti Teluk Keke. Kami mengandaikan kawasan di tepi pantai adalah tapak perkhemahan tetapi telahan itu tidak tepat kerana perjalanan yang perlu ditempuh masih jauh. Laluan yang menduga tenaga kerana perlu melalui kawasan pantai dan menaiki tangga.

Akhirnya selepas tiga jam berjalan, kami tiba di tapak perkhemahan. Walaupun penat, ratanya-rata puas dapat menerokai laluan denai dan pantai yang menarik.

Dalam kumpulan kami, ada peserta yang membawa anak kecil menerokai laluan denai berkenaan.

Mungkin disebabkan jiwa si kecil yang ingin tahu, tidak sedikit pun menunjukkan riak keletihan, malah terus bermain sebaik tiba di tapak perkhemahan.

Ternyata memasukkan aktiviti menerokai laluan denai untuk bersantai di Pulau Perhentian Besar tidak mengecewakan kerana pengunjung dapat menikmati keseronokan yang ditawarkan oleh alam.

Apatah lagi membawa si kecil bersama, ia dapat memupuk jiwa untuk menghargai alam semula jadi pada usia muda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 9:19 PM