IMPIAN peminat sukan menyelam skuba. FOTO NSTP
IMPIAN peminat sukan menyelam skuba. FOTO NSTP
Susunan Aniza Zainudin

POPULARITI negeri di bawah bayu sebagai destinasi pelancongan tumpuan dunia dijangka kian melonjak sejurus penemuan The Blue Hole di Teluk Darvel, Lahad Datu, Sabah.

Penemuan ‘lubang biru’ ini dikenal pasti sekumpulan penyelam, termasuk penyelidik dari Taman-Taman Sabah (TTS) dalam ekspedisi saintifik untuk mengumpul data marin pada 14 Februari lalu.

Bakal menjadi destinasi aktiviti menyelam skuba impian pengembara dari seluruh dunia, lubang biru di Teluk Darvel ini memiliki lubang dengan kedalaman 15 meter jauh ke dasar laut.

Uniknya, lubang biru ini memiliki dua struktur dan mungkin satu-satunya di dunia.

TERLETAK di Teluk Darvel. FOTO NSTP
TERLETAK di Teluk Darvel. FOTO NSTP

Ia berbeza dengan lubang biru popular dunia seperti Great Blue Hole Belize (Amerika Syarikat), Blue Hole Dean (Bahamas) dan Dragon Blue Hole (China) yang hanya mempunyai satu struktur lubang.

Memetik laporan The New Straits Times, pegawai penyelidik TTS, Nasrulhakim Maidin menyifatkan struktur terumbu karang Tingkayu ini berpotensi dijadikan tapak menyelam tumpuan pelancong.

Beliau berkata, penerokaan ke dua struktur lubang biru itu hanya menggunakan satu tangki gas dan menyifatkan ia antara pengalaman luar biasa.

Berada di kedudukan strategik berhampiran Pulau Sipadan, Semporna, lokasi ini boleh dikunjungi menggunakan bot dari Kawasan Pemuliharaan Pantai Silam dalam tempoh 30 minit manakala satu jam dari Pulau Sipadan dan dua jam dari Semporna.

PERLU dijaga keindahannya. FOTO NSTP
PERLU dijaga keindahannya. FOTO NSTP

Usaha mewartakan Teluk Darvel sebagai kawasan pemuliharaan marin oleh kerajaan negeri sangat penting bagi menjaga alam semula jadi teluk yang merangkumi lubang biru dan 50 pulau di sekitarnya.

Sementara itu, memetik kenyataan pemilik tapak menyelam Pirate Divers dan jurulatih penyelam tempatan, Glen Hapirulla mengetuai pasukannya menemui lubang biru pada 2017 yang dipanggil terumbu ‘Blue Ring.’

Liputan meluas mengenai penemuan lubang biru ini membuatkan Glenn menerima banyak pertanyaan untuk datang dan menyelam ke sana.

Sebagai pengendali menyelam tunggal di lokasi berkenaan, Pirate Divers menetapkan had lapan penyelam setiap hari di Blue Ring yang turut dikenali sebagai ‘Pakat Tenggiri’ dalam kalangan masyarakat tempatan.

THE Great Blue Hole Belize. FOTO NSTP
THE Great Blue Hole Belize. FOTO NSTP

Menurut Glen, kedua-dua lubang biru itu tidak bersambung dan mempunyai kedalaman berbeza bergantung kepada air pasang, 14 meter dan 18 meter.

Dikatakan, lubang satu mempunyai kurang 30 peratus yang boleh diterokai berbeza dengan lubang dua yang menyajikan terumbu karang luar biasa daripada pelbagai jenis.

Demi melindungi keajaiban dunia itu, beliau berpendapat tidak wajar wujudnya tempat peranginan dibina di laut tengah perairan Lahad Datu kerana dikhuatiri menjejaskan kualiti kehidupan marin.

Selain itu, pihak berkuasa seharusnya melaksanakan peraturan ketat dengan susunan sistematik pergerakan pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 10:54 AM