LITAR Antarabangsa Sepang (SIC).
LITAR Antarabangsa Sepang (SIC).
Zaitie Satibi


SEPANG adalah daerah bongsu di Selangor. Ia terletak di bahagian selatan dan bersempadan dengan Hulu Langat, Kuala Langat dan Petaling.

Jika dilihat dari pandangan atas, Sepang berbentuk seperti hulu keris, memanjang ke arah selatan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan lebuh raya Kuala Lumpur-Seremban di sempadan sebelah timur sehingga ke Kampung Sungai Buah dan Bukit Unggul.

Mengikut sejarah awal, nama Sepang diambil bersempena nama pokok yang banyak tumbuh di daerah ini iaitu pokok sepang.

Pada awal penubuhannya, pusat pentadbiran daerah terletak di pekan Sepang. Apabila kerajaan persekutuan memilih daerah ini untuk menempatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pusat pentadbiran Sepang dipindahkan ke Bandar Baru Salak Tinggi yang juga dikenali sebagai Bandar Lapangan Terbang.

Selain menjadi pintu masuk utama negara, Sepang turut memiliki banyak tempat menarik yang boleh dikunjungi dan sesuai dijadikan sebagai destinasi percutian bersama keluarga.

Dalam usaha memperkenalkan destinasi percutian di Sepang, Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) melancarkan Tahun Melawat Sepang 2020 (TMS2020) dengan tema ‘Sepang Gerbang Negara’. Acara ini menepati matlamat hala tuju kerajaan Selangor yang mahu sektor pelancongan menjadi penyumbang kepada pendapatan negeri sekali gus mengembangkan peluang pekerjaan dan penyelidikan.

Kemeriahan TMS2020 menyasarkan untuk menarik kedatangan lima juta pelancong tempatan dan antarabangsa ke daerah berkenaan. Berikut beberapa tarikan pelancongan yang disyorkan Tourism Selangor.

Litar Antarabangsa Sepang (SIC)

SIC yang terletak kira-kira 45 kilometer dari ibu negara Kuala Lumpur dan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah lambang kebanggaan rakyat Malaysia untuk sukan permotoran.

Litar ini bukan saja menjadi lokasi penganjuran sukan permotoran bertaraf antarabangsa, malah ia turut menganjurkan pelbagai acara lain seperti konsert, kayuhan basikal, hari keluarga dan menguji kelasakan jentera.

Sejak dibuka pada 1998, SIC sudah menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara permotoran dunia seperti Formula Satu (F1), MotoGP dan Malaysian Championship Series.

SIC juga menganjurkan pakej khas untuk lawatan ke dalam litar yang direka supaya setiap ahli keluarga dapat meluangkan masa bersama-sama. Mereka akan dapat melawat dan menjelajah litar yang menjadi tuan rumah pelbagai perlumbaan bertaraf dunia ini.

MITSUI Outlet Park KLIA.
MITSUI Outlet Park KLIA.

Mitsui Outlet Park KLIA

Terletak berhampiran dengan lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dan klia2 serta berjarak kira-kira 60 km dari Kuala Lumpur, Mitsui Outlet Park adalah pusat beli-belah yang menghimpunkan 50 jenama terkenal seluruh dunia di bawah satu bumbung.

Terdapat bas pengantara percuma untuk kemudahan pelancongan dari KLIA dan klia2 untuk ke pusat beli-belah ini. Di sini juga di sediakan Pusat Daftar Masuk Penerbangan yang menyediakan sistem tayangan maklumat penerbangan, perkhidmatan laman sesawang daftar masuk, simpanan beg percuma, tukaran wang dan pembungkusan beg.

Dragon Fruit Farm HL

Cuaca panas di Sepang memberi kelebihan kepada penanam buah naga berikutan iklim sedemikian membolehkan pokok buah naga mengeluarkan buah dengan lebat. Berwarna merah ungu, ia memberi rasa manis dengan tekstur berjus.

Terletak di tepi jalan dari arah Sepang menuju ke Bagan Lalang, ada beberapa ladang buah naga, malah permintaan buah naga bagi pasaran luar negeri juga agak tinggi.

HANIS bersama dua anaknya.
HANIS bersama dua anaknya.

Cuba singgah di ladang Dragon Fruit Farm HL kerana terdapat kafe yang menawarkan menu berasaskan buah naga seperti jus buah naga, kentang lenyek bersama sos buah naga dan salad buah naga.

Selain menjamu selera, pengunjung juga dibenarkan melawat ladang buah naga dan berpeluang memetik buah naga yang berbuah di hujung daunnya berbentuk seperti kaktus. Pengunjung akan ditemani kakitangan ladang yang akan memberi penerangan mengenai penanaman buah naga.

Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA

Selepas anda pulang dari meneroka tempat menarik sekitar Sepang, pasti mahu berehat dengan selesa. Bilik hotel yang menyediakan pelbagai kemudahan menjadi pilihan utama supaya dapat berehat secukupnya dan menyiapkan diri untuk kembara anda di hari seterusnya.

Cuba daftar masuk ke Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA yang dimiliki Lembaga Tabung Haji (TH) terletak kira-kira empat kilometer dari KLIA

MOVENPICK Hotel and Convention Centre KLIA.
MOVENPICK Hotel and Convention Centre KLIA.

Terdapat empat komponen iaitu hotel, pusat konvensyen, astaka dan bangunan letak kereta bertingkat. Hotel terdiri tiga bangunan sembilan tingkat dengan 333 bilik, dilengkapi dengan restoran yang menyediakan pelbagai juadah masakan cita rasa Malaysia, kolam mandi berasingan untuk lelaki dan wanita, spa dan gimnasium.

Dibangunkan patuh syariah, hotel ini juga memenuhi spesifikasi Indeks Bangunan Hijau (GBI) yang antaranya menekankan penggunaan tenaga dan penyelenggaraan yang cekap. Reka bentuk hotel ini secara keseluruhannya bercirikan seni bina Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 8:52 AM